ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 21 September 2015

Amirul Mukminin , Umar al Khattab

RENUNGAN BUAT PEMIMPIN & RAKYAT .....
"Sebuah kisah dizaman Amirul Mukminin Khalifah Umar Al Khattab, saat-saat akhir Umar Al Khattab"

Pagi itu seperti pagi sebelumnya, sebelum azan subuh dilaungkan, Umar Al Khattab sudah berada di dalam masjid Nabi bagi mengerjakan sembahyang subuh berjemaah. Selepas azan subuh, ramai jemaah memenuhi ruang setiap saf, selesai saja iqamat, Umar Al Khattab tampil ke hadapan bagi menjadi imam. Di belakangnya iaitu saf hadapan, berdirinya Abu Lukluah, sebelah kirinya Hurmuzan. dan sebelah kanan pula Jafina. Para jemaah bersedia menunaikan sembahyang subuh, ketika Umar mengangkat takbiratul ihram, dengan pantas Abu Lukluah mengeluarkan pisau dari dalam jubahnya lalu menikam belakang Umar sebanyak tiga kali sehingga Umar jatuh tersungkur, kemudian Abu Lukluah menikam di perut Umar sebanyak tiga kali, "budak itu menikam aku!" Teriak Umar yang menahan kesakitan. 
Abdul Rahman Bin Auf segera mendapatkan Umar.
"mengapa dia tergamak melakukan ini wahai Amirul Mukminin?" tanya Abdul Rahman Bin Auf.
"Jangan hiraukan aku, teruskan sembahyang kerana itu yang lebih penting" jawab Umar, kemudian Umar pengsan.
Abdul Rahman tampil di hadapan untuk menjadi imam, selesai sembahyang mereka kembali mendapatkan Umar,
"adalah kalian sudah selesai sembahyang?" tanya Umar.
"Ya" jawab Abdul Rahman.
"Aku juga ingin sembahyang" kata Umar.
"Wahai Amirul Mukminin, engkau mendapat luka yang parah" kata Abdul Rahman.
"Tidak ada keuzuran bagi lelaki mendirikan sembahyang, sesungguhnya tidak Islam bagi mereka yang tidak sembahyang" balas Umar al Khattab.
kemudian Umar minta lukanya dibalut supaya dia boleh mengambil wuduk dan menyelesaikan solat. Selepas selesai solat, Umar dipapah untuk dibawa pulang ke rumahnya.
"Siapakah yang menikam aku?" tanya Umar.
"Abu Lukluah, bekas orang suruhan Mughirah Syu'bah" jawab Ibnu Abas.
"Di mana dia sekarang?" Umar bertanya lagi.
"Dia menikam dirinya sendiri" Abdul Rahman menjawab.
"Adakah orang Ansar ataupun Muhajirin terlibat dalam pakatan ini?" Umar meminta kepastian.
"Mereka tidak terlibat, kami yakin Abu Lukluah melakukan bersendirian" Ibnu Abas menjawab.
"Mengapa dia melakukannya? adakah aku melakukan zalim pada sesiapa? ataupun aku sudah menyeleweng?" Umar terus bertanya.
"Wahai Amirul Mukminin, engkau sudah menjalankan tanggungjawab dengan sangat baik, engkau juga tidak pernah menyeleweng" kata Ka'ab yang juga sahabat Umar. Hurmuzan dan Jafina segera disiasat tetapi mereka menafikan terlibat.
"Bebaskan mereka berdua dan jangan di apa-apakan, aku tidak ingin perkara ini berpanjangan. Sesungguhnya apa yang berlaku ini semuanya telah ditakdirkan, aku redha menerimanya" Kata Umar.
Umar meminta segelas susu, apabila diminum, susu itu keluar dari bekas luka di perutnya. Tahulah mereka bahawa Umar al Khattab tidak dapat diselamatkan lagi. orang ramai yang berada disitu termasuk sahabat Umar menangis. 
"Janganlah kalian menangis, sesiapa yang menangis, keluar dari bilik ini. Tidakkah kamu pernah mendengar Rasulullah bersabda, orang mati diseksa disebabkan tangisan keluarganya" Umar berkata dengan nada yang tegas tapi lemah.
Kemudian Umar berkata lagi, 
"Setiap yang bernyawa pasti mati, dan aku merasakan saat kematian itu semakin hampir. Selepas aku pulang menemui Allah, aku mohon supaya disemadikan berhampiran makam Rasulullah"
"Wahai Amirul Mukminin, kami akan kehilangan seorang pemimpin yang terlalu baik, siapakah yang akan memimpin umat ini selepas ketiadaan kamu?" Ibnu Abas bertanya.
"Sekiranya seorang petani meninggalkan ladangnya tanpa ada pengganti, nescaya tanaman musnah. Sekiranya seorang penternak meninggalkan ternakannya tanpa pengganti nescaya ternakannya binasa. Apakah jawapan ayahanda dihadapan Allah nanti sekiranya ditanya mengapa tidak menamakan?" anakanda Umar bertanya.
"Wahai Amirul Mukminin, apakah kamu mahu Abdullah anakanda kamu dilantik sebagai pengganti?" tanya Mughirah.
"Wahai Mughirah, aku tidak akan melantik ahli keluarga aku menjadi khalifah, aku haramkan mereka memegang jawatan itu!" Tegas Umar.
Kemudian Umar menamakan enam orang sebagai pengganti, mereka ialah Uthman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib, Talhah Bin Ubaidullah, Zubir Bin Awam, Abdul Rahman Bin Auf dan Sa'ad Bin Abi Waqas.
Umar semakin tenat, sahabat terlalu sedih dan merasa akan kehilangan seorang khalifah agung yang benar-benar zuhud hidupnya. 
"Wahai sahabatku, jangan sesekali kamu menzalimi umat, menindas dan menyeleweng harta umat, nescaya Allah akan melaknati perbuatan kamu sekiranya kamu tidak berlaku adil, jangan sesekali kamu hidup bermewah dengan mengambil harta rakyat, sembahyanglah kalian walau dalam apa jua keadaan kerana sembahyang itu merupakan paling wajib bagi kita sebagai umat Islam. Maafkan aku sekiranya aku pernah menzalimi kalian, maafkan aku sekiranya aku berlaku tidak adil pada kalian, maafkan aku sekiranya masih terdapat rakyat yang lapar tidak cukup makan kerana aku pasti akan ditanya dihadapan Allah nanti" Umar meninggalkan pesanan penting kepada sahabat dan keluarga serta saudaranya. suasana menjadi suram, mereka tidak henti-henti menangis. Terasa benar dihati mereka bakal kehilangan seorang khalifah terbaik sepanjang zaman.
Akhirnya pada pagi ahad 27 Zulhijjah tahun 23 Hijrah, Umar Al Khattab menghembuskan nafasnya yang terakhir ketika usianya 63 tahun. sehingga kini rakyat Palestin sangat merindui Umar, "Dimana engkau wahai Umar? adakah engkau mendengar khabar? Sesungguhnya al Aqsa menantimu"
Umar al Khattab tak pakai hebat seperti pemimpin Arab, tapi Umar mengambil Al Aqsa dengan hebat.
Al- Fatihah buat mu wahai Amirul Mukminin Umar al Khattab.

Sumber: Facebook
21.9.2015

No comments:

Post a Comment