ZULHEIMY MAAMOR

Thursday, 10 December 2015

KEMBARA ROHANI - UMRAH 2015 (MEKKAH AL MUKARRAMAH)


Syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana telah memakbulkan doa ku selama ini untuk ingin menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah. Terima kasih tidak terhingga buat kakak tersayang yang telah membawa aku dan isteri untuk menunaikan ibadah Umrah dari 10 - 19 Disember tahun 2015. Semoga Allah murahkan rezeki dan kurniaan kesihatan buat kakak yang ku sayangi...Aamiin.

Saya, isteri, kakak dan anak saudara telah berlepas dari lapangan terbang KLIA pada 10 Disember 2015 untuk menunaikan ibadah umrah di Mekah. kami pergi dengan pakej umrah Syarikat Al-Fajr Travel and Tours Sdn Bhd yang berpejabat di Jalan Ipoh - Rawang, Selangor (dekat Selayang).




Kami berlepas dengan menaiki penerbangan XY 921 Syarikat penerbangan Flynas pada jam 6.45 petang.





SYARIKAT PENERBANGAN FLYNAS
Syarikat Penerbangan Flynas adalah syarikat penerbangan dari Arab Saudi yang ditubuhkan pada bulan Februari 2007. Dulunya dikenali sebagai NAS Air, telah melancarkan  penerbangan sulung pesawatnya dari Jeddah ke KLIA pada 6 April 2014.


TIBA JEDDAH - 11 DISEMBER 2015
Syukur Alhamdullillah kami selamat mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah lebih kurang jam 11.30 malam selepas 8 jam penerbangan dari Kuala Lumpur. Dugaan pertama kami di Mekah ini ialah terkandas selama hampir 7 jam di Airport Jeddah. Mutawwif mengingatkan kami supaya banyakkan bersabar kerana akan lebih banyak lagi dugaan akan kita tempuhi nanti. Semuanya ini adalah  untuk mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T.



Sedikit info mengenai Kota Jeddah
Nama Jeddah dikatakan berasal daripada perkataan 'Jadda' atau nenek, merujuk kepada ibu segala manusia iaitu Siti Hawa yang makamnya ditemui di bandar ini. Makam itu bagaimanpu telah dilupuskan sebagai usaha Kerajaan Arab Saudi menghindari perbuatan syirik memuja makam.
Jeddah  kota raya yang diberi jolokan 'Permata Laut Merah' adalah pintu masuk Al-Haramain iaitu kota suci Makkah dan Madinah, pusat pertemuan pedagang dari seluruh dunia dan juga laluan ke Tanah Suci suatu peringatan kepada kepulangan. Suatu ketika dulu laluan ini pernah ditempuh oleh Siti Hawa bagi mnecari kekasihnya Nabi Adam a.s.


Setelah segala urusan di Airport selesai, kami dibawa dengan bas menuju ke hotel kami di Mekah iaitu Areej Al-Falah Hotel untuk meninggalkan bagasi kami di situ. 
Hotel Areej Al Falah terletak lebih kurang 500 meter dari Masjidil Haram. 



MAKKAH AL MUKARRAMAH
Makkah ataupun Mekah terletak lebih kurang 75 km daripada timur Jeddah. Mekah merupakan tempat lahirnya Nabi Ismail a.s. dan Nabi Muhammad s.a.w dan juga tempat dimana turunnya wahyu yang pertama kepada Rasulullah s.a.w di Gua Hira di Jabal Nur
Di Makkah jugalah terletaknya Masjidil Haram dimana terdapatnya Kaabah iaitu kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia. 



MENARA ABRAJ AL BAIT
Menara Abraj al Bait siap dibina pada tahun 2012 mencapai ketinggian 601 meter. Di kompleks ini terdapat 7 menara dengan satu tower dinamakan Hotel Tower yang boleh menampung sehingga 10,000 orang. 
Manakala jam dipuncak menara ini dapat dilihat dari seluruh kota Mekkah. Dengan diameter 46 meter, ia merupakan jam terbesar di dunia, 5 kali lebih besar dari Big Ben di London. 



MASJIDIL HARAM


Selepas itu kami terus menuju ke Masjidil Haram untuk Solat Jumaat. Tak dapat aku bayangkan betapa gembiranya rasa dapat bersolat kali pertama di Masjidil Haram yang mana satu solat di sini adalah bersamaan dengan seratus ribu solat di masjid lainnya. Aku terpaksa bersolat di luar Masjidil Haram kerana pintu masuk telah ditutup ketika itu. Tapi tak kisah walaupun terpaksa solat Jumaat dalam kepanasan terik ketika itu... semoga Allah memberikan ganjaran yang setimpal dengan kesabaran kami.

Masjidil Haram adalah Masjid terbesar di dunia, terletak di Kota Mekkah yang dikelilingi dengan bukit bukau. Binaan kaabah yang merupakan qiblat umat Islam terletak di Masjid al-Haram. 
Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Imran ayat 96 yang bermaksud,"Sesungguhnya rumah ibadah yang pertama kali dibangun untuk manusia adalah Baitullah yang ada di Mekah yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi manusia."

Selesai solat Jumaat, jemaah terus menunaikan ibadah umrah pertama kerana kami telah bermiqat semasa dalam penerbangan lagi.







IBADAH UMRAH
Ibadah umrah adalah ziarah ke Baitullah, Mekah dengan mengerjakan rukun-rukunnya dan segala sunnah yang dianjurkan.

RUKUN UMRAH
1. Niat
2. Tawaf di Kaabah
3. Saie antara Safa dan Marwah
4. Menggunting rambut (tahalul)
5. Tertib

WAJIB UMRAH
1. Berniat ihram di miqat.
2. Tidak melanggar larangan-larangan waktu ihram

SUNAT UMRAH
1. Mandi sunat ihram dan solat sunat
2. Solat sunat tawaf
3. Mengucup / istilam Hajar Aswad
4. Talbiah

TAWAF 
Tawaf adalah kewajipan yang mesti dilakukan setelah kita berihram. Ibadah ini menuntut kita untuk mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali. Tawaf dimulai dari Hajar Aswad dan berakhir juga di Hajar Aswad. 



KAABAH



Kaabah sangat penting dalam sejarah Masjidil Haram. Kaabah berbentuk tiub atau segi empat berukuran Tingginya 15 meter. Kaabah juga dikenali sebagai Baitul Atiq, Baitul Haram atau dipanggil juga dengan panggila Rumah Allah atau Baitullah. 
Binaannya terletak di atas tapak yang dipanggil Syazarwan membentuk 4 penjuru iaitu:
a. Rukun Iraqi - mengarah ke Timur Laut
b. Rukun Asy-Syami mengarah ke Barat Laut
c. Rukun Al-Yamani - mengarah ke Barat Daya
d. Rukun Al Aswadi - mengarah ke Tenggara dimana terletaknya Hajar Aswad. 

Berdoa di hadapan Kaabah, in sya Allah akan dimakbulkan Allah s.w.t. Antara yang terdapat di sekitar Kaabah ialah:
a. Hajar Aswad -  terletak di sebelah timur Kaabah, penanda permulaan tawaf. 
b. Multazam - tempat antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah, Rasulullah s.a.w dalam hadis baginda mengatakan disinilah adalah tempat dimana mustajabnya doa. 
c. Makam Ibrahim - tempat Nabi Ibrahim a.s berdiri ketika membangunkan kaabah, juga tempat makbul untuk berdoa. 
d. Al - Hathim - terletak antara Rukun dan Makam Ibrahim a.s, telaga zam-zam dan Hijr Ismail. 
e. Hijir Ismail - binaan tembok berbentuk bulan sabit, dikatakan ditempat ini Nabi Ismail a.s dan ibunya Siti Hajar dimakamkan. Dianjurkan berdoa di Hijir Ismail. 
f. Pancur Emas - pancur emas atau mizab yang menganjur keluar dari bumbung Kaabah bagi mengalirkan air hujan, kawasan yang mustajab bagi berdoa. 



Sebagai seorang Islam, kali pertama dapat melihat kaabah di depan mata adalah suatu kenangan yang tak akan dapat dilupakan. Bayangkan selama ini hanya melihat kaabah di kaca TV dan di akhbar, buku dan majalah. Tapi kini saya berdiri betul-betul di hadapan kaabah. Terasa sayu apabila terkenangkan baginda Rasulullah S.A.W pernah bertawaf di sini....

SAIE ANTARA SAFA DAN MARWAH



Setelah selesai tawaf dan solat sunat, hendaklah melakukan Saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah. Saie adalah berjalan (dan berlari-lari anak bagi lelaki) antara kedua bukit tersebut sejauh 450 meter sebanyak 7 kali bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. 
Saie bererti pencarian kerana ia mengingatkan kita kepada Siti Hajar isteri Nabi Ibrahim a.s. yang berlari-lari antara Bukit Safa dan Bukit Marwah untuk mencari air bagi anaknya Nabi Ismail a.s.






Setelah selesai mengerjakan ibadah umrah iaitu Tawaf mengelilingi Kaabah s,ebanyak 7 kali,  Saie antara Bukit Safa dan Bukit Marwah dan bercukur, aku beserta isteri, kakak dan anak saudara ku terus tinggal di Masjidil Haram untuk solat Asar, Maghrib dan Isyak. Selesai solat Isyak baru kami pulang ke hotel untuk beristirahat. Ini bererti dari sejak bertolak dari KLIA sehinggalah tiba di Jeddah kami belum ada rehat lagi.Syukur Alhamdullillah Allah berikan kami kekuatan dan kesabaran dalam perjalanan dan ibadah sejak tiba di bumi yang penuh barakah ini.

12 DISEMBER 2015 - ATURCARA BEBAS
Hari ini jemaah bebas untuk memperbanyakkan ibadah di Masjidil Haram. Aku sejak pukul 2 pagi lagi telah ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Tahajud, Solat sunat Taubat, Solat sunat Hajat dan lain-lain dan membaca al-Quran sewaktu menunggu masuknya waktu solat Subuh.
Selepas solat Zohor aku mengerjakan Tawaf Sunat bersama isteri, kakak dan anak saudara ku dan seterusnya solat Asar, Maghrib dan Isyak dan pulang ke hotel untuk makan malam.



Lepas solat di Masjidil Haram, jangan lepas peluang untuk menikmati Aiskrim di luar Masjidil Haram ... rasanya memang enak....




13 DISEMBER 2015
Setelah selesai solat subuh di Masjidil Haram dan selepas sarapan pagi, kami bersiap-sedia untuk ziarah pertama kami di bumi mekkah ini.
Diantara tempat lawatan kami pada hari ini ialah:

JABAL THUR



Jabal Thur adalah sebuah bukit yang didaki oleh Rasulullah S.A.W bersama Saidina Abu Bakar as Siddiq a.s. ketika menyelamatkan diri dari ancaman orang-orang kafir Quraisy Makkah. Terletak lebih kurang 90 km dari kota Mekkah. 
Di bukit ini terdapat sebuah gua yang dipanggil Gua Thur dimana baginda dan Abu Bakar bersembunyi selama 3 hari.
Ketika orang Quraisy mendekati Gua Thur , seekor burung merpati lantas membuat sarang dan bertelur didalamnya dan seekor labah-labah membuat sarang menutupi pintu gua menyebabkan orang-orang menyangkakan tidak mungkin Nabi saw dan Abu Bakar bersembunyi didalamnya.
Sesungguhnya Allah sentiasa menolong mereka yang menolong agama-Nya... janji Allah itu pasti....





MASJID NAMIRAH



Masjid Namirah terletak di Padang Arafah lebih kurang 18 km dari Masjidilharam, Mekkah. Masjid ini didirikan di tempat di mana Rasulullah s.a.w berkhutbah.  Dinamakan Namirah kerana letaknya berdekatan dengan bukit kecil yang berada di sebelah barat Masjid iaitu Bukit Namirah. 
Masjid yang ada sekarang ini berukuran lebih kurang 8000 meter persegi, memiliki 64 pintu masuk, 6 menara dan boleh memuatkan 350 ribu jemaah. 
Masjid ini dibuka hanya pada musim Haji.



JABAL RAHMAH


Jabal Rahmah merupakan sebuah bukit yang terletak di Timur Padang Arafah, kira-kira 18 km dari kota Makkah. Di Padang Arafah inilah tempat jemaah haji berwukuf pada 9 Zulhijjah.Di Jabal Rahmah ini jugalah tempat pertemuan Nabi Adam a.s dan Hawa setelah diturunkan dari syurga. Mereka telah terpisah selama 40 tahun dan dipertemukan semula di bukit ini.Disinilah jugalah Rasulullah S.A.W menyampaikan khutbah terakhir baginda.





JAMBATAN JAMMARAT, MUDZALIFAH DAN MINA


Semasa dalam perjalanan kami telah melalui Jambatan Jammarat, iaitu sebuah jambatan pejalan kaki di Mina yang digunakan oleh umat Islam untuk upacara melontar Jamarah semasa musim haji. Dibina sejak tahun 1963.
Jambatan ini mengingatkan kita kepada tragedi rempuhan yang mengorbankan 717 nyawa pada musim haji yang lepas (24 September2015) berikutan berlakunya pertembungan dua gelombang kumpulan jemaah di satu persimpangan. 
Kami juga melalui Mudzalifah dan Mina yang digunakan pada musim haji, namun sebab kami tidak sempat singgah, maka tiada gambar kenangan dapat dirakamkan. 

AIN ZUBAIDAH (MATA AIR ZUBAIDAH)


Dalam perjalanan ini juga, kami sempat ditunjukan kesan runtuhan Mata Air Zubaidah atau lebih dikenali dengan nama Ain Zubaidah. Terletak di Wadi Nu'man dahulunya airnya disalurkan sampai ke Arafah kemudian ke Wadi Uranah lalu ke Mekkah. 
Mata air ini dibina atas usaha Siti Zubaidah binti Jaafar atau nama sebenarnya Amatul Aziz, isteri kepada Khalifah Harun al-Rasyid ketika beliau dan suaminya menunaikan haji ke Mekkah pada tahun 186 Hijrah. 
Siti Zubaidah membina mata air ini menggunakan hartanya sendiri tanpa melibatkan harta Kerajaan. 
Siti Zubaidah mempunyai seramai 100 jariah yang hafaz al-Quran. Beliau meninggal dunia pada tahun 216 Hijrah di Baghdad. 

WADI MUHASSIR



Kami juga telah melalui Wadi Muhassir semasa dalam perjalanan, iaitu suatu lembah yang terdapat di antara Mina dan Mudzalifah. Kawasan ini amat popular dalam Sejarah kerana ia adalah lokasi penyerangan terhadap Kota Mekkah oleh Pasukan Bergajah yang dipimpin oleh Raja Abrahah. Namun Raja Abrahah tidak sempat menyerang Kota Mekkah kerana beliau telah dilemparkan dengan batu-batu yang berasal dari Neraka yang dibawa oleh sekumpulan burung Ababil. 
Kisah ini ada disebut dalam Al Quran dalam surah Al-Fil  ayat 1-5. 

Sebelum para jemaah bermiqat di Ja'aranah untuk ibadah Umrah kedua, kami telah melalui beberapa tempat bersejarah di sekitar kota Mekkah. Diantaranya adalah: 

JABAL NUR


Jabal Nur memang cukup terkenal dalam sejarah Islam. Terletak 14 km sebelah barat Masjidil Haram dan tingginya lebih kurang 642 meter. Dinamakan Nur yang ertinya Cahaya kerana di bukit inilah tertelaknya Gua Hira' tempat dimana baginda Rasulullah s.a.w menerima wahyu yang pertama dari Allah s.w.t. 
Disebabkan kesuntukan masa, kami hanya melalui sahaja dan tidak sempat singgah. 

PERKUBURAN MA'ALA




Kami juga dibawa melalui kawasan perkuburan Ma'ala yang terletak disebelah timur Masjidil Haram. Ianya adalah sebuah perkuburan yang paling masyur di Makkah kerana  disinilah bersemadinya wanita paling agung iaitu Saidatina Khadijah bt Khuwalid, isteri Rasulullah s.a.w dan juga merupakan orang pertama memeluk Islam.  Namun tidak diketahui dimana terletaknya makam Saidatina Khadijah kerana ia telah dirobohkan oleh Kerajaan Arab Saudi dalam usaha untuk menyingkirkan perbuatan syirik menyembah kubur. 
Namun saya dapat juga cari gambar dalam internet makam Saidatina Siti Khadijah sebelum ianya dirobohkan. 


MASJID JIN




Tidak jauh dari perkuburan Ma'ala terdapat sebuah Masjid yang dinamakan Masjid Jin yang dibina sempena peristiwa masuk Islam serombongan Jin di masjid tersebut setelah mereka mendengarkan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. 
Peristiwa ini ada dikisahkan di dalam al Quran dalam surah Al-Ahqaf ayat 29-32: 

“Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu yang mendengarkan Alquran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya) lalu mereka berkata, “Diamlah kamu (untuk mendengarkannya)!” 

“Ketika pembacaan telah selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi peringatan. Mereka berkata, “Hai kaum kami, sesungguhnya kami telah mendengarkan kitab (Alquran) yang telah diturunkan sesudah Musa yang membenarkan kitab-kitab yang sebelumnya lagi memimpin kepada kebenaran dan kepada jalan yang lurus.” 

“Hai kaum kami terimalah (seruan) orang yang menyeru kepada Allah dan berimanlah kepada-Nya, niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan melepaskan kamu dari azab yang pedih. Dan orang yang tidak menerima (seruan) orang yang menyeru kepada Allah maka dia tidak akan melepaskan diri dari azab Allah di muka bumi dan tidak ada baginya pelindung selain Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.”



MASJID SYAJARAH (MASJID POKOK)


Diseberang Masjid Jin terdapat sebuah Masjid lama yang dikenali dengan nama Masjid Syajarah atau Masjid Pokok. Ia dipercayai dibina di atas tapak tertanamnya sebatang pokok yang hidup pada zaman Rasulullah s.a.w.

Dikisahkan Bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah memanggil sebuah pohon yang terletak di Masjid Syajarah (sekarang), lalu pohon itu pun dengan segeranya tercabut dari kedudukan asalnya di muka bumi, berjalan mendekati Nabi Muhammad yang berada di depannya. Kemudian selepas itu Nabi meminta untuk pohon itu kembali semula ke tempat asalnya. Demikian itu juga, Ibnu Zahirah turut meriwayatkan perkara yang sama.

Selesai ziarah para jemaah kembali ke Mekkah untuk menunaikan Ibadah Umrah kedua setelah bermiqat di Ja'aranah. Maka selesailah acara kami untuk hari ini. 

Disebelah malam, selesai solat Isyak di Masjid Haram dan makan malam, saya dan isteri mengambil kesempatan untuk berjalan-jalan di hadapan hotel yang terdapat banyak kedai-kedai yang menjual cenderamata dan lain-lain. 

Semasa merayau-rayau di sekitar kedai, kami terserempak dengan Ibu Mertua (emak wife saya) dan adik ipar saya yang telah pergi ke tanah Suci sehari lebih awal dari kami (pada 9 Disember). Mereka menginap di Golden Al-Abrar Hotel yang terletak lebih kurang 100 km dari hotel kami...





14 DISEMBER 2015

Pada hari ini, para jemaah akan dibawa untuk bermiqat di Hudaibiyah bagi melaksanakan ibadah umrah ketiga. 
Dalam perjalanan kami sempat singgah di Ladang Unta yang aku tidak ingat dimana lokasinya di Mekkah. 

Sesungguhnya Allah s.w.t telah menciptakan unta dengan pelbagai kebaikan. Allah telah berfirman dalam surat Al-Ghasiyah ayat 17 yang bermaksud, " Maka apakah mereka tidak memperhatikan unta, bagaimana ia diciptakan."
Haiwan unta ini bukan sahaja mampu bertahan dalam cuaca padang pasir yang terik dan ekstrem malah ia juga boleh hidup tanpa air selama 3 minggu. 

MASJID HUDAIBIYAH



Selepas ladang Unta, kami terus dibawa ke Perkarangan Masjid Hudaibiyah yang terletak 36 km dari Masjidil Haram. Di sinilah juga adalah tempat untuk bermiqat bagi ibadah Umrah yang ketiga. 
Masjid ini dibina pada tahun ke 6 Hijrah selepas berlansungnya Perjanjian Hudaibiyah yang cukup terkenal dalam Sejarah Islam. 
Namun masjid yang ada sekarang adalah masjid baru yang dibina semula... tapi kesan runtuhan masjid asal masih kelihatan bersebelahan dengan masjid baru itu..... 




Setelah menukar pakaian Ihram, para jemaah dibawa kembali ke Mekkah untuk menunaikan ibradah Umrah yang ketiga. 

15 DISEMBER 2015 - ACARA BEBAS
Pada hari ini jemaah bebas untuk memperbanyakkan ibadat Umrah dan beribadah di Masjidil Haram. 

16 DISEMBER 2015 - TAWAF WIDA'
Pada hari ini kami akan berangkat meninggalkan kota Mekkah untuk menuju ke destinasi seterusnya iaitu Madinah al Munawarrah. 
Sebelum itu para jemaah di kehendaki melakukan Tawaf Wida' (Tawaf Perpisahan) terlebih dahulu. Tawaf Wida' atau Tawaf Selamat Tinggal diwajibkan kepada sesiapa sahaja yang hendak meninggalkan Kota Mekkah dalam jarak 2 marhalah atau lebih. Sesiapa yang meninggalkannya tanpa uzur adalah berdosa dan dikenakan dam. Saat ini doa perlu diperbanyakkan supaya kita diperkenankan Allah bagi kembali lagi ke tanah suci ini.
Kasihan bagi isteri ku kerana uzur ketika ini, jadi dia hanya dapat melambaikan dari luar Masjidil Haram sahaja. 
Saya menunaikan Tawaf Wida' bersama dengan Kakak dan anak saudara saya. 

Tak digambarkan betapa sayunya kami untuk meninggalkan Kota Mekah yang entah bila akan dapat kami jejakkan kaki lagi ke sini.... Air mata tidak dapat ditahankan dari  mengalir di saat meninggalkan Masjidil Haram dan Kaabah....

Ya Allah, murahkanlah rezeki kami supaya dapat kembali menziarahi Baitullah berulangkali dengan bertaubat, beribadat, mengucapkan syukur dan puji-pujian..... Aamiin Ya Rabb....

- bersambung ke Kembara Rohani - Umrah 2015 (Madinah al Munawarrah)





No comments:

Post a Comment