ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 29 May 2017

TRAGEDI KEBAKARAN CAMPBELL SHOPPING COMPLEX TAHUN 1976


MEI 1973, sebuah kompleks berharga RM10 juta dibuka dan secara tidak rasmi menjadi mercu tanda Kuala Lumpur pada masa itu kerana ia satu-satunya bangunan pencakar langit di pusat bandar raya yang menjadi kebanggaan warga kota. 


Kompleks Campbell itu mengandungi podium setinggi empat tingkat menempatkan gedung pakaian, kedai kamera, kedai jahit, restoran, bar, sebuah kelab malam serta bangunan pejabat setinggi 20 tingkat. 

Ketika usianya baru mencecah tiga tahun, bangunan itu hangus dijilat api pada 8 April 1976 yang disifatkan tragedi paling besar pada era 70-an kerana pasukan bomba dan penyelamat terpaksa mengambil masa hampir 30 jam untuk memadamkan kebakaran itu. 

Kejadian dikatakan bermula pada jam 10.30 malam dan api marak sehingga jam 2 pagi di bangunan yang menempatkan 180 kedai serta 20 tingkat bangunan pejabat. 

Bangunan itu menempatkan Ibu Pejabat Bank Kerjasama Rakyat, Lembaga Latihan Persijilan Perusahaan Ketukangan Kebangsaan, seksyen akaun Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Kejadian disifatkan media sama seperti filem 'The Towering Inferno' yang mendapat sambutan hangat di pawagam ketika itu. 

Seorang peniaga, Yap Leong Hoem, 59, maut selepas terjun dari tingkat dua kompleks berkenaan manakala lebih 1,000 orang hilang pekerjaan - antaranya pekerja Emporium Campbell, pejabat, gerai kompleks, kedai pakaian, alat solek, kedai kasut, kedai rekod dan syarikat pelancongan. 

Kebakaran itu mula disedari seorang pengawal keselamatan yang bertugas di tingkat dua kompleks selepas ternampak kepulan asap keluar daripada sebuah kedai batik kira-kira jam 10.45 malam dan asap mula menyelubungi seluruh tingkat berkenaan. 

Ketika itu, kebanyakan kedai di situ sudah ditutup kerana hanya beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari. 

Pengawal keselamatan bersama seorang lagi rakannya cuba memadam kebakaran awal menggunakan alat pemadam api tetapi gagal kerana api marak terlalu cepat. 

Mangsa yang terkorban, Yap Leong Hoem, dikatakan berada di tingkat dua dan terlalu panik menyebabkannya membuat pilihan nekad dengan terjun bangunan dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Enam lagi termasuk wanita yang berada di kelab malam di tingkat lima turut pengsan kerana terhidu asap tebal. 

Pasukan bomba mula memasuki bangunan dengan memakai topeng gas serta membawa tangki oksigen untuk menyelamat dan memadam kebakaran tetapi usaha awal mereka selama dua jam tidak begitu berhasil. 

Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) turut membantu mengawal keadaan dan Jalan Campbell mula ditutup kepada orang ramai bagi memudahkan usaha mengawal dan memadam kebakaran. 

Wartawan Berita Harian yang membuat liputan kebakaran, Muhammad Sharom Suboh bersama dua rakan setugas, Halim Majid dan Ali Mansor menyifatkan kejadian itu amat menggerunkan tetapi memberi banyak pengalaman serta pengajaran. 

Kami dapat menyaksikan api merebak dari satu tingkat ke satu tingkat lain. Satu demi satu tingkat hangus, kaca pecah dan berterbangan. Orang ramai memenuhi segenap penjuru kawasan sekitar untuk melihat sendiri kebakaran. 

Ia menggerunkan kerana itulah pengalaman pertama menyaksikan kebakaran begitu besar. Walaupun hujan lebat pada tengah hari, ia tidak memadai untuk membantu pasukan bomba. Ketika itu pun, kelengkapan pasukan bomba tidak secanggih sekarang. 

Wartawan juga bertugas membuat liputan 24 jam sehari kerana kebakaran serta operasi memadam mengambil masa terlalu lama,?katanya. 

Sharom yang berusia 19 tahun ketika itu dan kini memegang jawatan Ketua Perkhidmatan Sokongan Editorial NSTP menjelaskan, warga kota yang bangun pagi pada hari kejadian untuk keluar bekerja serta menjalankan urusan harian terkejut dengan kejadian yang meranapkan bangunan kebanggaan ibu kota. 

Kebakaran itu dikatakan menyebabkan kerugian kira-kira RM50 juta dan difahamkan, bangunan itu diinsuranskan sebanyak RM30 juta. Setiap kedai di situ dilapor mengambil insurans sekurang-kurangnya RM100,000. 

Kejadian itu turut menarik perhatian Menteri Kebajikan Am, Aishah Ghani; Ahli Parlimen Bukit Bintang, Lee Lam Thye serta Penolong Ketua Polis Negara, Datuk Mahmud Yunus. 


Kronologi kejadian: 

10.45 malam - asap tebal dikesan di tingkat dua kompleks 

11.00 malam - Pasukan bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian. 

11.15 malam - Jalan Campbell ditutup kepada semua lalu lintas. 

7 pagi - asap masih kelihatan di tingkat tiga dan sebahagian dinding mula retak akibat terlalu panas 

10 pagi - api mula reda 

12.30 tengah hari - asap tebal tiba-tiba kelihatan di tingkat 16, 17, 18 

1.30 tengah hari - hujan renyai 

1.30 tengah hari - kira-kira 100 penduduk dan warga polis yang tinggal berdekatan diarahkan berpindah 

2.00 petang - hujan lebat tetapi api terus marak dengan cepat 

2.10 petang - api merebak dari tingkat ke tingkat bangunan. 

2.30 petang - bomba menghentikan operasi memadam kerana api terlalu besar 

2.50 petang - angin bertiup kencang menyebabkan api bertambah marak dan kaca tingkap mulai jatuh. 

3.30 petang - api marak ke tingkat 20 dan 21 

4.30 petang - api mulai padam dan hanya kelihatan di tingkat paling atas. 

5.30 petang - Jalan Campbell mula dibuka kepada orang ramai. 

6 petang - orang ramai yang berkumpul menyaksikan kebakaran mula berundur. 

2 pagi - api dilihat masih membara di tingkat paling atas dan pihak berkuasa ditempatkan di situ mengawal keadaan.

Sumber:
http://www.carigold.com/portal/forums/archive/index.php/t-218800.html

No comments:

Post a Comment