ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 6 June 2015

ERTI BERAGAMA DALAM ISLAM

Oleh Dr Yamin Cheng

[Rencana ini pernah disiar di akhbar Berita Harian 2 April 2015 dengan pengubahsuaian tajuk dan penyampaian]

Bagaimanakah kita memahami erti beragama?

Dalam al-Qur’an surah al-Zariyyat ayat 56 Allah berfirman ‘Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mengabdikan diri kepadaKu.’
Mengabdikan diri kepada Tuhan adalah asas beragama. Persoalannya, bagaimanakah kita mengabdikan diri kepada Tuhan?
Mungkin ada yang berkata kita melakukan segala kewajipan beribadat serta membuat yang ma’ruf dan meninggalkan yang mungkar.
Jawapan ini adalah tepat tetapi ia hanyalah permulaan kepada perkara yang lebih luas tentang apa itu pengabdian kepada Tuhan.Menerusi amal ibadat, Tuhan menjadi paksi kepada hati nurani, akal budiman dan perilaku yang mulia. Menerusi peribadatan, Tuhan menjadi perangsang kepada pemikiran, perbuatan dan pembinaan hidup.


Ibadat mengaitkan Tuhan dengan kita dan seterusnya dengan alam semesta yang terpampang di depan mata kita. Alam semesta yang kita menghuni adalah ayat. Ayat bermakna tanda dan tanda-tanda Allah merupakan petunjuk kepada tujuan ciptaan dan kehidupan kita sebagai manusia. ‘Sesungguhnya di dalam ciptaan langit dan bumi dan peralihan di antara malam dan siang adalah ayat-ayat (iaitu tanda-tanda) bagi mereka yang berfikir,’ kata al-Qur’an dalam surah Ali Imran ayat 190.
Apabila kita menatapi dunia yang terpampang di depan mata kita, kita teruja dengan apa yang kita boleh memperolehi darinya. Dengan akal yang ada, kita meneroka setiap pelosok alam dan menggali rahsia-rahsia yang terkandung di dalamnya. Kita memperolehi minyak dan juga letrik, ubat-ubatan untuk merawat berbagai penyakit, meningkatkan kualiti pertanian dan menghasilkan makanan yang lebih berkhasiat, serta teknologi untuk menghasilkan kereta, kapalterbang dan kapal angkasa.
Sememangnya akal adalah anugerah yang tidak ternilai sumbangannya kepada pembangunan hidup manusia. Namun, seandainya akal hanya terbatas kepada mencari kepuasan kebendaan, manusia tidak boleh menjadi insan sejati yang merupakan matlamat utama ciptaannya.

Ini adalah kerana manusia juga mempunyai hawa nafsu dan hawa nafsu yang berpangkalan kepada akal yang berfikirkan tentang kebendaan tidak boleh membawa manusia lebih jauh dari kepuasan badan dan kehidupan kebendaan. Malah, sejarah telah menyaksikan bagaimana fikiran kehidupan berlandaskan kebendaan semata-mata mengakibatkan manusia menjadi rakus dan saling atas-mengatasi antara satu sama lain untuk memperolehi sebanyak mungkin harta kekayaan sehingga mereka lupa bahawa mereka adalah manusia sesaudara.
Sebaliknya, agama membawa manusia melangkaui batasan kebendaan. Agama membawa kita untuk merenung tentang persoalan ciptaan yang kemudiannya akan merangsang akal dan hati kita untuk bertanya sama ada dunia hanya semata kehidupan kebendaan atau ianya mesti membawa kepada penonjolan nilai-nilai yang penuh keinsanan.

Kita adalah insan yang mempunyai lima peribadi. Yang pertama bernama saya, yang kedua bernama keluarga, yang ketiga bernama insan selain saya, yang keempat bernama alam semesta, yang kelima adalah berkaitan Tuhan dan agamanya. Justeru, setiap yang kita fikir dan setiap yang kita lakukan pastinya melibatkan kepentingan yang selain dari kita. Mungkin juga Tuhan jadikan peribadi kita sedemikian rupa supaya kita dapat merealisasikan hakikat kita sebagai manusia yang bukan semata berkepentingan dan memenuhi keperluan diri tetapi juga yang berkongsi hidup dengan yang lain yang menghuni alam ini. Keadaan berfikiran sebegini akan mengakibatkan nilai-nilai murni seperti kasih sayang, hormat menghormati dan tolong menolong antara sesama insan untuk cetus dalam peribadi kita.
Beragama dalam Islam memestikan kita beribadat kerana beribadat mencelikkan minda untuk meneroka alam semesta untuk menjana kehidupan yang selesa. Minda yang celik akan merangsang akal untuk mengaitkan erti kehidupan kebendaan kepada makna kita sebagai manusia yang kemudiannya mencetuskan nilai murni dalam peribadi kita. Akal yang sedar tentang erti manusia akan membuka mata hati kita kepada agama dan tentang kenapa Tuhan adalah penting untuk umat manusia. Sehubungan ini, beragama dalam Islam semestinya menjadikan seseorang itu insan yang ahli kaji, ahli fikir, ahli berperibadi murni dan ahli ibadat sesuai dengan dirinya yang bergelar Muslim.

Sumber: Facebook (MACMA Selangor)
6.6.2015 : 2.55 am

No comments:

Post a Comment