ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 6 December 2013

Dokumentari juruterbang WWII tampil legasi keluarga Talalla

KUALA LUMPUR: Dalam plak senarai nama penghormatan kepada juruterbang pesawat Typhoon Tentera Udara Diraja Britain (RAF), di Tugu Peringatan Tentera Bersekutu di Noyers Bocage, Perancis, terukir nama seorang warga Malaysia. Pegawai Waran HCB Talalla atau Henry Conard Benjamin ‘Sonny’ Talalla dari Skuadron No.182 adalah antara 151 nama yang tertera di plak tugu itu sebagai memperingati jasa juruterbang yang terkorban dalam 'Battle of Normandy' semasa Perang Dunia II (WWII). Pesawat Typhoon Henry ditembak jatuh oleh artileri anti pesawat tentera Nazi pada 1944 semasa operasi serangan ke selatan Caen di Perancis semasa 'Operation Cobra' untuk menembusi garisan pertahanan musuh. Adiknya, Cyril Lionel Francis ‘Jimmy’ Talalla' juga adalah seorang juruterbang di bawah RAF semasa WWII dalam Skuadron No.118 dan kemudian Skuadron 122, yang menerbangkan pesawat tempur Hurricane sebelum pesawat tempur Mustang buatan Amerika. Bagaimanapun beliau terselamat dalam perang berkenaan. Adik beradik ini berasal daripada keluarga kaum Singhalese yang tersohor dengan enam anak lelaki dan telah banyak menyaksikan pencapaian mengagumkan semasa zaman penjajah, tetapi agak aneh mereka jarang disebut dalam rentetan sejarah Malaysia. Ayah mereka, Hewage Benjamin Talalla yang berasal dari Sri Lanka adalah juruterbang ternama yang melakukan pencapaian penting setelah terbang secara solo dari Alor Setar ke Corydon di England pada 1932, satu penerbangan bersejarah yang memakan masa 28 hari. Di Lembah Klang, terdapat dua jalan yang membawa nama keluarga itu iaitu satu di ibu negara dan satu lagi di Klang sementara di Perancis pula terdapat 'Henry Talalla Route', jalan yang menghubungkan dua perkampungan berhampiran tempat pesawat Henry terhempas. Seorang daripada dua adik beradik Henry dan Jimmy yang masih hidup lagi ialah Richard Talalla, 83, seorang peguam kanan yang masyhur di pejabat amalan guaman yang tersohor, dan beliau juga seorang bekas hakim mahkamah tinggi. Bagaimanapun, siaran dokumentari baru-baru ini bertajuk ‘Lost Over France: Malaysia’s Unsung Hero' di saluran History dan History HD di Astro bersempena dengan sambutan Hari Malaysia sedikit sebanyak menampilkan kisah dua beradik wira ini dan keluarga Talalla. Seperti ayah mereka, Henry dan Jimmy mendekatkan diri dengan dunia penerbangan dari awal lagi sehinggakan mereka menerima lesen penerbangan sebelum tamat tempoh pengajian di Victoria Institution di sini. Henry dan Cyril kemudian menyertai Kelab Penerbangan Kuala Lumpur dan mengembara merentasi langit Malaya menggunakan pesawat dwi sayap 'Tiger Moth'. Apabila Britain mengisytiharkan perang ke atas Jerman pada September 1939, mereka berdua baru sahaja menyertai syarikat ayah mereka. Apabila ayah mereka mendapat tahu adanya permintaan untuk juruterbang sukarela dalam perang itu, beliau menyatakan hasrat agar kedua-dua anaknya itu menyertai RAF. Mereka akur dengan niat murni bapa mereka tanpa mengetahui bahawa perang itu kelak akan menentukan takdir masing-masing. Sementara kedua-dua mereka berjuang di Eropah, Jepun pula menyerang Malaya pada 1941 dan keluarga Talalla turut berhadapan dengan kekejaman oleh Jepun yang menganggap mereka bersimpati dengan British. Mereka dipenjarakan oleh pihak Jepun. Pada 25 Julai, 1944, Henry adalah seorang daripada juruterbang satu skuadron empat pesawat Typhoon yang menyerang barisan kereta perisai musuh di Fonetaty Le Marmion untuk memaksa barisan pertahanan Jerman berundur di selatan Caen. Pesawat Typhoon itu dianggap sebagai pesawat tempur canggih ketika itu, yang membawa roket dan meriam untuk memusnah kereta perisai musuh di darat. Semasa serangan itu, Henry berada dalam pesawat ketiga pasukan berkenaan. Beliau melakukan junaman 60-darjah dan melepaskan roket kepada pihak Nazi yang kemudian bertindakbalas melepaskan tembakan anti pesawat menyebabkan pesawat dipandu Henry hilang daripada kumpulannya. Apabila mendengar berita kehilangan pesawat Henry, Cyril memutuskan untuk mencari abangnya itu dan melakukan penerbangan bersendirian merentasi Utara Perancis menggunakan pesawat Mustang melalui laluan yang dilalui Henry merentasi medan perang tetapi usahanya itu tidak berhasil. Pesawat Henry terhempas kira-kira 11 batu dari tempat ia terkena tembakan dan beliau dipercayai dikuburkan oleh pejuang Perancis dengan kuburnya ditemui 21 hari kemudian oleh seorang petani Perancis, Louie Bree. Richard berkata; "Kita harus memahami apa yang ada dalam fikiran Jimmy pada masa itu. Tanpa sebarang khabar daripada keluarga di tanahair, pada Jimmy, Henry adalah satu-satunya anggota keluarga terakhir bagi beliau". Keluarga Talalla juga tidak mengetahui nasib yang menimpa Henry sehingga peperangan berakhir pada 1945. Hewage hiba mendengar berita itu dan segera ke Britain dan kemudian ke Perancis untuk mencari kubur Henry, yang ditemuinya di ladang Bree. Sementara itu, Jimmy menyertai pelbagai operasi serangan semasa perang itu dan pada Jun 1943 beliau dikurniakan pingat 'Distinguished Flying Cross'. Beliau kembali ke tanah air selepas perang dan memainkan pelbagai peranan dalam pembangunan sektor penerbangan ketenteraan dan awam Malaya sebelum kembali ke Britain pada 1960-an. Jimmy meninggal dunia pada awal 1970-an. Setiap tahun semasa hari peringatan, perkampungan kecil Airan memberi penghormatan kepada wira Malaysia ini melalui satu majlis ringkas di mana seorang daripada anggota keluarga Talalla akan hadir. Dengan usianya yang semakin meningkat, tahun ini Richard melakukan perjalanan terakhir untuk memberi penghormatan kepada Henry dan selepas 69 tahun buat pertama kali bendera Malaysia dikibarkan di Tugu Peringatan Noyers Bocage yang terletak berdekatan dengan perkampungan Caen, diiringi dengan lagu Negaraku. Tatkala keberanian dan jasa adik beradik Talalla masih tidak diketahui ramai warga Malaysia sehinggalah baru-baru ini, legasi mereka akan kekal selama-lamanya seperti yang tertera pada tugu peringatan di Noyers Bocage 'their name liveth for evermore' (nama mereka akan kekal selama-lamanya). - BERNAMA

No comments:

Post a Comment