ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 17 March 2014

IBRAH MH 370

Oleh:
Dr. Arieff Salleh bin Rosman, Felo Fatwa


Insafi Diri Dan Elak Jadi Penyebar Berita Palsu 
Allah SWT; Tuhan Yang Maha Berkuasa, menurunkan al-Quran sebagai petunjuk kehidupan manusia. Al-Quran diturunkan kepada Nabi Muhammad saw dan baginda berperanan menjelaskan petunjuk yang terkandung dalam al-Quran. Manusia yang hidup berpandukan al-Quran dan as-Sunnah Nabi Muhammad saw adalah manusia yang berjaya mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam al-Quran; surah al-Isra' ayat 97 yang bermaksud, "Dan sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah maka dialah yang sebenar-benarnya berjaya mencapai kebahagiaan. Dan sesiapa yang disesatkannya maka engkau tidak sekali-kali akan mendapati bagi mereka, penolong-penolong yang lain daripadaNya. Dan Kami akan himpunkan mereka pada hari kiamat (dengan menyeret mereka masing-masing) atas mukanya, dalam keadaan buta, bisu dan pekak. Tempat kediaman mereka: neraka Jahannam; tiap-tiap kali malap julangan apinya, Kami tambahi mereka dengan api yang menjulang-julang".

Seluruh rakyat Malaysia sedang diuji oleh Allah SWT berkenaan isu kehilangan kapal terbang MH 370. Pelbagai usaha dilakukan dan pelbagai berita disampaikan. Walau apapun tindakan yang dilakukan, al-Quran dan as-Sunnah wajib menjadi panduan. Qabisah bin al-Mukhariq melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Al-Quran itu memberi syafaat di hari akhirat kelak dan sumber kesuburan hati yang diakui. Sesiapa yang menjadikannya di hadapannya (mengikuti petunjuknya), maka al-Quran itu akan memandunya ke syurga. Sesiapa yang menjadikannya di belakangnya (mengingkari petunjuknya), maka al-Quran itu akan menghumbannya ke neraka". (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam Ibnu Hibban)

Dalam kerancakan masyarakat membicarakan isu MH370, terdapat panduan al-Quran yang diabaikan oleh kita sebagai umat Islam, iaitu dalam menerima, menilai dan mengesahkan sesuatu maklumat sebelum disebarkan. Firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 6 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. Allah SWT mengarahkan kepada orang yang beriman, apabila mendapat sesuatu berita, maka hendaklah disiasat terlebih dahulu kebenarannya sebelum sebarang tindakan diambil. Ini bagi mengelakkan tindakan tersebut dibuat atas asas yang tidak betul, sehingga melahirkan akibat yang buruk. Umat Islam tidak selayaknya menjadi golongan penyebar berita palsu, atau berita yang masih diragui kesahihannya, kerana ia hanya akan mengundang bencana dalam masyarakat.

Terdapat pelbagai spekulasi diberikan tentang kehilangan MH370. Ada yang menjangkakan ia telah meletup, ada yang mengatakan ia terjunam jatuh ke dalam laut, ada yang beranggapan ia dirampas dan disembunyikan, dan pelbagai spekulasi diberikan. Kehadiran pelbagai media menjadikan isu ini menjadi semakin kompleks. Setiap media memaparkan pelbagai spekulasi, sehingga menjadikan masyarakat semakin bingung. Persoalan yang timbul, kenapa masyarakat kita dihidangkan dengan pelbagai berita yang masih belum disahkan kesahihannya. Banyak masa dihabiskan membicarakan pelbagai spekulasi. Apa manfaat spekulasi ini kepada ahli keluarga mangsa dan masyarakat umumnya?

Nabi Muhammad saw telah memberikan panduan, umat Islam seharusnya hanya melakukan perkara yang mendatangkan manfaat dan menjauhi perkara yang sia-sia. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Seorang mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah berbanding seorang mukmin yang lemah. Pada setiap kebaikan maka lakukanlah apa-apa yang mendatangkan manfaat untuk kamu. Mintalah bantuan daripada Allah dan jangan sekali-kali kamu merasa lemah dan berputus asa. Jika kamu ditimpa dengan satu musibah, maka janganlah kamu berkata, 'Jika aku lakukan begini, maka sudah tentu kesannya begitu dan begini'. Tetapi katakanlah, 'Segala-galanya telah ditentukan oleh Allah. Dia hanya lakukan apa yang Dia kehendaki.' Sesungguhnya ungkapan 'kalau' hanya akan membuka pintu gangguan syaitan." (Hadis sahih direkod oleh Imam Muslim)

Allah SWT memberi amaran agar jangan bercakap sebarangan membuat ulasan, mungkin kita menyangka isu yang diulas adalah perkara biasa atau remeh tapi dosanya sangat besar di sisi Allah SWT. Firman Allah SWT dalam al-Quran; surah al-Nur ayat 15 yang bermaksud, "Iaitu (ingatlah) semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya”. 

Ulasan terhadap isu MH370 yang tidak bersandarkan data dan maklumat yang sahih hanya akan mengundang perbalahan antara anggota masyarakat. Satu pihak menuding jari kepada pihak lain, kononnya menyembunyikan fakta sebenar, pihak yang lain pula melaga-lagakan sesama umat Islam dengan mengemukakan spekulasi berdasarkan logik akal semata-mata, ada pula yang menganalisa isu ini dengan kaca mata kepentingan politik. Yang lebih teruk, apabila ada orang Islam yang cuba melakukan spekulasi terhadap perbuatan Allah SWT, dengan mengemukakan analisa liar yang menghubungkan isu MH370 sebagai hukuman Allah kepada seseorang atau sesuatu isu yang sedang berlaku di Malaysia, seolah-olahnya penganalisis itu menjadi juru bicara Allah menyampaikan apa yang termaktub dalam Luh Mahfuz. 

Umat Islam hendaklah menjaga lidah daripada menjadi penyebar fitnah atau pembawa berita palsu, kerana semua perbuatan dan perkataan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Azza Wajalla pada hari Kiamat. Firman Allah SWT dalam al-Quran, surah al-Isra' ayat 36 yang bermaksud, "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya”.

Kembalilah Kepada Allah SWT
Pencarian kapal terbang MH370 dan para penumpangnya masih belum mendapat kata pemutus. Bagaimanakah keadaan mereka, adakah masih selamat? Persoalan demi persoalan timbul, pelbagai usaha telah dilakukan. Namun, jawapannya masih kabur. Imam Ibnu Rajab al-Hanbali menjelaskan dalam bukunya, Jami' al-'ulum wa al-hikam: "Antara rahsia yang terkandung dalam setiap penderitaan itu ada kebahagiaan, setiap kesulitan ada kemudahan iaitu jika penderitaan yang ditanggung semakin menyakitkan, seseorang hamba Allah mula berputus asa daripada bergantung kepada mahkluk, lantas hatinya hanya mengharap kepada Allah semata-mata, maka itulah hakikat tawakkal kepada Allah. Tawakkal itulah yang dituntut bagi setiap penyelesaian masalah. Firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 3, '...dan ingatlah, sesiapa bertawakkal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (jil. 1, hlm. 493)
Ibnu Rajab berkata, “Tawakkal adalah penyandaran hati pada Allah untuk meraih berbagai kemaslahatan dan menghilangkan bahaya dalam urusan dunia mahupun akhirat. Menyerahkan semua urusan kepadaNya serta meyakini dengan sebenar-benarnya bahawa tidak ada yang memberi, menghalangi, mendatangkan bahaya, dan mendatangkan manfaat kecuali Allah semata-mata.”

Namun begitu, tawakkal bukan bermaksud seseorang hamba hanya pasrah kepada ketentuan Allah tanpa sebarang usaha. Tanggungjawab seorang hamba adalah berusaha mengikut cara yang dibenarkan oleh Allah SWT. Menurut Ibnu Rajab, "Bertawakkal tidaklah bermaksud seseorang meninggalkan sunnatullah yang telah ditetapkan dan ditakdirkan. Kerana Allah memerintahkan kita untuk melakukan usaha, sekaligus juga memerintahkan kita untuk bertawakkal. Oleh kerana itu, usaha dengan anggota badan adalah termasuk ketaatan kepada Allah, sedangkan tawakkal dengan hati merupakan keimanan kepadaNya”.

Segelintir umat Islam tersalah faham tentang konsep tawakkal. Ada yang menyerah diri sahaja kepada takdir tanpa berusaha, hanya berdoa memohon agar Allah menyelesaikan masalahnya. Ada pula sebaliknya, hanya yakin dengan usaha yang dilakukan tanpa meyakini bahawa yang mampu memberikan hasil daripada usaha yang dilakukan hanyalah Allah. Terkadang manusia terpedaya dengan kecanggihan teknologi yang ada. Mereka yakin dengan peralatan canggih, segala masalah boleh diselesaikan. Lihat sahaja isu MH370. Kecanggihan sistem kapal terbang yang direka, ketepatan sistem radar dalam mencari maklumat, alat komunikasi penghubung antara benua, dan pelbagai teknologi canggih, masih belum mampu merungkai isu MH370. Ketika seseorang telah sampai pada jalan buntu dalam upaya mencapai tujuan dan tidak mempunyai kemampuan lagi untuk menyelesaikan dan memecahkan persoalannya, dia akan menyandarkan diri kepada Allah tanpa menghentikan usahanya. Walaupun manusia mampu mencipta peralatan canggih, namun faktor utama yang boleh menyelesaikan masalahnya adalah Allah SWT sahaja.

Tetapi berlaku juga kepada orang yang berusaha, berdoa dan bertawakal dalam usahanya itu, tetapi tetap tidak berjaya dan Allah tidak memberikan kejayaan kepadanya. Kita wajib bermuhasabah diri dalam mencari penyelesaian isu MH370 ini. Adakah usaha yang dilakukan itu menepati Syariat Allah SWT? Adakah usaha itu sudah mencukupi dan dilakukan bersungguh-sungguh? Adakah orang yang berdoa dan sembahyang hajat mengabaikan ibadah-ibadah wajib, sering melakukan dosa atau sebagainya? Sebab itulah tawakkal kita perlu bersama dengan redha dan sabar dengan apa yang akan diberikan oleh Allah. Orang yang bersabar itu adalah orang yang mempunyai iman dan keyakinan akan kekuasaan Allah. Abdullah bin Mas'ud melaporkan, Rasulullah saw bersabda “Bersabar itu separuh daripada iman”. (Hadis sahih diriwayatkan oleh al-Haythami)

Jauhi Perkara Yang Haram
Dalam masa berusaha mencari penyelesaian berkaitan isu MH370, manusia perlu sedar tentang satu hakikat, Allah SWT telah menetapkan dalam SyariatNya, usaha yang halal dan usaha yang haram. Ketika berusaha menyelesaikan masalah, manusia wajib menghindari daripada usaha yang diharamkan oleh Allah SWT.

Kerancakan usaha mencari petanda MH370, masyarakat Malaysia dan dunia digemparkan dengan sekumpulan 'tok bomoh' yang dikatakan berusaha untuk membantu mencari MH370. Aksi ala 'Laksama Do Re Mi' di KLIA mendatangkan reaksi pelbagai daripada masyarakat; sama ada tempatan atau antarabangsa. Menggunakan buluh sebagai teropong, bubu dan kelapa seumpama radar pengesan, serta tikar terbang, diselangi dengan doa, zikir, dan jampi serapah; menjadikan masyarakat bingung. Adakah ini termasuk dalam usaha yang dibenarkan Syarak untuk merungkai persoalan MH370? Sehingga ada media antarabangsa melabelkan 'Sihir adalah jalan terakhir Kerajaan Malaysia menyelesaikan isu MH370'.

Aksi perbomohan seumpama itu termasuk dalam amalan sihir dan khurafat yang dilarang dalam Islam. Doa dan zikir yang diungkapkan tidak meng'halal'kan perbuatan khurafat yang dilakukan. Menurut Islam, terdapat tiga hukum yang bertautan antara satu sama lain iaitu hukum Syarak, hukum akal dan hukum adat. Sesuatu tindakan yang berlawanan dengan hukum akal dan adat hanya diterima oleh hukum Syarak sekiranya ia termasuk dalam maksud mukjizat atau karamah. Mukjizat merupakan perkara luar biasa yang berlawanan dengan dengan hukum adat dan akal yang dikurniakan Allah kepada para Nabi dan Rasul. Manakala perkara luar biasa yang berlawanan dengan dengan hukum adat dan akal yang dikurniakan Allah kepada manusia selain Nabi dan Rasul dinamakan karamah.

Meneropong bagi mengesan objek yang jauh menggunakan buluh merupakan perkara yang berlawanan dengan hukum adat dan akal. Manakala bubu pula menurut hukum akal dan adat, ia direka untuk menangkap ikan, bukan dijadikan sebagai radar pengesan. Tikar pula bukanlah digunakan untuk tujuan terbang di udara. Persoalan yang timbul, adakah penggunaan buluh, bubu, kelapa, dan tikar yang berlawanan dengan hukum adat dan akal itu termasuk dalam karamah yang dikurniakan oleh Allah SWT? Adakah ilmu 'tok bomoh' itu termasuk dalam karamah?

Memang terdapat hamba Allah yang mempunyai keistimewaan di sisi Allah, mereka dikurniakan Allah dengan karamah seperti Maryam, ibu Nabi Isa boleh menerima hidangan makanan dari langit hanya dengan berdoa kepada Allah, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah Ali 'Imran ayat 37, "...tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, dia dapati rezeki (buah-buahan yang luar biasa) di sisinya. Nabi Zakaria bertanya, 'Wahai Maryam, dari mana engkau dapati (buah-buahan) ini?' Maryam menjawab, 'Ia daripada Allah'. Sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira". Namun, apakah yang membezakan hidangan yang dikurniakan oleh Allah kepada Maryam dengan hidangan hasil tiupan bangsi hikmat 'Laksamana Do Re Mi'?

Jawapannya, Allah mengurniakan kepada hambaNya perkara luar biasa yang menyalahi hukum adat dan akal dalam dua keadaan; pertama: karamah dan kedua: istidraj. Karamah dikurniakan Allah kepada hambaNya yang ikhlas beramal soleh kepadaNya. Manakala istidraj pula perkara luar biasa yang dilakukan oleh seseorang manusia dengan dibantu oleh iblis dan syaitan.

Perbezaan antara karamah dan istidraj boleh dilihat pada watak seseorang individu. Individu yang patuh kepada segala perintah Allah dan menjaga adabnya dengan Allah dan sesama makhluk Allah, berkemungkinan besar, perkara luar biasa yang dilakukannya itu adalah karamah pemberian Allah. Namun, jika sebaliknya, seseorang individu yang boleh melakukan perkara luar biasa, tidak mencerminkan akhlak seorang Mukmin, maka jelaslah ialah adalah istidraj. Orang yang sombong, menunjukkan kebolehan diri di khalayak ramai dan kemudian dengan angkuh menghentam orang yang mengkiritiknya sehingga mencabar untuk menampar orang itu dan menyumpahnya menjadi buaya, orang seperti ini secara jelas dan terang tidak layak mendapat karamah daripada Allah. Mana ada dalam sejarah umat manusia, ada Nabi atau wali Allah yang dikurniakan kelebihan oleh Allah, berlaku sombong dan angkuh seperti itu.

Amalan sihir adalah termasuk dalam maksud istidraj. Walaupun ahli sihir boleh melakukan perkara luar biasa yang berlawanan dengan hukum adat dan akal, namun, perkara itu dilakukan dengan bantuan iblis dan syaitan. Oleh itu, perkara luar biasa yang berlawanan dengan hukum adat dan akal yang berasaskan sihir dan istidraj ditentang oleh hukum Syarak. 

Islam mengharamkan amalan sihir dan ia termasuk dalam perbuatan Syirik. Abu Hurairah melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Jauhkan diri kamu daripada tujuh dosa besar yang menghancurkan!" Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah tujuh dosa itu?" Jawab baginda, "Mensyirikkan Allah, sihir..." (Hadis sahih diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari) Abdullah bin Mas'ud melaporkan, Rasulullah saw bersabda, "Sesiapa yang datang bertemu dengan penenung nasib, ahli sihir, atau kahin (tok bomoh), lalu bertanya kepadanya tentang sesuatu, lalu mempercayai apa yang dikatakannya, maka orang itu telah kufur kepada apa yang telah diturunkan kepada Muhammad". (Hadis sahih direkod oleh al-Haythami) Imam al-Khattabi menjelaskan, "Golongan 'kahin' (tok bomoh) ialah golongan yang mendakwa tahu ilmu ghaib dan memberitahu manusia tentang rahsia yang berlaku di alam. Dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah, golongan ini mendakwa tahu banyak ilmu ghaib yang tidak diketahui oleh orang ramai". (Ma'alim al-sunan, jil. 4, hlm. 228)

Orang Islam yang mengamalkan sihir; sama ada menjadi ahli sihir atau meminta pertolongan kepada ahli sihir, maka hukumnya adalah Syirik. Orang Islam itu telah menjadi murtad kerana amalan sihir tersebut. Menurut undang-undang jenayah Islam, individu yang terlibat dengan sihir telah melakukan jenayah riddah. Oleh itu, dalam kerancakan kita mencari penyelesaian kepada isu MH370, elemen syirik dan sihir seumpama ini wajib dijauhi. Ia bukan membantu menyelesaikan isu ini, bahkan ia menjadi penghalang kepada rahmat Allah. Maka seluruh umat Islam di Malaysia, wajib menunjukkan penentangan kepada amalan syirik tersebut dan pihak berkuasa Agama di Malaysia, wajib mengambil tindakan kepada individu terbabit.

Wallahu A'lam.

Sumber: FB -Al Quran dan Hadis

No comments:

Post a Comment