ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 21 March 2017

MASALAH NAMA


Asal hukum bagi sebarang nama ialah Harus selagi tidak terkandung dalam kategori nama-nama yang ditegah Syarak iaitu;

1. Nama yang menunjukkan penghambaan kepada selain Allah. Contohnya memberi nama “Abdul Amir” (hamba pemimpin), “Abdun-Nabi” (hamba Nabi) dan sebagainya. Imam al-Hakim meriwayatkan dari Abdurrahman bin ‘Auf (seorang sahabat) yang menceritakan; “Nama aku asalnya ialah ‘Abdu ‘Amrin (Hamba Amar), namun selepas aku memeluk Islam Nabi s.a.w. menukar namaku kepada ‘Abdurrahman (Hamba Tuhan yang Maha Pengasih)”.
- (Riwayat al-Hakim, dipersetujui oleh Imam az-Zahabi, 3/306).

2. Memberi nama dengan nama-nama yang khusus untuk Allah seperti nama ar-Rahman, ar-Razzaq, al-Khaliq, ar-Rab dan sebagainya. Jika hendak menggunakan nama-nama dalam kategori ini hendaklah diletakkan 'Abdul' di hadapannya yang memberi makna “Hamba…”.

3. Nama-nama yang khusus bagi orang-orang kafir seperti Boutrus, Jarjis, ‘Abdul-Masih dan seumpamanya (yang menunjukkan kepada penganut agama tertentu).

4. Nama-nama yang diambil sempena berhala atau orang-orang yang disembah selain Allah seperti nama syaitan dan sebagainya.
(*Nama-nama di atas haram digunakan atau dipakai oleh seorang Muslim. Seorang yang menyedari nama yang diberikan kepada beliau menunjukkan kepada pengertian-pengertian di atas, wajib ia menukarnya).

5. Dimakruhkan nama-nama yang tidak memberi pengertian yang elok, iaitu nama-nama yang buruk dan jelik maknanya atau tidak menggambarkan keperibadian seorang Muslim. Nama-nama dalam kategori ini sunat ditukar.

Selagi tidak terbabit dengan larangan di atas, harus memberi nama dengan nama apa sahaja asalkan pengertiannya adalah baik dan elok. Adalah digalakkan memberi nama dengan menggunakan kalimah Arab kerana ia lebih menggambarkan keislaman di samping senang dirujuk maknanya kepada ulamak-ulamak Islam.

Secara urutannya, nama yang terbaik digunakan ialah mengikut susunan berikut;

1) Menggunakan nama-nama yang menunjukkan penghambaan kepada Allah seperti ‘Abdullah (Hamba Allah), ‘Abdurrahman (Hamba kepada Tuhan penyayang), Abdul-Aziz (Hamba kepada Tuhan yang perkasa), ‘Abdur-Razzaq (Hamba kepada Tuhan pemberi rezki) dan seumpamanya.

2) Memberi nama sempena para Nabi dan Rasul. Nama terbaik tentunya nama Nabi kita “Muhammad”, diikuti dengan Rasul-Rasul Ulul-Azmi iaitu Ibrahim, Musa, Nuh dan Isa, seterusnya nama-nama Nabi-Nabi yang lain.

3) Memberi nama sempena orang-orang soleh di antaranya nama-nama para sahabat, para Syuhada', para ulamak dan sebagainya.

4. Semua nama yang memberi makna yang baik dan elok.

Adapun di alam kubur nanti, penerimaan terhadap seseorang tidaklah bergantung kepada namanya, akan tetapi bergantung kepada iman dan amalannya. 

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid, laman as-Sual wa al-Jawab (islamqa.com), lihat fatwa no. 7180 dan 135961.

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

21/3/2017 : 11.13 PM

No comments:

Post a Comment