ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 21 April 2017

Benarkah Wanita Dijadikan Daripada Tulang Rusuk?

Di dalam dunia Islam ulama berbeza pandangan mengenai asal usul kejadian isteri nabi Adam a.s. Yang masyhur adalah mengatakan ia dijadikan daripada tulang rusuk Adam. Berdalilkan ayat al Quran yang bermaksud:
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembang biakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mengunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An-Nisa : 1)
Mereka menafsir ayat “menciptakan kamu dari diri yang satu (Adam) dan daripadanya Allah mencipta isteri” dengan hadis nabi yang mengatakan wanita itu dari tulang rusuk:
عن أبي هريرة عن النبي صلى الله عليه وسلم قال: (من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فلا يؤذي جاره واستوصوا بالنساء خيرا، فإنهن خلقن من ضلع، وإن أعوج شيء في الضلع أعلاه، فإن ذهبت تقيمه كسرته، وأن تركته لم يزل أعوج، فاستوصوا بالنساء خيرا
“… Saling berwasiatlah kalian untuk berbuat baik kepada wanita. Kerana, mereka tercipta dari tulang rusuk. Yang paling bengkok dari tulang rusuk itu adalah yang paling atas. Jika berusaha meluruskannya, engkau akan membuatnya patah. Dan jika dibiarkan, ia akan terus bengkok. Kerana itu, saling berwasiatlah kalian untuk berbuat baik kepada wanita.” (HR. Bukhari no: 5185)
Mereka berpendapat dari diri Adam yang satu itu dicipta isterinya dari tulang rusuk Adam.[1] Antara ulama yang berpegang dengan pendapat isteri Adam berasal daripada tulang rusuk ialah Abdullah Bin Abbas, Abdullah Bin Mas'ud, Imam Mujahid, Ibn Munzir, Ibn Humaid dan ramai lagi.[2]
Asal Wanita Bukan Dari Tulang Rusuk
Adapun pandangan yang mengatakan sebaliknya mereka membahas pendapat isteri Adam bukan dicipta dari tulang rusuk sebaliknya dicipta sama seperti Adam iaitu dari tanah. Ini kerana di dalam al Quran dan hadis tidak pernah mengatakan wanita itu dicipta dari bahagian rusuk Adam. Mereka membahas ayat yang sama dalam surah an Nisa ayat 1.
Yang mana penafsiran mereka terhadap ayat رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُمْ مِنْ نَفْسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا bermaksud “Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya”. Dimaksudkan dicipta daripada diri yang satu itu adalah tanah. Sepertimana Adam dicipta dari tanah maka isterinya juga dicipta dari tanah yang sama.[3]
Manakala di dalam hadis Bukhari yang diatas menyebut wanita dari tulang rusuk itu adalah berbentuk majazi atau kiasan. Malah di dalam hadis itu juga nabi tidak menyatakan secara khusus wanita manakah yang dari tulang rusuk itu dan tidak disebut juga tentang isteri nabi Adam di dalam hadis itu. Ini menunjukkan bahawa hadis itu berbicara dalam bentuk metafora kepada sifat perempuan. Ini kerana apabila dihimpun hadis-hadis lain, nabi menyebut:
عن أبي هريرة: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: المرأة كالضلع، إن أقمتها كسرتها
Perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu ingin meluruskannya, sama halnya kamu akan mematahkannya. (HR. Bukhari: 4889).
المرأةُ كالضِّلَعِ، إن أقَمْتَها كَسَرْتَها، وإن استمتعْتَ بها استمتَعَت بها وفيها عِوَجٌ
“Seorang perempuan itu seperti tulang rusuk. Jika kamu meluruskannya maka kamu memetahkannya, dan jika kamu bersenang-senang dengannya maka sungguhnya kamu bersenang-senang dengannya sedangkan pada dirinya ada kebengkokan.” (HR: Bukhari 5184)
Digunakan kalimah كالضلع iaitu SEPERTI tulang rusuk. Hadis ini lebih jelas lagi menyatakan sifat perempuan itu seperti tulang rusuk bukan diciptakan daripada tulang rusuk. Antara ulama yang menyokong bahawa wanita bukan berasal dari tulang rusuk adalah Imam Bukhari sendiri. Kecenderungan Imam al-Bukhari ketika membuat Tarjamatul Bab di dalam Sahihnya, iaitu:
باب: المداراة مع النساء، وقول النبي صلى الله عليه وسلم: إنما المرأة كالضلع .
Bab berlembut dengan wanita dan Sabda Nabi s.a.w.: Sebenarnya perempuan itu seperti tulang rusuk.
Dengan membuat tajuk sebegini Imam al-Bukhari jelas tidak berpendapat bahawa isteri Adam itu dijadikan daripada tulang rusuk. Begitu juga di dalam al-Adab al-Mufrad, Imam al-Bukhari mengemukakan riwayat:
إن المرأة ضلع , وإنك إن تريد أن تقيمها تكسرها
“Sesungguhnya perempuan itu tulang rusuk. Jika kamu mahu untuk meluruskannya maka kamu akan mematahkannya.” (al Adab al Mufrad No: 574)
Apakah hadis ini menyatakan hakikat perempuan itu sebenarnya dari tulang rusuk? Tentu sekali tidak. Hadis ini merupakah satu bentuk tasybih atau perumpamaan yang mempunyai nilai balaghah yang tinggi. Oleh itu hadis-hadis mengenai wanita dan tulang rusuk boleh juga dikatakan tidak boleh difahami secara harfiah (literal). Ini kerana ada hadis lain nabi jelas menggunakan lafaz metafora seperti hadis-hadis sebelum ini berkait dengan wanita, nabi bersabda:
عن أبي قلابة، عن أنس رضي الله عنه: أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في سفر، وكان غلام يحدو بهن يقال له أنجشة، فقال النبي صلى الله عليه وسلم: (رويدك يا أنجشة سوقك بالقوارير). قال أبو قلابة: يعني النساء. 
Daripada Abu Qilabah daripada Anas bin Malik bahawa Rasulullah berada dalam satu perjalanan. Ada seorang budak yang dikenali dengan Anjisyah menarik unta yang ditunggangi oleh wanita-wanita. Lalu Rasulullah bersabda: Wahai Anjisyah! Perlahankanlah kerana yang kamu tarik itu ialah botol-botol kaca. Perawi, Abu Qilabah, berkata: Maksudnya ialah wanita-wanita. (Bukhari no: 6210)

Rasulullah menggambarkan wanita itu sebagai golongan yang lembut dari segi perwatakan dan cukup sensitif. Baginda menyebutkan wanita seperti botol-botol kaca yang mudah pecah jika tidak dijaga dan diberi perhatian.
Hasil perbincangan, kami memilih pandangan yang mengatakan wanita itu bukan berasal daripada tulang rusuk Adam. Ini kerana hadis-hadis nabi berbicara tentang wanita dan tulang rusuk adalah lebih kepada berbentuk majazi. Hadis-hadis yang berkaitan dengan wanita dan tulang rusuk ini lebih membawa kepada saranan lelaki supaya berlemah lembut dengan wanita. Isyarat tulang rusuk itu menunjukkan kedudukan yang paling dekat apabila seseorang itu memeluk dan menjaga sesuatu dengan sangat berhati-hati. Jika tidak sudah tentu nabi boleh menggunakan kiasan pelepah tamar yang bengkok berbanding dengan tulang rusuk.[4]
Hadis itu juga mengisyaratkan bahawa wanita tidak ada yang sempurna sama halnya dengan lelaki. Tetapi hadis ini lebih mengkhususkan supaya orang lelaki menerima sifat wanita itu seadanya tanpa meluruskan kerana hal itu boleh menyebabkan ia ‘patah’.[5]
Bible Dan Kejadian Hawa
Di dalam Bible jelas menceritakan bagaimana penciptaan isteri Adam yang disebut sebagai Eve atau Hawa. Nama Hawa terdapat di dalam Perjanjian Lama dan tidak terdapat di dalam al Quran. Di dalam Perjanjian Lama ini ada menyebut tentang awal pencipataan wanita, di dalam buku Kejadian menyebut:
“Lalu TUHAN membuat manusia itu tidur nyenyak; ketika ia tidur, TUHAN mengambil salah satu rusuk dari padanya, lalu menutup tempat itu dengan daging. Dan dari rusuk yang diambil TUHAN dari manusia itu, dibangun-Nyalah seorang perempuan, lalu dibawa-Nya kepada manusia itu. Lalu berkatalah manusia itu: "Inilah dia, tulang dari tulangku dan daging dari dagingku. Ia akan dinamai perempuan, sebab ia diambil dari lelalki." Sebab itu seorang lelaki akan meninggalkan ayahnya dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya menjadi satu.” (Kejadian 2: 21-24)
Di dalam ayat Bible ini jelas menceritakan penciptaan Hawa adalah daripada tulang rusuk Adam. Ia dicipta daripada salah satu tulang itu lalu dibentukkan menjadi Hawa.
Kesimpulan
Di dalam al Quran tidak menyebut isteri Adam dicipta daripada tulang rusuk. Akan tetapi di dalam Bible jelas menyebut tentangnya.
Adapun berkait dengan hadis nabi yang dibincangkan sebelum ini. Hadis itu lebih membincangkan soal metafora dan perumpamaan yang dikaitkan dengan sifat wanita. Malah tidak ada satupun hadis yang mengatakan isteri Adam dicipta dari tulang rusuk. Walaupun begitu kita menghormati pandangan ulama tafsir yang mengatakan asal kejadian isteri Adam adalah dari tulang rusuk baginda.
Wallahua’alam
Nota Kaki:
[1] Lihat Ibnu Kathir, (2012). Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Pustaka Ibnu Katsir, Jakarta, Jilid 2, hlm 414
[2] Lihat Prof HAMKA, (1987). Tafsir al Azhar, Pustaka Panjimas, Jakarta, Juzu’ 4, hlm 216
[3] Perbahasan perkataan ‘min’ itu memberi maksud “daripada”, “punca sesuatu perkara” atau “sebahagian”, kata min juga mempunyai makna lain seperti “untuk menyatakan sebab” dan “menyatakan jenis sesuatu perkara”. Oleh itu, pemakaian huruf ini dalam bahasa Arab adalah luas dan tidak semestinya terikat dengan satu makna sahaja, Lihat, Ibn Hisyam, Mughni al-Labib, jil. 1, hal. 319 dan Rujuk matan alfiyah ibn maalik fii alnahwi wa assarf / Lihat Zulkifli Haji Mohd Yusoff & Aunur Rafiq, (2007). Isu-Isu Gander: Perspektif Ulama al Azhar, Intel Multimedia and Publication, Selangor, hlm 6-7. 
[4] Lihat Syeikh Muhammad Shalih al Uthaimin, (2012). Syarah Shahih Bukhari, Darus Sunnah Press, Jakarta Timur, Jilid 6, hlm 577 
[5] Ibid

R&D TEAM MRM

Sumber: 

No comments:

Post a Comment