ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 30 May 2017

Genap 53 tahun siaran TV di Malaysia

Sinar Harian - 28 Disember 2016

28 Disember - HARI ini, pada 53 tahun yang lalu, industri penyiaran negara yang bermula dengan perkhidmatan radio mencatat sejarah dengan pelancaran perkhidmatan televisyen (TV). 

Cadangan mewujudkan perkhidmatan TV dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Kabinet pada 16 Mac, 1960 dengan penubuhan satu jawatankuasa tetap dipengerusikan oleh Menteri Muda bagi Kementerian Penerangan dan Penyiaran, Syed Jaafar Albar. 

Jawatankuasa itu turut dianggotai Yaakob Latif (Pengarah Penerangan), Dol Ramli (Pengarah Penyiaran), J.H. Wagstaff (Ketua Pengarah Telekom) dan Ow Kheng Law (Ketua Unit Filem Negara). 

Penolong Setiausaha di Jabatan Perdana Menteri, Abdullah Ayub bertindak sebagai setiausaha jawatankuasa. 

Pakar kejuruteraan Suruhanjaya Penyiaran Kanada (CBC), G.H. Jones dan pakar perancangan dan perancangan CBC, G.F Brickenden ditugaskan untuk menyediakan laporan mengenai pelbagai aspek penyiaran TV kepada kerajaan. 

Jones mengemukakan beberapa cadangan mengenai aspek kejuruteraan pada 14 Ogos, 1962 manakala Brickenden mengemukakan satu lagi laporan pada 1963. 

Akhirnya pada 28 Disember 1963, perkhidmatan TV Malaysia dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dari studio sementaranya di Dewan Tuanku Abdul Rahman di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. 


Fasa Baharu Industri Penyiaran

Pelancaran TV Malaysia merupakan fasa baharu industri penyiaran di negara ini setelah penubuhan stesen radio pertama di Tanah Melayu pada 24 Ogos, 1934. 

TV Malaysia memulakan operasi dengan beberapa penggerak terdiri daripada anak tempatan di bawah pengawasan pakar CBC. 

Anak tempatan yang menjadi perintis kepada perkhidmatan TV adalah Ow Kheng Law (Pengarah TV), Kirpal Singh (Ketua Kejuruteraan) Raja Iskandar (Ketua Bahagian Rancangan) dan Luke Ang (Ketua Berita). 

Kumpulan pertama operasi penerbitan terdiri daripada (Tan Sri) Ahmad Merican, (Datuk) Abdullah Mohamad, (Datuk) Syed Alwi, Hashim Amir Hamzah, Low Hing Boon, Tan Gek Siam dan Richard Job. 

Pada awal penubuhannya, TV Malaysia hanya mempunyai satu saluran yang bersiaran selama 44 jam seminggu dari jam 6.30 petang hingga 9.45 malam pada Isnin hingga Jumaat. 

Pada Sabtu dan Ahad pula, siaran bermula pada jam 3.00 petang dan tamat pada 11.10 malam. 

Lima puluh peratus rancangan disiarkan secara langsung termasuk siaran berita dengan jumlah masa siaran 40 minit sehari dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil. 

Baki lima puluh peratus lagi siaran adalah filem terbitan Filem Negara Malaysia serta rancangan import.


Perkembangan Teknologi Penyiaran

Setelah bersiaran melalui satu saluran selama lima tahun, Kementerian Penerangan mewujudkan rangkaian kedua perkhidmatan TV pada 17 November, 1969. 

Operasi penerbitan diperluaskan setelah berpindah ke Wisma TV di Angkasapuri yang dilancarkan pada 1968 oleh Tunku Abdul Rahman. 

Teknologi siaran TV terus berkembang apabila siaran TV warna dilancarkan pada 1978 dan sekaligus meletakkannya setaraf dengan industri penyiaran di negara lain. 

Sejajar dengan perkembangan teknologi internet, Radio Televisyen Malaysia atau RTM yang memayungi perkhidmatan radio dan TV kerajaan turut mengorak langkah dalam memanfaatkan teknologi media baharu dengan memperkenalkan penstriman TV. 

Pada tahun 2012, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan ketika itu, Tan Sri Dr Rais Yatim melancarkan perkhidmatan penstriman TV melalui telefon pintar. 

Seiring dengan perkembangan teknologi penyiaran dan ledakan media baharu, misi dan objektif RTM turut mengambil kira cabaran dan saingan dalam industri penyiaran terkini. 

RTM yang mula disaingi oleh stesen swasta dengan penubuhan TV3 pada 1984 tetap mampu menjadi peneraju industri penyiaran negara meskipun pada masa sama harus bersaing dengan pelbagai stesen terestrial swasta dan saluran berbayar. 

Untuk meningkatkan keupayaannya, RTM turut memanfaatkan saluran TV berbayar dengan mewujudkan TVi dan Muzik Aktif. 

Bagaimanapun, matlamat asal penubuhannya tetap sama. 

RTM tetap komited dalam melahirkan negara bangsa menerusi perkhidmatan penyiaran berteraskan gagasan 1Malaysia. 

Dalam tempoh lebih lima dekad ini, TV Malaysia yang merupakan entiti penting dalam RTM di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia terus bergerak bagi merealisasikan matlamatnya menjadi penyiar terulung di rantau ini. 

Antara lain, RTM sedang mempersiapkan diri menghadapi era pendigitalan bagi memenuhi keperluan industri penyiaran global yang semakin berkembang serta persaingan dengan media sosial yang mula menguasai industri teknologi maklumat dan komunikasi. - Bernama


No comments:

Post a Comment