ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 25 June 2016

Pakar arkeologi dunia tertarik dengan tapak arkeologi Sg batu

Utusan Borneo (Sarawak) 3 Jun 2016


PAKAR- pakar arkeologi terkenal dunia yang berkumpul di Sungai Petani bagi menghadiri Persidangan Antarabangsa Kedah Tua (KTIC) tertarik dengan tapak tamadun manusia Sungai Batu ketika melawat tapak arkeologi itu baru-baru ini.
Banyak persoalan dibangkitkan oleh peserta yang teruja dalam lawatan tersebut yang diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.
Pengarah Institut Arkeologi dan Antropologi Sosial di University of Peshawar, Pakistan, Prof Nasim Khan yang kagum dengan penemuan di tapak arkeologi Sungai Batu berkata beliau telah belajar dan melihat banyak perkara tentang tamadun purba di Sungai Petani.
“Kami membincangkan banyak perkara tentang peleburan besi dan struktur purba yang masih diselubungi banyak persoalan mengenai kegunaan struktur tersebut,” katanya kepada Bernama ketika lawatan itu.
Menurut Nasim yang melawat ke sini buat kali ketiga, beliau tidak meragui bahawa penemuan dan tarikh di tapak itu boleh dipercayai, kerana terdapat kaedah berbeza untuk pentarikhan di sesebuah tapak termasuk menganalisis bahan pepejal dan menggunakan kaedah saintifik seperti teknik pentarikhan karbon.
“Kadangkala kita mempunyai bukti material seperti tembikar, tulisan atau syiling yang boleh dianalisis untuk mentarikhkan tapak. Malangnya, kami tidak menemui apa-apa syiling, hanya sedikit kulit kerang dan saya fikir tiada tulisan di tapak ini.
“Tetapi, berdasarkan kepada pentarikhan saintifik, mereka (Prof Mokhtar dan pasukannya) telah melakukan banyak perkara dan mereka yakin tarikh yang dicadangkan adalah apa yang mereka katakan (535 Sebelum Masihi),” katanya dan menambah Sungai Batu mungkin tapak tamadun manusia tertua di rantau Asia Tenggara.
Pakar tamadun Mesoamerica dari Vanderbilt Institute of Mesoamerican, Amerika Syarikat, Prof Arthur Demarest berkata kehadiran pakar-pakar terkemuka dari setiap pelosok dunia adalah sangat mengagumkan bagi membandingkan dan mengetahui bagaimana tapak Sungai Batu bersesuaian dengan rantau lain.
Menurut beliau, sejarah dalam era Maya di Amerika Tengah sangat menarik kerana berbeza dengan Sungai Batu yang pengeluaran besinya berterusan, pengeluaran besi di sana menarik kuasa lain dan membawa kepada banyak peperangan dalam rantau itu sebelum ia berakhir.
“Satu perkara yang sangat menarik di sini ialah kesinambungan ke atas pengeluaran besi dalam tempoh yang panjang. Tidak pasti sekiranya orang ramai sedar, tetapi apabila besi tiba, segalanya berubah.
“Mana-mana tamadun yang mempunyai besi akan memenangi peperangan kerana mereka mempunyai peralatan yang cekap. Jadi, sesuatu tamadun mempunyai kesan yang besar setiap kali besi datang. Ini sangat penting,” katanya dalam sidang akhbar di sini selepas lawatan itu.
Sementara itu, bagi Nahar Cahyandaru, seorang konservator dari Balai Konservasi Borobudur, Indonesia, tapak arkeologi Sungai Batu boleh menjadi tapak tamadun manusia dunia pada masa depan.
“Kami menerima penjelasan yang bagus daripada Prof Mokhtar dan saya mengambil maklum mengenai beberapa kenyataan daripadanya. Satu daripadanya ialah tapak ini merupakan tapak tertua atau struktur batu bata tertua di Asia Tenggara.
“Juga bagaimana industri besi menjadi industri tertua di rantau atau mungkin satusatunya. Itu merupakan antara kenyataan yang menjadikan tapak ini sangat penting,” katanya.
Persidangan dua hari itu antaranya memberi tumpuan terhadap Kedah Tua atau tamadun Kedah Tua dan kepentingannya di Asia Tenggara, selain membincangkan arkeologi global.
Diadakan bersempena dengan Festival Kedah Tua 2016, persidangan itu turut menyentuh kepentingan arkeologi di Lembah Bujang, serta membuat perbandingan antara semua tamadun utama dari abad keenam Sebelum Masihi hingga abad ke-12 Masihi. — Bernama

Bersumber dari Facebook
25 Jun 2016 (20 Ramadhan 1437H)

No comments:

Post a Comment