ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 28 July 2017

2017 - TERENGGANU : KUALA BERANG, MARANG, KUALA TERENGGANU DAN SETIU

Pada 15 Julai 2017 (Hari Sabtu), saya bersama Awareness Team, Yayasan Jantung Malaysia bertolak dari pejabat kami di Jalan Sultan Yahya Petra (Jalan Semarak) jam 11.00 pagi menuju ke Kuala Berang, Terengganu. Perjalanan ke Terengganu adalah untuk program kami di Marang, Kuala Terengganu dan Setiu. 
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Berang mengambil masa 4 jam, sejauh 406 km melalui Lebuhraya Pantai Timur (LPT). 
Exit untuk ke Kuala Berang adalah Exit 858 di Ajil. Kami tiba di Kuala Berang lewat petang dan menginap di AJ Hotel (Kuala Berang). Ini adalah kali pertama saya tiba di Kuala Berang. 


Sepanjang perjalanan dari KL ke Kuala Berang kami telah singgah untuk berhenti rehat di Hentian Rehat Temerloh, Pahang dan juga Hentian Rehat Perasing di Terengganu. 

HENTIAN REHAT TEMERLOH, PAHANG
Kami berhenti sekejap di Hentian Rehat Temerloh, Pahang. Entah kali ke berapa saya pernah singgah di R & R Temerloh ini pun saya tak ingat. 
Kami tak makan di sini, cuma singgah untuk ke tandas je...sebab masih kenyang lagi. 



Pertama kali saya jumpa Pasar Bergerak Malaysia

HENTIAN REHAT PERASING, TERENGGANU

Kawasan Rehat dan Rawat Perasing, Cukai, Terengganu adalah kawasan rehat dan rawat terbesar di rangkaian LPT. Ia hanya boleh diakses oleh T pertukaran arah ke R & R di mana ia adalah mungkin satu-satunya seumpamanya di Malaysia. 

Kami berhenti makan tengahari di sini, namun apa yang saya perhatikan tidak banyak gerai makan di sini dan pengguna lebuhraya pun tidak ramai yang berhenti rehat di sini, apa sebabnya saya pun tak tahu.










KUALA BERANG, TERENGGANU


Ini adalah kali pertama saya sampai ke Kuala Berang, Terengganu, sebelum ini saya banyak buat program di Kuala Terengganu, Kemaman dan Setiu. 
Kuala Berang terletak dalam daerah Hulu Terengganu yang merupaka pintu masuk untuk ke Tasik Kenyir. Kuala Berang juga terkenal dengan Batu Bersurat Terengganu yang dijumpai pada tahun 1899. Batu Bersurat ini berusia lebih kurang 700 tahun yang membuktikan bahawa Islam telah sampai di Terengganu sebelum tahun 1326. Ia ditemui separuh tenggelam selepas banjir di tebing Sungai Tersat (Sungai Tara) oleh seorang Ahli Perniagaan Saiyed Husin bin Ghulam Al Bukhari pada tahun 1899. 







Warung yang terletak bersebelahan dengan hotel penginapan kami. Disinilah saya dan rakan-rakan makan malam. Makanannya boleh tahan juga dan harga pun murah kalau dibandingkan dengan di Kuala Lumpur. 



Semasa di Kuala Berang, kami menginap di AJ Hotel (Kuala Berang). Walaupun harganya agak murah, namun biliknya agak selesa, lagipun kami cuma menginap semalam sahaja di sini kerana esoknya kami akan ke Kuala Terengganu. 


Makan malam bersama dengan rakan Awareness Team YJM

SJK (CINA) CHONG HWA, WAKAF TAPAI, MARANG, TERENGGANU



Seawal pagi 16 Julai 2017, selepas bersarapan pagi kami terus bertolak menuju ke SJK (Cina) Wakaf Tapai yang terletak di Marang, Terenganu untuk program Pemeriksaan Kesihatan. Perjalanan Kuala Berang ke Marang sejauh 13 km mengambil masa 14 minit. 
Program ini adalah kerjasama antara Yayasan Jantung Malaysia dan The Lions Club of Kuala Terengganu. 
Selain Pemeriksaan Kesihatan dari YJM, turut serta ialah Kempen Derma Darah, Kempen Derma Organ dan Promosi dari Bank Simpanan Nasional.
Seramai 79 orang penduduk berhampiran sekolah ini telah menjalani Ujian Pemeriksaan Kesihatan. 


Marang, Terengganu adalah tempat perhentian untuk menyeberang ke Pulau Kapas, Pulau Redang, Pulau Gemia dan lain-lain. 
Ini juga adalah kali pertama saya sampai ke Daerah Marang. 





Selesai program di SJK (Cina) Chong Hwa Wakaf Tapai, kami meneruskan perjalanan ke Terengganu untuk program seterusnya. 


Di Kuala Terengganu kami menginap di Batu Burok Beach Resort. Ini merupakan kali ke 3 saya menginap di Batu Burok Beach Resort. 


Kuala Terengganu adalah ibu Negeri Terengganu Darul Iman. Terletak 450 km dari Timur Laut Kuala Lumpur. 
Status bandaraya telah diberikan kepada Kuala Terengganu dengan gelaran "Bandaraya Warisan Pesisir Air" pada 1 Januari 2008. 

Batu Burok Beach Resort, Kuala Terengganu pada tahun 2015

Batu Burok Beach Resort pada tahun 2016
KUALA TERENGGANU - MSU COLLEGE KUALA TERENGGANU
Program kami seterusnya ialah di MSU College Kuala Terengganu (sebelum ini dikenali dengan Kolej PTPL) pada 17 July 2017. 
Ini adalah program kali kedua saya mengikutinya. Namun nasib tak menyebelahi saya ketika ini, kerana saya telah mengalami Demam serta Cirit Birit dan Muntah akibat keracunan makanan pada malam sebelumnya. 
Akibatnya, semasa program berjalan saya terpaksa tidor dan berehat di dalam Van Yayasan Jantung Malaysia. 
Seramai 104 orang pelajar, Pensyarah dan setaf telah menjalani ujian Pemeriksaan Kesihatan. 


Kunjungi kami kali pertama di MSU College KT ialah pada tahun 2016


Selesai program di MSU College KT, kami meneruskan perjalanan kami ke Setiu, Terengganu untuk program selanjutnya. Perjalanan sejauh 65.1 km mengambil masa lebih kurang 1 jam 10 min.

SETIU, TERENGGANU

PANDAN LAUT BEACH RESORT, SETIU, TERENGGANU



Di Setiu, Terengganu, kami menginap di Pandan Laut Beach Resort . Ini merupakan kali kedua saya menginap di sini. Kali pertama ialah pada tahun 2015. 

Rujuk : 
http://zulheimymaamor.blogspot.my/2015/02/kuala-terengganu-setiu-2015.html











UNIVERSITY COLLEGE BESTARI, SETIU, TERENGGANU



University College Bestari (dahulu Kolej Teknologi Bestari) ditubuhkan pada awal tahun 1998 pada asalnya terletak di Kg. Saujana, Permaisuri, Setiu, Terengganu yang disewakan dari Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) sehinggalah pada tahun 2004 ia berpindah ke bangunan sekarang yang terletak di Kg. Putera Jaya, Setiu, Terengganu. 
Kolej Teknologi Bestari dinaikkan taraf sebagai University College Bestari pada 1 Ogos 2012. 

Ini adalah kali kedua kami menjalankan ujian Pemeriksaan Kesihatan di UCB. Kali pertama ialah pada tahun 2015. 








PERJALANAN PULANG
Kami bertolak dari Setiu ke Kuala Lumpur pada jam 10.30 pagi. Kami singgah di Kg. Losong, Kuala Terengganu untuk membeli Keropok Losong yang cukup terkenal di Terengganu sebagai ole-ole untuk dibawa pulang. 






Kami tiba di Kuala Lumpur lebih kurang jam 7.00 petang. Demikianlah berakhirnya kembara kami di Terengganu untuk tahun 2017. In sya Allah tahun hadapan kami akan datang lagi ke Terengganu. 

Sekian. 

No comments:

Post a Comment