ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 22 April 2014

TAUBAT.


Kebanyakan masyarakat percaya berdasarkan sangkaan bahawa taubat bagus dimulakan apabila umur tua (sudah berumur), setelah beranak cucu, setelah menunaikan haji atau dengan beberapa alasan lain adalah suatu tradisi atau idea yang batil, berpunca dari kejahilan seseorang itu tentang apa itu taubat dan pengampunan Allah yang sebenarnya.

Tiada seorang individupun yang dibenarkan menentukan bila masanya seharusnya seseorang itu bertaubat. Sedangkan perintah Allah agar bersegera bertaubat tidak pernah ditetapkan masa-masanya yang tertentu, tempat-tempatnya yang tertentu, pada situasi atau kondisi yang tertentu, malah seseorang hamba yang tahu dirinya berdosa diwajibkan agar cepat-cepat bertaubat. Ini kerana manusia sering didominan oleh hawa nafsunya dan godaan syaitan.

“Setiap Bani Adam mereka itu bersalah dan sebaik-baik mereka yang melakukan kesalahan itu ialah mereka yang bertaubat”.

Pengertian taubat menurut syara' ialah kembali kepada Allah dengan berpegang teguh kepada kewajipan yang diwajibkan kepada hambaNya. Meninggalkan laranganNya atau beralih dari setiap perbuatan yang dibenci kepada yang disenangi.

“Dan bertaubatlah kamu sekalian wahai kaum mukminin! Semoga kamu mendapat kemenangan”. (an-Nuur: 31)

“Katakanlah! Wahai hamba-hamba Ku yang melampaui batas terhadap dirinya sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnyanya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Dan Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dan berserah dirilah kepadaNya sebelum datang azab kepadamu kemudian kamu tidak dapat ditolong (lagi)”. (az-Zumar: 53-54)

“Dan barangsiapa yang tidak mahu bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Al-Hujurat, 49:11)

“Maka mengapa mereka tidak mahu bertaubat kepada Allah dan memohon ampun kepadaNya? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Al-Maidah, 74)

“Dan Tuhanmu Maha Pengampun lagi melimpah-limpah rahmatNya”. (Al-Kahfi, 58)

“Keduanya (Adam dan Hawa) berdoa, Ya Tuhan kami! Kami telah menganayai diri kami sendiri dan jika Engkau tidak mengampuni kami, nescaya kami termasuk orang-orang yang merugi”. (Al-'Araf, 23)

“Menyesali (dosa) itu adalah taubat”. (HR Ahmad dan Ibn Majah. Sahih al-Jam’i. 6802)

“Hai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat nasuha (taubat yang semurni-murninya), mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapus kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (At-Tahrim, 8)

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang mahu bertaubat dan orang-orang yang mahu membersihkan dirinya sendiri”. (Al-Baqarah, 2: 222)

Dari Abu Musa al-Asy’ari radiallahu ‘anhu beliau menceritakan: Rasulullah bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza wa-Jalla membentangkan tanganNya di malam hari untuk menerima taubat orang yang berbuat dosa di siang hari dan membentangkan tanganNya di siang hari untuk menerima taubat orang yang berdosa di malam hari. Demikianlah seterusnya sehingga sampai matahari terbit dari barat (Kiamat)”. (HR Muslim)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu sekalian dengan taubat nasuha (taubat yang murni)” (At-Tahrim, 8)

CARA TAUBAT.

Ibnul Qayyim al-Jauziyah rahimahullah telah menjelaskan cara-cara taubat nasuha:

Pertama: Meminta pengampunan (taubat) yang meliputi segala dosa-dosa maksiat tanpa ada kecualinya, sehingga tidak ada dosa yang tidak disertakan dalam taubatnya.

Kedua: Membulatkan tekad dan kejujuran hati dengan sepenuhnya supaya tidak menyiksa pada dirinya keragu-raguan, kekesalan atau menanti-nanti (masa bertaubat). Tetapi seorang hamba harus mengerahkan segala keinginan dan ketekadannya untuk segera bertaubat.

Ketiga: Memurnikan taubat dari berbagai noda dan penyakit yang mengganggu keikhlasan bertaubat.

“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkongan (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya”. (HR Ahmad dan Tirmidzi. Sahihul Jami’ 6132)

“Sesiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat, maka Allah menerima taubatnya”. (HR Muslim)

No comments:

Post a Comment