ZULHEIMY MAAMOR

Wednesday, 7 September 2016

Siapakah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah?

Soal Jawab Mufti Wilayah Persekutuan
Soalan: السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
1. Siapakah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah?

2. Adakah al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah termasuk Ahlis-Sunnah wal-Jama'ah?
3.Apakah pegangan aqidah para ulama Nusantara termasuk Malaysia sejak kedatangan Islam ke rantau kita ini?

Saya sangat mengharapkan jawapan tuan kerana sekarang ada pihak tertentu menuduh bahawa al-Asha'irah dan al-Maturidiyyah bukan Ahlis-Sunnah wal-Jama'ah bahkan ada yang mengkafirkan mereka.
Jawapan: بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

Waalaikummussalam warahmatullah wabarakatuh. Terima kasih kepada saudara yang bertanya. Jawapan bagi 3 soalan tersebut saya rangkum dalam jawapan yang panjang ini. Dengan tawfiq Allah taala saya katakan :
Golongan yang benar-benar mengikut landasan agama Allah hanyalah Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah. Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah adalah golongan majoriti umat Nabi Muhammad. Mereka adalah para sahabat dan orang-orang yang mengikuti mereka dalam dasar-dasar aqidah (ما أنا عليه وأصحابي ), iaitu enam perkara penting yang menjadi rukun iman sebagaimana disebutkan dalam hadith Jibril. Rasulullah Salla Allah Alayhi Wa Sallam bersabda dalam hadith tersebut :
الإيمان أن تؤمن بالله وملائكته وكتبه ورسله واليوم الآخر والقدر خيره وشره (رواه البخاري ومسلم)
Mafhumnya: "Iman adalah bahawa engkau beriman (yakin) kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, Rasul-rasul-Nya, hari kiamat, serta qadar (ketentuan)-Nya yang baik dan yang buruk" (H.R. al-Bukhari dan Muslim).
Majoriti umat Muhammad tersebut yang paling afdhal adalah mereka yang hidup pada abad tiga ratus tahun pertama hijriyah, mereka adalah yang dimaksudkan dalam sabdaan Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam :
خير القروني قرني ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم (رواه الترميذي في سننه )
Mafhumnya : "Sebaik-baik kurun adalah kurunku (dimana aku hidup dan sahabatku), kemudian kurun setelahnya (masa tabi'in), kemudian kurun setelahnya (tabi' at-Tabi'in)" (H.R. at-Tirmizi di dalam Sunannya). Menurut al-Hafiz Abu al-Qasim ibn 'Asakir di dalam kitabnya Tabyiin Kazib Al-Muftari dan lain-lain yang dimaksudkan dengan (القرن) di dalam hadith di atas adalah seratus tahun. Mereka juga adalah umat yang dimaksudkan dalam hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh at-Tirmizi dalam Sunannya dan selainnya :
أوصيكم بأصحابي ثم الذين يلونهم ثم الذين يلونهم
Mafhumnya: "Aku wasiatkan kepada kamu semua (agar selalu mengikuti) sahabat-sahabatku kemudian yang mengikuti mereka, kemudian orang-orang yang mengikuti (orang-orang yang mengikuti) sahabatku". Dalam hadith lain Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda :
عليكم بالجماعة وإياكم والفرقة فإن الشيطان مع الواحد وهو من الإثنين أبعد فمن أراد بحبوحة الجنة فليلزم الجماعة (صححه الحاكم وقال الترمذي : حسن صحيح)
Mafhumnya : "Hendaklah kamu selalu berpegang teguh pada (aqidah) majoriti umat, dan janganlah kamu semua bercerai-berai (dari akidah majoriti umat tersebut), kerana sesungguhnya syaitan itu bersama orang yang bersendirian (menyisihkan diri dari akidah jemaah) dan dia lebih menjauhi dirinya daripada dua orang (mejoriti umat), maka sesiapa yang ingin mendapatkan tempat yang lapang di syurga hendaklah dia berpegang teguh pada aqidah al-jama'ah (majoriti umat Muhammad)" (hadith ini disahihkan oleh al-Hakim, manakala Imam at-Tirmizi mengatakan : "hadith ini adalah hasan sahih".
Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya daripada hadith Mu'awiyah yang memberi maksud majoriti umat Muhammad yang berpegang dengan akidah sejati, Rasululllah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam bersabda:
وإن هذه الملة ستفترق على ثلاث وسبعين ، ثنتان وسبعون في النار وواحدة في الجنة وهي الجماعة
Mafhumnya: "Dan sesungguhnya umat Islam ini akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, tujuh puluh dua golongan akan masuk neraka dan satu golongan akan masuk syurga, mereka adalah al-jama'ah (majoriti umat Muhammad)". Di dalam sesetengah riwayat berbunyi :

كلهم في النار إلا السواد الأعظم

Mafhumnya : "kesemua masuk neraka melainkan (السواد الأعظم). Lafaz Al-jama'ah dalam hadith pertama ditafsirkan dengan hadis kedua yang warid (السواد الأعظم) maknanya; majoriti umat nabi Muhammad. Ini bertepatan dengan kata-kata al-Hafidz al-`Iraqi :
خير ما فسرته بالوارد
Mafhumnya : "sebaik-baik yang mentafsirkannya ialah perkara yang warid juga".
Rasulullah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam mengkhabarkan kepada kita di dalam hadith (الافتراق) di atas bahawa umat ini akan berpecah di dalam perkara-perkara akidah kepada beberapa puak dan baginda menjelaskan juga bahawa golongan yang terselamat (الفرقة الناجية) ialah mereka yang berpegang dengan akidah majoriti umat Muhammad. Umat Muhammad sentiasa dalam kebenaran, tidak akan sesekali sesat kerana umat Islam tidak akan bersepakat di atas kesesatan dan kebatilan (لا تجتمع أمتي على الضلال).
Hadis ini memberi petunjuk yang jelas kepada kita bahawa Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah adalah (الفرقة الناجية) golongan yang terselamat dan mereka yang dikatakan golongan yang terselamat itu pula adalah golongan al-Asya`irah dan al-Maturidiyyah. Realiti yang boleh disaksikan dari dulu hinggalah ke hari ini menunjukkan bahawa majoriti Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah bermula daripada salaf dan khalaf selaras dengan akidah al-Asyairah iaitu pengikut Imam Abu Al-Hasan Al-Asy`ari dan al-Maturidiyyah iaitu pengikut Imam Abu Mansur Al-Maturidi. Justeru, majoriti umat Islam menjadikan matodologi keduanya sebagai panduan dalam penyusunan dalil, perumusan akidah Ahlus Sunnah Wa al-Jamaah, penolakan dan penentangan terhadap golongan yang menyeleweng.
Kebenaran al-Asya`irah Dan Al-Maturidiyyah Disokong Oleh Al-Quran Dan Hadith
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ مَن يَرْتَدَّ مِنكُمْ عَن دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ أَذِلَّةٍ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ أَعِزَّةٍ عَلَى الْكَافِرِينَ يُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللّهِ وَلاَ يَخَافُونَ لَوْمَةَ لآئِمٍ ذَلِكَ فَضْلُ اللّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَاءُ وَاللّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ) المائدة :54
Mafhumnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa yang murtad daripada agamanya (Islam) maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang mana Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah, yang bersikap lemah-lembut terhadap orang-orang yang beriman dan bersikap tegas terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah dan tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah maha luas pemberiannya lagi Maha Mengetahui". ( Al-Maidah:54 ).
Al-Hafiz Ibn `Asakir di dalam kitabnya (تبيين الكذب المفتري) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak meriwayatkan bahawasanya tatkala turun ayat ini, Rasulullah mengisyaratkan kepada Abu Musa Al-Asy`ari dengan bersabda:
هم قوم هذا
Mafhumnya : "Mereka (yang dimaksudkan di dalam ayat tadi ) adalah kaum ini". Berkata Imam al-Qusyairi :
"Pengikut Abu al-Hasan al-Asy`ari adalah termasuk kaumnya kerana setiap tempat yang disandarkan perkataan kaum oleh nabi ia membawa maksud pengikut. Perkara ini disebut oleh Imam al-Qurtubiy di dalam kitab tafsirnya.(rujuk kitab tersebut jilid 6 halaman 220).
Berkata al-Hafiz al-Baihaqi :
"Perkara ini adalah kerana wujudnya kelebihan yang mulia dan martabat yang tinggi bagi imam Abu al-Hasan al-Asy`ari semoga Allah meredhainya. Dia adalah daripada kaum Abu Musa dan anak-anaknya dianugerahkan ilmu pengetahuan, diberikan kefahaman secara khusus dikalangan mereka dengan menguatkan sunnah, membasmi bid`ah dengan mengeluarkan hujah dan membantah penyelewengan. Perkara ini disebut oleh al-Hafiz Ibn `Asakir di dalam kitab (تبيين الكذب المفتري).
Imam Bukhari, seorang yang berstatus amir al-mukminin dalam bidang hadith menyebutkan di dalam sahihnya pada bab ((باب قدوم الأشعريين وأهل اليمن)). Baginda bersabda kepada Abu Musa :
هم مني وأنا منهم
Mafhumnya : "mereka sebahagian daripadaku, aku pula sebahagian daripada mereka".
Sultan yang tersohor, Sultan Shalahuddin Al-Ayyubi berakidah mengikut jalanan imam Abu Al-Hasan Al-Asya`ari. Pada zamannya seorang 'alim bernama Al-Faqih Muhammad Ibn Hibatillah Al-Makki mengarang sebuah risalah yang berjudul "حدائق الفصول وجواهر الأصول" yang kemudian terkenal dengan nama "قصيدة atau عقيدة ابن المكي". Seterusnya beliau menghadiahkannya pada Sultan Yusuf Shalahuddin semoga Allah merahmatinya. Sultan menerima baik kitab tersebut dan mengeluarkan titah perintah agar kitab tersebut diajarkan kepada semua lapisan masyarakat sehingga kepada anak-anak di sekolah-sekolah. Oleh kerana sikap titik beratnya kepada penyebaran ilmu akidah di dalam kitab ini, akhirnya akidah tersebut tersebar dan terkenal dengan nama lain iaitu al-'aqidah as-shalahiyah.
Sultan Shalahuddin adalah seorang yang 'alim ahli feqah yang bermazhab Syafi'iyah, beliau memiliki pengetahuan yang luas dalam ilmu hadith dan beliau juga menghadiri majlis-majlis para ulama hadith serta beliau juga meriwayatkan hadith daripada mereka. Selain itu beliau juga menghafal kitab at-Tanbih, sebuah kitab yang membicarakan ilmu feqah dalam Mazhab Syafi'i.
Kita alhamdulillah bersyukur kepada Allah kerana sejak turun-temurun kita sudah berpegang dengan akidah ini, akidah Rasulullah, akidah para sahabat, para tabi`en. Rasullulah Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam pernah memuji akidah ini serta orang yang berpegang teguh dengannya sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya dan juga al-Hakim dalam kitab Mustadraknya dengan sanadnya yang sahih:
لتفتحنّ القسطنطينية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش
Mafhumnya: "Kota konstantinopel itu benar-benar akan dibuka yang mana sehebat-hebat pemimpin adalah pemimpin yang membuka kota tersebut dan sehebat-hebat tentera adalah tenteranya itu". Kota bersejarah tersebut telah dibuka oleh seorang pemimpin terkenal selepas 800 tahun lamanya. Namanya adalah Sultan Muhammad Al-Fatih. Di dalam akidah, beliau adalah sunni mengikut landasan imam agung Abu Manshur Al-Maturidy. Beliau amat mencintai golongan sufi sejati dan bertawassul dengan nabi Muhammad Salla Allahu 'Alayhi Wa Sallam.
Senarai Ulama Yang Berpegang Dengan aliran Asya`irah
Menurut ulama al-muhaqqiqun mejoriti umat Islam bermula daripada salaf dan khalaf sama ada dalam apa jua bidang pun, baik akidah, fiqh, al-Quran, tafsir, hadith, tasauf, bahasa arab, nahu, sorof, adab dan lain-lainnya kesemuanya dalam hal keyakinan dan akidah selari dengan akidah al-Asya`irah dan al-Maturidiyah.
Sehinggakan sarjana Islam yang mengkaji mengenai Manhaj al-Asya`irah pasti akan mengetahui bahawa Asya`irah merupakan pendekar dan penjaga kesahihan serta kelestarian ilmu terutamanya ilmu hadith. Di antara golongan al-huffaz yang merupakan pemuka para muhaddithin dan berpegang dengan akidah ini seperti ;
1. Al-Hafidz Abu Bakar Al-Ismaily, tuan punya kitab (المستخرخ على البخاري). Beliau merupakan seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya.

2. Al-Hafiz al-`Alim Abu Bakar Al-Baihaqi, juga seorang pakar hadith yang paling masyhur pada zamannya.
3. Al-Hafiz yang disifatkan sebagai sebaik-baik muhaddithin di Negara Syam pada zamannya iaitu al-Hafiz Ibn `Asakir. 
4. Amir al-Mukminin dalam bidang hadith, Ahmad Ibn Hajar al-`Asqalani. Sesiapa yang benar-benar mengkaji perkara ini pasti mereka mengetahui bahawa al-Asya`irah adalah jaguh dan pahlawan perkasa dalam bidang keilmuan termasuk juga dalam ilmu hadith.
5. Dan ramai lagi

Memadai dalam menjelaskan kebenaran aliran ini, Mujaddid kurun yang ke empat hijriyyah, al-Imam Abu At-Thayyib Sahal ibn Muhammad adalah tergolong daripada golongan ini. Selain dari itu, ramai lagi ulama muktabar yang merupakah jaguh hebat dalam keilmuan Islam mengikut dan tunduk pada manhaj ini seperti ;
1. Imam Abu Hassan al-Baahili

2. Abu Bakar ibn Furak
3. Abu Bakar al-Baqillani
4. Abu Ishaq al-Isfarayiini
5. Al-Hafiz Abu Nu`aim al-Asbahani
6. Qadhi Abdul Wahab al-Maliki
7. As-Syeikh Abu Muhammad al-Juwaini serta anaknya Abu al-Ma`ali. Kedua-duanya dikenali sebagai Imam al-Haramain.
8. Abu Mansur at-Tamimi al-Baghdadi.
9. Al-Hafiz ad-Darulquthni.
10. Al-Hafiz al-Khatib al-Baghdadi.
11. Al-Ustaz Abu Al-Qasim al-Qusyairi serta anaknya Abu Nasr.
12. Asy-Syeikh Abu Ishaq as-Syirozi, 
13. Nasru al-Maqdisi
14. Al-Farawi
15. Abu al-Wafa` bin `Aqil al-Hanbali 
16. Qadhi ad-Daamighani al-Hanafi 
17. Abu-al-Walid al-Baaji al-Maliki 
18. Al-Imam as-Sayid Ahmad ar-Rifa`ie 
19. Al-Hafiz Abu Qasim Ibnu `Asakir 
20. Ibnu as-Sam`ani 
21. Al-Qadhi `Iyadh al-Maliki 
22. Al-Hafiz as-Salafi 
23. Al-Hafiz an-Nawawi 
24. Imam Fakhruddin ar-Razi
25. `Izzuddin bin Abdussalam 
26. Abu Amru bin al-hajib al-Maliki 
27. Al-Hafiz Ibn Daqiq al-`ed 
28. `Ala ad-Deen al-Baaji 
29. Al-Hafiz al-Mujtahid Qadi al-Qudhat al-Imam Taqiyuddin As-Subki dan anaknya Tajudeen al-Subki.
30. Al-Hafiz al-`Alai 
31. Al-Hafiz Zainuddin al-`iraqi serta anaknya al-Hafiz Waliyuddin al-Iraqi
32. Al-Hafidz al-Lughawi Murtadha Az-Zabidi al-Hanafi 
33. As-Syeikh Zakaria al-Ansari
34. As-Syeikh Bahauddin Ar-Rawwasi As-Sufi
35. Mufti Mekah Ahmad Bin Zaini Dahlan 
36. Musnid al-Hindi Waliullah ad-Dahlawi
37. Mufti Mesir As-Syeikh Muhammad `illaish Al-Maliki
38. Sheikh Jamik Al-Azhar Abdullah As-Syarqawi, 
39. Seorang ulama sanad hadith yang terkenal ; As-Syeikh Abu Al-Mahasin Al-Qawuqji, 
40. As-Syeikh al-Husain al-Jisr at-Tarabulusi
41. As-Syeikh `Abdul Latif Fathul Allah, mufti Beirut
42. As-Syeikh `Abdul Baasith al-Fakhuri, mufti Beirut
43. As-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Bin Darwish al-Hut al-Beiruti dan anaknya `Abdul Rahman, Ketua al-Asyraf di Beirut.
44. As-Syeikh Mushthofa Naja, Mufti Beirut
45. Al-Qadhi yang dihormati ibn Farhun al-Maliki
46. Abu Fath as-Syahristani
47. Al-Imam Abu Bakar Asy-Syasyi al-Qaffal
48. Abu `Ali Ad-Daqqaq An-Naisaburi
49. Al-Hakim An-Naisaburi, Tuan punya kitab Mustadrak.
50. As-Syeikh Abu Manshur al-Hudhudi, 
51. As-Syeikh Abu `Abdullah as-Sanusi,
52. As-Syeikh Muhammmad bin `Alan as-Shadiqi as-Syafi`e.
53. Al-`Allamah `Alawi bin Tahir al-Hadhrami al-Haddad.
54. Al-`Allamah al-Muhaqqiq al-Habib bin Husain bin `Abdullah Balfaqih, dan semua ulama Hadramaut dari keturunan `Alawi, al-Saqqaf, al-Juneid, dan al-`Idrus.
55. Al-Hafiz al-Faqih al-Allamah al-Arif Billah al-Syiekh Abdullah al-Harari al-Habasyi.
56. Sheikh Sirojiddin Abbas Al-Indunisi 
57. Musnid Syeikh Yasin al-Fadani
58. Dan ramai lagi

Antara penguasa Islam pula yang menyebarkan akidah ini secara meluas seperti :
1. Nizham al-Malik

2. Sultan yang adil dan saksama; al-`Alim al-Mujahid Shalahuddin al-Ayyubi-semoga Allah merahmatinya-. Sesungguhnya beliau telah memerintahkan supaya ushul-ushul akidah disebarkan mengikut ibarat Imam Al-Asy`ari di atas mimbar-mimbar masjid sebelum dilaungkan azan subuh dan baginda juga memerintahkan supaya akidah yang dikarang oleh Ibn Hibatillah al-Barmaki iaitu seorang ulama kurun ke 6 Hijrah yang mengikut methodologi Imam Al-Asy`ari diajar kepada kanak-kanak di pondok-pondok atau madrasah-madrasah dan di pusat-pusat pengajian tinggi bagi menjaga kemurnian akidah kepada semua lapisan masyarakat.
3. Sultan al-Kamil al-Ayyubi
4. Sultan al-Asyraf Khalil bin Manshur Saifulddin Qalawun. 
5. Sultan Muhammad al-Uthman al-Fatih, pembuka kota konstantinopel dan seluruh sultan-sultan uthmaniyyin yang menjadi penguasa bagi orang Islam, memelihara agama selama berkurun-kurun lamanya secara berterusan.
6. Begitu juga sultan-sultan di Negara Malaysia.

Manakala ulama Malaysia kita yang bermethodologi ini adalah seperti berikut :
1. Syeikh Abdullah Fahim 

2. Dato' Hj Ahmad Maher 
3. Sheikh Abdul Halim 
4. Syeikh Idris Al-Marbawi 
5. Syeikh Uthman Jalaluddin Penanti 
6. Tuan Guru Hj Abdullah Tahir Bunut Payung 
7. Sheikh Wan Ali Kutan Al-Kalantani 
8. Tuan Guru Haji Ahmad bin Haji Muhammad Yusuf bin Sheikh Abdul Halim Al-Kalantani. 
9. Khatib Kelantan 
10. Tuan Guru Hj Awang Fakir 
11. Tuan Guru Hj Yahya Kupang 
12. Haji Muhammad Yusuf Bin Ahmad Al-Kalantani (Tok Kenali)
13. Tok Pulai Condong 
14. Tok Pulau Ubi (Yusuf Abdul Rahman) 
15. Ahmad bin Aminuddin Qadhi (Kedah) 
16. Tg Pakcu Him Gajah Mati ( Kedah) 
17. Saiyid Ahmad bin Muhammad bin Husein Al-'Aiderus (Terengganu) 
18. Sheikh Muhammad Amin atau Tok Duyung (menjadi ulama terkenal Terengganu) 
19. Wan Abdullah Tuan Tabal
20. Tuan Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah 
21. Dan Ramai Lagi

Ini hanyalah sebahagian sahaja yang dapat dinyatakan di sini tapi pada hakikatnya bilangan mereka teramat banyak. Bukanlah tujuan kami di sini menyebut dan menyenaraikan nama-nama al-asyairah. Siapakah mampu menghitung bilangan bintang-bintang di langit atau mengetahui bilangan pepasir di padang pasir yang luas? Begitu juga hal al-Maturidiyah, pengikut Abu Manshur Al-Maturidi dalam bidang akidah.
Komen ulamak tentang akidah al-Asya`irah dan Al-Maturidiyyah
Ketahuilah bahawa Imam Asy`ari tidak membawa pandangan baru yang berbeza dengan akidah Nabi Muhammad dan sahabat baginda, ini telah dijelaskan oleh Imam Al-Hafiz Tajuddin As-Subki dalam kitab Thabaqotnya yang bermaksud :
"Ketahuilah bahawa Imam Abu Hasan Al-Asy'ari tidak mendatangkan pandangan yang baru ( yang bercanggah dengan Islam) dan tidak pula beliau membuat mazhab yang baru ( yang bercanggah dengan Islam) akan tetapi beliau datang mempersetujui atau memperakui mazhab salaf (sebenar yang bukan wahhabi),yang selari dengan akidah para sahabat Rasulullah. Disandarkan akidah tersebut kepada nama beliau kerana beliau telah mendatangkan penyusunan hujah yang cukup hebat bagi mempertahankan akidah yang sebenar".
Sheikh `Izzuddin bin Abdus Salam berkata dalam karangan akidah beliau :
"Dan akidah Asy`ari semoga Allah meredhainya merangkumi apa yang ditunjukkan ke atas 99 nama-nama Allah".
Manakala menurut Ketua para Qadhi Tajuddin As-Subki:
"Dan golongan Hanafiyyah, As-syafi`iyyah, Al-Malikiyyah dan ulama tersohor daripada Hanabilah kesemuanya dalam hal akidah seolah-olah berpegang dengan pandangan Ahlus-Sunnah Wal Jamaaah iaitu cara yang dipilih oleh As-Sheikh as-Sunnah al-Imam Abu Hasan Al-Asy`ary". Kata beliau lagi : " Dan secara umumnya akidah Asy`ari ini merupakan juga apa yang telah disampaikan oleh Imam Abu Ja`far At-Thahawi (as-Salafi) yang mana seluruh para ulama telah menerimanya".
Memadailah nukilan seorang ulama yang terkenal menunjukkan bahawa pendukung Ahlus Sunnah wa al-Jamaah adalah yang sealiran dengan Imam Abu Hasan Al-Asya`ary dan Imam Abu Mansur Al-Maturidy iaitu, As-Sheikh Muhammad Amin yang terkenal dengan gelaran Ibnu ~Abidin di dalam kitab terkenal beliau yang berjudul Rad Al-Muhtar `Ala Ad-Duraril Mukhtar :
أهل السنة والجماعة هم الاشاعرة والماتريدية
Maknanya : "Ahlus-Sunnah Wa al-Jamaah adalah Asya`irah (pengikut Abu al-Hasan Al-Asya`ri) dan Al-Maturidiyyah (pengikut Abu Mansur Al-Maturidi)" . Perkara yang sama juga disebut oleh al-Hafiz Murtadha az-Zabidi di dalam kitab Ithaf as-Sadah al-Muttaqin.
والله أعلم وأحكم

Sumber dari Facebook
7 September 2016

No comments:

Post a Comment