ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 14 June 2018

AIDILFITRI - KEMBALI KEPADA FITRAH

Setelah 30 hari berpuasa, kini bulan Syawal menjelma kembali. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana kita masih lagi diberi peluang untuk menghabiskan Ramadhan dan bertemu dengan Syawal.
Apabila menjelangnya Syawal, rata-rata daripada kita menghadapi masalah yang sama iaitu hilangnya fokus ketika Ramadhan.

Menjelang Syawal, elok kiranya untuk kita merefleksi diri kita semula, sejauh mana Ramadhan telah memberikan kesan kepada kita dan sejauh mana kita telah menggunakan peluang berada di bulan Ramadhan dengan sebaik-baiknya.
Adalah disarankan supaya kita soroti kembali apa yang telah kita lakukan sepanjang sebulan berpuasa. Jika keadaan diri kita sepanjang berpuasa itu sama sahaja ketika sewaktu tidak berpuasa, maka hendaklah kita bermuhasabah panjang.
KESILAPAN DI MALAM AIDILFITRI
Bulan Syawal amatlah ditunggu-tunggu oleh umat muslimin di seluruh dunia amnya dan di Malaysia khususnya. Tanpa mengira umur, darjat dan warna kulit, masing-masing meraikan hari kemenangan ini dengan penuh kegembiraan. Jika di Malaysia yang mempunyai komposisi penduduk yang berbilang kaum, Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja disambut dengan meriah oleh umat Islam, malah turut dirai oleh rakan-rakan bukan Islam juga.
Namun begitu, hendaklah kita fahami bahawa bulan Syawal dalam konteks bulan ibadah, bukannya bulan adat semata-mata.

Kedudukan bulan Syawal sama seperti bulan-bulan lain. Bezanya di bulan Syawal kita tidak lagi berpuasa wajib seperti dalam bulan Ramadhan. Maka, janganlah kita merasakan bahawa hanya di bulan Ramadhan sahaja kita perlu bersungguh-sungguh dalam beribadah.
Kemuliaan Syawal telah diterangkan dalam satu hadis Rasululullah s.a.w yang bermaksud:
“Daripada Umamah r.a bahawasanya Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: ‘Barang siapa mengerjakan amal ibadah pada malam Hari Raya Aidilfitri dengan mengharapkan keredhaan Allah s.w.t semata-mata, hatinya tidak akan mati pada hari kiamat sebagai mana matinya hati orang-orang yang kafir mati pada hari kiamat’.”
Ramai di antara kita yang sering melakukan kesilapan di malam Aidilfitri. Pada waktu itu kebiasaannya kita disibukkan dengan aktiviti mengemas rumah, mengisi kuih raya, menggosok baju raya, menonton televisyen, bermain mercun dan sebagainya. Pada malam Aidilfitri, kita sepatutnya menghidupkannya dengan puji-pujian kepada Allah s.w.t, bertakbir. Kemudian, kita digalakkan untuk banyak berdoa supaya segala amalan yang telah kita lakukan di bulan Ramadhan dan bulan-bulan sebelumnya diterima oleh Allah s.w.t.
KEGEMBIRAAN DALAM KETAATAN
Dalam keghairahan kita menyambut Syawal, perlulah kita ingat akan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik di luar sana.

Mungkin Syawal kali ini mungkin ada yang menyambutnya dengan tangis dan air mata kesedihan, berbanding kita yang penuh kegembiraan.
Buat rakan-rakan seangkatan yang beraya di perantauan pada kali ini, jangan lupa untuk menghubungi ibu bapa kita di tanah air dan terus tabah menuntut ilmu di rantau orang.

Titipkanlah ingatan dan doa untuk mereka dalam setiap sujud kita kerana itu adalah jauh lebih bermakna buat mereka.
Apabila tibanya Syawal, antara amalan yang biasa dilakukan adalah budaya ziarah menziarahi dan saling bermaafan. Antara hikmah terbesar amalan ini adalah dapat mengeratkan silaturahim dan ukhuwah dalam kalangan ahli keluarga dan sahabat handai.

Amalan inilah yang menyumbang kepada kegembiraan dan kemanisan Syawal itu.
Namun begitu, hendaklah kita raikan kegembiraan ini dalam ketaatan. Budaya bermaaf-maafan di bulan Syawal bukan bermakna kita boleh bersalaman dengan sesiapa sahaja. Ikhtilat tetap harus dijaga.

Kadang kala kita terlalu asyik berkunjung ke rumah saudara mara dan sahabat handai sehingga melalaikan solat. Astaghfirullah. Hal ini pun perlulah kita titikberatkan pada kali ini.
Biarlah Syawal kali ini kita raikan dengan penuh kegembiraan tetapi masih lagi berada dalam ketaatan kepada-Nya.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.
TAQABBALALLAHU MINNA WA MINKUM.

Muhammad Afiq Arsyad bin Johar
MBBS, MMMC Manipal
Pengerusi ISMA India ’15/’16
14/6/2018 : 12.10 am

No comments:

Post a Comment