ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 13 July 2015

Petikan hadis tentang puasa Ramadhan

Petikan hadis-hadis mengenai puasa daripada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim

Kelebihan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Dan sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu." 

Kelebihan berpuasa
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan memasukinya."

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun."

 
Akhlak sewaktu berpuasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari, janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa."

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya)."

 
Kelebihan bersahur
Diriwayatkan daripada Anas RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya." 

Kelebihan menyegerakan berbuka
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu menyegerakan berbuka puasa."

Kelebihan Solat Tarawih dalam bulan Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah SAW mengenai Ramadan: "Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu." 
Kelebihan Lailatulqadar dan galakan untuk mencarinya
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan Ramadan." 
 
Ganjaran untuk amalan yang dilakukan pada malam Lailatulqadar
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang mendirikan solat pada malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu."

 
Beriktikaf pada sepuluh hari terakhir Ramadan
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan Ramadan.

 
Menambahkan amal ibadah pada sepuluh hari terakhir Ramadan
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah RA katanya: Rasulullah SAW bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti bulan-bulan lain.
 
Makan dan minum kerana terlupa tidak membatalkan puasa
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan dan minum oleh Allah."


Tidak Batal Puasa Orang Yang Bangkit Dari Tidur Di Waktu Pagi Dalam Keadaan Berjunub
Diriwayatkan daripada Aisyah dan Ummu Salamah RA, kedua-duanya berkata: Nabi SAW bangkit dari tidur dalam keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa.

 
Janganlah berpuasa sehari dua sebelum Ramadan
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: Rasulullah SAW telah bersabda: "Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan Ramadan melainkan orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia berpuasa."

Penerangan Hadis

  1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah
  2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
  3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
  4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
  5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
  6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
  7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
  8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
  9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
  10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
  11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Sumber: http://foren-6.blogspot.com
13.7.2015 : 26 Ramadhan 1436H

No comments:

Post a Comment