ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 13 December 2017

*Pengumpulan al-Quran daripada zaman Rasulullah s.a.w sehingga ke zaman Uthman r.a


*Zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam*
.
Penulisan al-Quran telah bermula di zaman Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Baginda melantik beberapa orang sahabat untuk menjadi jurutulis al-Quran. Para sahabat ini akan merekodkan dalam bentuk penulisan apabila sesuatu wahyu diturunkan. Antara sahabat yang dilantik sebagai jurutulis wahyu ialah ‘Ali, Mu’awiyah, ‘Ubay bin Ka’ab, dan Zaid bin Tsabit radiallahu ‘anhum. Penulisan al-Quran ini telah menguatkan lagi hafazan para sahabat kepada al-Quran.
.
Apabila turun sesuatu wahyu, Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam akan menyuruh sahabat-sahabat di atas menuliskan ayat tersebut dan memberitahu mereka di mana sepatutnya diletakkan ayat tersebut di dalam sesuatu surah.
.
Penulisan al-Quran tidak terhad kepada sahabat-sahabat yang dilantik oleh Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam, bahkan ia dilakukan juga oleh sahabat-sahabat yang lain tanpa arahan daripada nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam. Mereka menulis pada pelepah kurma, batu, kulit, kayu dan lain-lain.
.
Penulisan al-Quran yang dilakukan oleh para sahabat di zaman nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam masih belum dalam bentuk mushaf yang lengkap. Ini kerana ada sebahagian ayat yang ada pada rekod sebahagian sahabat, tetapi tidak ada pada sahabat yang lain, yang boleh jadi disebabkan ketika wahyu itu turun, mereka tidak bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.
.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam wafat dalam keadaan al-Quran telah dihafaz sepenuhnya, dan para sahabat juga telah mengetahui tentang susun atur ayat dan surah. Akan tetapi semua itu masih belum lagi dikumpulkan dalam satu mushaf.
Kenapakah mushaf yang lengkap masih belum wujud di zaman nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam?
.
- Ini kerana wahyu sentiasa diturunkan. Jadi jika ia dibukukan, maka akan sentiasa ada penambahan perlu dilakukan.
- Wahyu tidak diturunkan mengikut tertib ayat yang ada dalam mushaf sekarang. Ada wahyu yang awal turunnya tetapi berada dalam susunan terkemudian di dalam mushaf yang ada sekarang. Maka ia menghalang daripada ia dicatatkan dalam mushaf yang sempurna.
- Adakalanya turun wahyu yang memansuhkan/nasakh wahyu yang turun sebelumnya.
Daripada sebab-sebab di atas jelas diketahui bahawa pada zaman nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam terdapat banyak penghalang daripada al-Quran dibukukan kerana ia masih dalam proses penurunan wahyu. Hanya selepas kewafatan baginda sallallahu ‘alaihi wa sallam, barulah wahyu terhenti, lalu susunan ayat sudah muktamad dan tiada lagi berlaku perubahan kepada al-Quran.

*Zaman Abu Bakar radiallahu ‘anhu*

Selepas kewafatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, Abu Bakar as-Siddiq radiallahu ‘anhu dilantik menjadi khalifah. Antara cabaran yang beliau hadapi ketika itu ialah pemberontakan golongan murtad dan munculnya nabi-nabi palsu.
.
Pada tahun 12 hijrah, telah berlakunya peperangan Yamamah antara kaum Muslimin yang dipimpin oleh Khalid al-Walid radiallahu ‘anhu menentang pasukan nabi palsu pimpinan Musailamah al-Kazzab. Dalam peperangan ini ramai sahabat yang menghafaz al-Quran telah terbunuh. Ini menimbulkan kerisauan kepada ‘Umar al-Khattab radiallahu ‘anhu. ‘Umar juga risau kerana masih banyak peperangan perlu dilalui, dan risiko yang besar jika penghafaz-penghafaz al-Quran berterusan mati dalam peperangan. 
.
Beliau mengemukakan idea untuk membukukan al-Quran, akan tetapi idea itu ditolak pada mulanya oleh Abu Bakar as-Siddiq kerana ia tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. ‘Umar berterusan memujuk hingga akhirnya hati Abu Bakar as-Siddiq terbuka untuk menerima cadangan tersebut. Riwayat di bawah menceritakan kisah tersebut:
.
عَنْ عُبَيْدِ بْنِ السَّبَّاقِ، أَنَّ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ ـ رضى الله عنه ـ قَالَ أَرْسَلَ إِلَىَّ أَبُو بَكْرٍ مَقْتَلَ أَهْلِ الْيَمَامَةِ فَإِذَا عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ عِنْدَهُ قَالَ أَبُو بَكْرٍ ـ رضى الله عنه ـ إِنَّ عُمَرَ أَتَانِي فَقَالَ إِنَّ الْقَتْلَ قَدِ اسْتَحَرَّ يَوْمَ الْيَمَامَةِ بِقُرَّاءِ الْقُرْآنِ وَإِنِّي أَخْشَى أَنْ يَسْتَحِرَّ الْقَتْلُ بِالْقُرَّاءِ بِالْمَوَاطِنِ، فَيَذْهَبَ كَثِيرٌ مِنَ الْقُرْآنِ وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَأْمُرَ بِجَمْعِ الْقُرْآنِ‏.‏
Zaid bin Tsabit radiallahu ‘anhu menceritakan: Abu Bakar radiallahu ‘anhu menghantar berita kepada ku tentang pembunuhan di Yamamah. Ketika itu Umar berada bersama beliau. Abu Bakar berkata: Sesungguhnya Umar datang kepada aku lalu berkata: Sesungguhnya peperangan tersebut telah mengambil nyawa ramai penghafaz al-Quran. Aku takut pembunuhan ke atas ramai penghafaz al-Quran akan berlaku juga di tempat-tempat lain sehingga ramai penghafaz al-Quran akan mati. Sesungguhnya aku berpendapat untuk menyuruh dikumpulnya al-Quran.
.
قُلْتُ لِعُمَرَ كَيْفَ تَفْعَلُ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ عُمَرُ هَذَا وَاللَّهِ خَيْرٌ‏.‏ فَلَمْ يَزَلْ عُمَرُ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي لِذَلِكَ، وَرَأَيْتُ فِي ذَلِكَ الَّذِي رَأَى عُمَرُ‏.‏ 
Aku berkata kepada Umar: Bagaimana boleh engkau melakukan sesuatu yang tidak Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam lakukan. Umar menjawab: Demi Allah, hal ini baik. Umar berterusan memujukku sehingga Allah telah melapangkan dada ku untuk menerima hal itu. Aku berpendapat yang sama dengan Umar dalam hal itu.
.
قَالَ زَيْدٌ قَالَ أَبُو بَكْرٍ إِنَّكَ رَجُلٌ شَابٌّ عَاقِلٌ لاَ نَتَّهِمُكَ، وَقَدْ كُنْتَ تَكْتُبُ الْوَحْىَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَتَتَبَّعِ الْقُرْآنَ فَاجْمَعْهُ فَوَاللَّهِ لَوْ كَلَّفُونِي نَقْلَ جَبَلٍ مِنَ الْجِبَالِ مَا كَانَ أَثْقَلَ عَلَىَّ مِمَّا أَمَرَنِي مِنْ جَمْعِ الْقُرْآنِ
Zaid menyatakan: Abu Bakar berkata: Sesungguhnya engkau anak muda yang bijak dan kami tidak meragui kemampuan mu. Sesungguhnya engkau telah menulis wahyu untuk Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, oleh kerana itu carilah al-Quran dan kumpulkan ia. (Zaid berkata): Demi Allah, jika dibebankan ke atas ku untuk memindahkan gunung daripada gunung-gunung yang ada, tidaklah itu lebih berat ke atas ku berbanding arahannya untuk aku mengumpulkan al-Quran.
.
قُلْتُ كَيْفَ تَفْعَلُونَ شَيْئًا لَمْ يَفْعَلْهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ هُوَ وَاللَّهِ خَيْرٌ فَلَمْ يَزَلْ أَبُو بَكْرٍ يُرَاجِعُنِي حَتَّى شَرَحَ اللَّهُ صَدْرِي لِلَّذِي شَرَحَ لَهُ صَدْرَ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ 
Aku berkata: Bagaimana boleh kalian melakukan sesuatu yang tidak Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam lakukan. Abu Bakar menjawab: Demi Allah, ia baik. Abu Bakar berterusan memujuk aku sehingga Allah melapangkan dada aku sebagaimana Dia telah melapangkan dada Abu Bakar dan Umar.
فَتَتَبَّعْتُ الْقُرْآنَ أَجْمَعُهُ مِنَ الْعُسُبِ وَاللِّخَافِ وَصُدُورِ الرِّجَالِ حَتَّى وَجَدْتُ آخِرَ سُورَةِ التَّوْبَةِ مَعَ أَبِي خُزَيْمَةَ الأَنْصَارِيِّ لَمْ أَجِدْهَا مَعَ أَحَدٍ غَيْرَهُ ‏{‏لَقَدْ جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ‏}‏ حَتَّى خَاتِمَةِ بَرَاءَةَ، فَكَانَتِ الصُّحُفُ عِنْدَ أَبِي بَكْرٍ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ عِنْدَ عُمَرَ حَيَاتَهُ ثُمَّ عِنْدَ حَفْصَةَ بِنْتِ عُمَرَ ـ رضى الله عنه ـ‏.‏
Lalu aku pun mencari al-Quran. Aku mengumpulkannya daripada pelepah kurma, kepingan batu, dan daripada hafazan manusia sehingga aku menemui akhir surah at-Taubah ada pada Abu Khuzaimah al-Ansariy yang mana aku tidak menemuinya pada orang lain. Firman Allah itu: Sesungguhnya telah datang kepada kalian rasul daripada kalangan kalian, berat terasa olehnya penderitaanmu sehingga tamat surah at-Taubah. Mushaf itu berada pada Abu Bakar sehingga beliau meninggal dunia, kemudian bersama Umar sepanjang hayatnya, kemudian ia berada dalam simpanan Hafsah bte Umar.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, hadis no: 4986]
.
Ini menunjukkan ketelitian Zaid. Walaupun beliau dan ramai sahabat lain ada yang sudah menghafaz al-Quran, akan tetapi mereka tetap mencari al-Quran yang telah dituliskan. Ini untuk memastikan ketepatan al-Quran tersebut. Penelitian tersebut dapat dilihat dalam riwayat berikut:
.
Ibnu Abi Daud meriwayatkan dalam Al-Masahif: Abu Bakar berkata kepada Umar dan Zaid: 
اقْعُدَا عَلَى بَابِ الْمَسْجِدِ فَمَنْ جَاءَكُمَا بِشَاهِدَيْنِ عَلَى شَيْءٍ مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَاكْتُبَاهُ
Duduklah di pintu masjid. Sesiapa yang datang kepada kalian dengan dua orang saksi atas apa daripada kitab Allah, maka catatkan ia. [Ibn Hajar dalam Fathul Bariberkata bahawaperawinya thiqah, akan tetapi sanadnya terputus].
.
Kewujudan dua saksi ini untuk memastikan ia benar-benar daripada al-Quran.
.
Oleh kerana itu, ‘Ali radiallahu ‘anhu berkata:
.
أَعْظَمُ النَّاسِ فِي الْمَصَاحِفِ أَجْرًا أَبُو بَكْرٍ ، رَحْمَةُ اللَّهِ عَلَى أَبِي بَكْرٍ ، هُوَ أَوَّلُ مَنْ جَمَعَ كِتَابَ اللَّهِ
Manusia yang paling banyak memperolehi pahala dalam pembukuan al-Quran ialah Abu Bakar. Rahmat Allah ke atas Abu Bakar. Dia merupakan orang pertama yang mengumpulkan kitab Allah.
[Ibn Abi Daud dalam Al-Masahif. Ibn Hajar menyatakan isnadnya hasan di dalam Fathul Bari].
.
Oleh kerana itu kita ketahui bahawa pembukuan Al-Quran secara sempurna telah dilakukan oleh Abu Bakar as-Siddiq radiallahu ‘anhu. Akan tetapi ketika itu masih terdapat mushaf-mushaf lain yang dimiliki oleh para sahabat lain seperti mushaf Ali, mushaf Ubai bin Ka’ab dan mushaf Abdullah bin Mas’ud. Akan tetapi mushaf-mushaf ini kesemua tidak disusun dengan ketelitian, masih lagi mengandungi bacaan-bacaan yang telah mansukh.

*Zaman Uthman radiallahu ‘anhu*

Apabila Islam semakin tersebar luas, para penghafaz al-Quran yang akan mengajarkan al-Quran ke merata tempat akan mengajar masyarakat setempat melalui bacaan yang mereka pelajari daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Sebagaimana yang akan dibincangkan, Al-Quran itu diturunkan dengan ‘7 Huruf’. Oleh kerana itu, setiap guru al-Quran yang mengajar masyarakat adakalanya akan membaca dengan bacaan yang berbeza, sedangkan kesemua bacaan itu datang daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.
Murid yang mempelajari daripada guru akan mengikut bacaan guru tersebut. Masalah mula timbul apabila murid ini bertemu dengan murid lain yang belajar daripada guru yang lain yang membaca dengan cara bacaan yang lain. Pergaduhan, pertelagahan, bahkan sampai kepada kafir mengkafir berlaku kerana masing-masing menyatakan bahawa bacaan orang lain tidak betul.

Inilah situasi yang berlaku di zaman Uthman radiallahu ‘anhu.

Anas bin Malik radiallahu ‘anhu menceritakan:

أَنَّ حُذَيْفَةَ بْنَ الْيَمَانِ قَدِمَ عَلَى عُثْمَانَ وَكَانَ يُغَازِي أَهْلَ الشَّأْمِ فِي فَتْحِ إِرْمِينِيَةَ وَأَذْرَبِيجَانَ مَعَ أَهْلِ الْعِرَاقِ فَأَفْزَعَ حُذَيْفَةَ اخْتِلاَفُهُمْ فِي الْقِرَاءَةِ فَقَالَ حُذَيْفَةُ لِعُثْمَانَ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ أَدْرِكْ هَذِهِ الأُمَّةَ قَبْلَ أَنْ يَخْتَلِفُوا فِي الْكِتَابِ اخْتِلاَفَ الْيَهُودِ وَالنَّصَارَى
Huzaifah bin al-Yaman radiallahu ‘anhu datang kepada Uthman radiallahu ‘anhu. Huzaifah telah menyertai peperangan melawan penduduk Syam dalam pembukaan Armaniah dan Azarbaijan bersama-sama dengan penduduk Iraq. Huzaifah terkejut apabila mendapati perbezaan mereka dalam membaca al-Quran. Huzaifah menyatakan kepada Uthman: Wahai Amirul Mukminin, selamatkanlah umat ini sebelum mereka akan berselisih tentang al-Quran sebagaimana berselisihnya Yahudi dan Nasrani.
.
فَأَرْسَلَ عُثْمَانُ إِلَى حَفْصَةَ أَنْ أَرْسِلِي إِلَيْنَا بِالصُّحُفِ نَنْسَخُهَا فِي الْمَصَاحِفِ ثُمَّ نَرُدُّهَا إِلَيْكِ فَأَرْسَلَتْ بِهَا حَفْصَةُ إِلَى عُثْمَانَ فَأَمَرَ زَيْدَ بْنَ ثَابِتٍ وَعَبْدَ اللَّهِ بْنَ الزُّبَيْرِ وَسَعِيدَ بْنَ الْعَاصِ وَعَبْدَ الرَّحْمَنِ بْنَ الْحَارِثِ بْنِ هِشَامٍ فَنَسَخُوهَا فِي الْمَصَاحِفِ
Kemudian Uthman menghantar surat kepada Hafsah yang bertulis: Hantarlah kepada kami mushaf al-Quran agar kami dapat menyalinnya menjadi beberapa mushaf, kemudian kami akan memulangkannya kepada engkau. Lalu Hafsah mengirimkan mushaf itu kepada Uthman. Lalu Uthman mengarahkan Zaid bin Tsabit, ‘Abdullah bin Az-Zubair, Sa’id bin al-‘As, dan ‘Abdul Rahman bin Al-Harith (untuk menyalinnya). Lalu kami pun menyalinnya menjadi beberapa mushaf.
.
وَقَالَ عُثْمَانُ لِلرَّهْطِ الْقُرَشِيِّينَ الثَّلاَثَةِ إِذَا اخْتَلَفْتُمْ أَنْتُمْ وَزَيْدُ بْنُ ثَابِتٍ فِي شَىْءٍ مِنَ الْقُرْآنِ فَاكْتُبُوهُ بِلِسَانِ قُرَيْشٍ فَإِنَّمَا نَزَلَ بِلِسَانِهِمْ فَفَعَلُوا حَتَّى إِذَا نَسَخُوا الصُّحُفَ فِي الْمَصَاحِفِ رَدَّ عُثْمَانُ الصُّحُفَ إِلَى حَفْصَةَ وَأَرْسَلَ إِلَى كُلِّ أُفُقٍ بِمُصْحَفٍ مِمَّا نَسَخُوا وَأَمَرَ بِمَا سِوَاهُ مِنَ الْقُرْآنِ فِي كُلِّ صَحِيفَةٍ أَوْ مُصْحَفٍ أَنْ يُحْرَقَ‏.‏
Uthman berkata kepada tiga orang Quraisy tersebut: Apabila kalian berbeza pendapat dengan Zaid dalam menulis al-Quran, maka tulislah ia dengan loghat orang Quraisy. Sesungguhnya al-Quran turun dengan loghat mereka. Lalu mereka pun melakukan hal tersebut sehingga mereka telah membuat beberapa naskhah mushaf, kemudian Uthman memulangkannya mushaf asal kepada Hafsah. Kemudian Uthman mengirimkan mushaf-mushaf itu ke semua tempat dan memerintahkan agar mushaf-mushaf al-Quran yang lain dibakar.
[Sahih al-Bukhari, Kitab Fadhail al-Quran, hadis no: 4987]
.
Imam at-Thabari dalam tafsirnya membawakan pula riwayat berikut:
.
عن أبي قِلابة، قال: لما كان في خلافة عثمان، جعل المعلِّم يعلِّم قراءة الرجل، والمعلم يعلم قراءةَ الرجل، فجعل الغلمان يلتقون فيختلفون، حتى ارتفع ذلك إلى المعلمين - قال أيوب: فلا أعلمه إلا قال-: حتى كفر بعضهم بقراءة بعض.
Daripada Abu Qalabah, beliau berkata: Pada zaman Khalifah Uthman, terdapat seorang guru yang mengajar muridnya membaca al-Quran, dan terdapat juga seorang guru lain yang mengajar muridnya membaca al-Quran. Apabila kedua-dua murid ini bertemu, mereka berselisih, dan perselisihan itu merebak kepada kedua-dua guru mereka, sehingga mereka saling mengkafirkan antara satu sama lain kerana perbezaan bacaan al-Quran.
.
فبلغ ذلك عثمان، فقام خطيبًا فقال: "أنتم عندي تختلفون فيه وتلحنون، فمن نأى عني من أهل الأمصار أشد فيه اختلافًا وأشد لحنًا. اجتمعوا يا أصحابَ محمد، فاكتبوا للناس إمامًا".
Hal itu sampai kepada Uthman, lalu beliau bangun berkhutbah: Kalian yang berada di hadapan aku telah berselisih dan tersalah dalam membaca al-Quran. Mereka yang tinggal jauh daripada kami, lebih besarlah perselisihan dan kesalahan mereka dalam bacaan al-Quran. Bersatulah wahai sahabat-sahabat Muhammad, tulislah untuk manusia satu imam (iaitu satu mushaf al-Quran yang menjadi ikutan semua).
.
قال أبو قلابة، فحدثني أنس بن مالك قال: كنت فيمن يملى عليهم، قال: فربما اختلفوا في الآية فيذكرون الرجل قد تلقاها من رسول الله صلى الله عليه وسلم، ولعلهُ أن يكون غائبًا أو في بعض البوادي، فيكتبون ما قبلها وما بعدها، ويَدعون موضعها، حتى يجيءَ أو يُرْسَلَ إليه. فلما فرغ من المصحف، كتب عثمان إلى أهل الأمصار: "إني قد صَنعتُ كذا وكذا، ومحوتُ ما عندي، فامحوا عندكم"
Abu Qilabah berkata: Anas menyampaikan kepada aku: Aku merupakan antara orang yang disuruh menulis. Ketika manusia berselisih pendapat tentang satu ayat, mereka akan memberitahu hal tersebut kepada seseorang yang telah mempelajarinya daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam. Kadang-kala orang tersebut tiada bersama mereka atau diluar kota, lalu mereka akan menulis apa yang sebelumnya dan selepasnya, serta membiarkan bahagian (yang tidak mereka ketahui), sehingga orang tadi datang atau dipanggil. Apabila penulisan mushaf telah selesai, Uthman menulis kepada semua penduduk: Sesungguhnya aku telah melakukan itu dan ini. Aku telah menghapuskan apa (iaitu mushaf) yang ada pada ku, maka hapuskanlah mushaf yang ada pada kalian.
[Jami’ al-Bayan, jilid 1, m/s 61-62]
.
Tindakan Uthman ini bukanlah tindakan bersendirian. Ia disokong oleh semua sahabat.
Ibnu Abi Daud meriwayatkan: Suwaid bin Ghaflah al-Ja’fi berkata, Ali radiallahu ‘anhu berkata:
يا أيها الناس، لا تغلوا في عثمان ولا تقولوا له إلا خيرا أو قولوا له خيرا في المصاحف وإحراق المصاحف، فوالله ما فعل الذي فعل في المصاحف إلا عن ملأ منا جميعا، فقال: ما تقولون في هذه القراءة ؟ فقد بلغني أن بعضهم يقول: إن قراءتي خير من قراءتك، وهذا يكاد أن يكون كفرا "، قلنا: فما ترى ؟ قال: " نرى أن نجمع الناس على مصحف واحد، فلا تكون فرقة، ولا يكون اختلاف "،قلنا: فنعم ما رأيت.
Wahai sekalian manusia. Janganlah kalian melampaui batas ke atas Uthman, dan janganlah kalian berkata tentangnya kecuali kebaikan berkaitan mushaf dan pembakaran mushaf. Demi Allah, tidaklah dia melakukan hal yang dia lakukan ke atas mushaf-mushaf kecuali dengan persetujuan kami semua. Uthman berkata: Apa pendapat kalian tentang bacaan ini? Sesungguhnya telah sampai kepada aku bahawa sebahagian daripada mereka berkata bacaan aku lebih baik daripada bacaan engkau. Ini sudah hampir kepada kekufuran. Kami menjawab: Apa pandangan engkau? Uthman berkata: Aku berpendapat untuk kita satukan manusia di atas mushaf yang satu, lalu tidak akan terjadinya perpecahan, dan perselisihan. Lalu kami menjawab: Baik sungguh pendapat engkau. 
[Al-Masohif, jilid 1, m/s 205. Al-Mubarakfuri dalam Tuhfatul Ahwazi menyatakan isnadnya sahih].
.
*Perbezaan pengumpulan al-Quran di zaman Abu Bakar dan zaman Uthman radiallahu ‘anhum.*
.
Oleh kerana itu kita akan mendapati bahawa terdapat perbezaan besar pengumpulan al-Quran yang dilakukan oleh Abu Bakar dan yang dilakukan oleh Uthman radiallahu ‘anhu.
.
*Pembukuan yang pertama: Dilakukan oleh Abu Bakar radiallahu ‘anhu. Ia dilakukan kerana khuatir al-Quran akan hilang kerana ramai penghafaz al-Quran terbunuh*. Ketika itu masih terdapat mushaf-mushaf lain yang dimiliki oleh sahabat seperti Abdullah bin Mas’ud, dan Abu Bakar tidak mengarahkan mushaf-mushaf milik sahabat lain dihapuskan. Mushaf sempurna di zaman Abu Bakar pula tidak disebarkan ke wilayah-wilayah Islam yang lain.
.
*Pembukuan yang kedua: Dilakukan oleh Uthman radiallahu ‘anhu. Ia dilakukan kerana umat Islam sudah mula berpecah kerana bacaan al-Quran dengan cara yang berbeza sedangkan kesemua itu datangnya daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam sendiri*. Apabila telah sempurnan penyusunan mushaf dalam loghat Quraisy. Maka Uthman mengarahkan mushaf-mushaf lain dihapuskan, dan mushaf yang sudah sempurna itu dibuat dalam beberapa naskhah dan dihantar ke wilayah-wilayah Islam.

No comments:

Post a Comment