ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 1 September 2014

CARA BERDISKUSI DENGAN RAKAN SEAGAMA

Sumber: Nurain Muhammad (Facebook)
Soalan: Assalamualaikum ustazah. Saya ingin bertanya, adakah mana-mana ayat Al Qur’an yang menerangkan "cara berdiskusi" dengan rakan seagama dengan cara yang sebaik-baiknya.Terima Kasih.
Wa’alaikumussalam... Antara ayat yang paling jelas menjawab persoalan ini ialah ayat 159 surah Al Imran dan ianya mengandungi 4 poin penting:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya. [‘Ali Imran 159]
[Poin 1]
Hendaklah kita bersikap lemah lembut apabila berdakwah. Jika kita bersikap keras dan kasar, mereka akan lari dari kita. Berdakwah ada dua jenis, berdakwah kepada orang bukan Islam kepada Islam dan berdakwah orang Islam kepada Islam yang lebih sempurna.

Jika kita berdakwah kepada orang ramai dengan kata-kata yang kasar tentang sesetengah amalan mereka, maka mereka akan meninggalkan kita, tak kira samada dakwah kita disertai hujah Al Quran dan Sunnah yang sahih atau tidak. Tidak kira samada bercakap yang betul atau salah.
[Poin 2]
Hendaklah kita memaafkan. Dengan sikap ini di dalam hati nurani kita, kita akan dapat berbicara dengan sesama umat dengan baik lagi penuh hikmah. Ingat, walaupun kita sesama umat adakalanya berbeza pendapat, kita tetap adalah umat Islam yang dimaksudkan oleh firman Allah:

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat islam). [Fath 48:29]
Sifat memaafkan adalah antara sunnah Rasulullah ketika berdakwah. Dalam sirah baginda, terdapat banyak 'contoh' pemaafan yang diberikan oleh Rasulullah kepada orang yang menentangnya. Sehingga sifat maaf yang darinya lahir kelemah-lembutan dapat menarik orang yang pada awalnya menentang kembali mendekati baginda.
Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dengan firmanNya:Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. [Fussilat 41:34]
[Poin 3]
Bermesyuaratlah, yakni kita berdiskusi. Kita sama-sama tahu bahawa banyak orang menolak sesuatu bukan kerana salah tetapi kerana mereka tidak tahu. Dan banyak orang mengamalkan sesuatu bukan kerana betul tetapi kerana sejak kecil telah diajar demikian.

Kita juga tahu bahawa banyak orang enggan menerima sesuatu bukan kerana buta atau pekak tetapi kerana berat di hati untuk mengaku bahawa apa yang dilakukan selama ini adalah kurang tepat.
Maka bagi menangani masalah di atas memerlukan banyak sabar, ilmu, dan al-Hikmah. Dan ketiga-tiga ini perlu kita terapkan secara berdiskusi. Yang utama ialah kita cuba rebut peluang untuk mendengarkan kepada mereka ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah.
Kita sama-sama tahu, ramai orang yang tidak kenal AlQuran kecuali sekadar hiasan dinding, hantaran kahwin, amalan malam Jumaat dan nasihat serta peringatan kepada mayat. Hadis Nabi jauh lagi.
Maka di sini menjadi kewajipan kita untuk berdiskusi, menyampaikan ayat-ayat Al Quran dan hadis Rasulullah, agar mereka faham apakah yang sepatutnya menjadi dasar dalam beragama.
Jika kita menghadapi perbezaan pendapat dengan menghukum: itu bid’ah, itu salah, itu haram, maka ini bukan namanya berdiskusi. Berdiskusi ialah kita mendengar pendapat mereka, menyampaikan pendapat kita dan bersama-sama mencari kebenaran antaranya. Adakalanya mereka salah dan adakalanya kita salah.
[Poin 4]
Bertawakal kepada Allah. Perkara penting yang perlu kita ingat, berdakwah ialah menyampaikan, bukan memaksa orang menerima apa yang didakwahkan atau menghukum jika mereka tidak mahu menerimanya.

Jika kita memilih dua yang terakhir di atas, dakwah kita yang asalnya adalah satu kebajikan akhirnya akan bertukar menjadi dosa ke atas diri kita sendiri.Jika kita telah menyampaikan tetapi mereka tidak mahu menerima, maka tugas kita selain bertawakal ialah berfikir, apakah silap dan kekurangan kita sehingga kita gagal?
Andai poin-poin di atas selalu kita praktikkan dengan baik, pasti rakan diskusi kita akan menerima apa yang kita sampaikan dengan baik, tanpa mengira sama ada dia adalah orang bukan Islam atau orang Islam sendiri.
wallahu'alam


No comments:

Post a Comment