ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 12 October 2013

Keutamaan Hari Jumaat


1) Hari Jumaat Adalah Kemuliaan Buat Ummat Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawa dia mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda yang maksudnya:

“Kita adalah ummat yang akhir yang wujud di dunia ini dan ummat yang pertama (mendapat kelebihan, ganjaran dan masuk Syurga) pada Hari Kiamat, sekalipun mereka lebih dahulu diberikan Al-Kitab daripada kita. Kemudiannya, hari ini (Jumaat) adalah hari yang ditetapkan (diberi pilihan) kepada mereka (untuk mendekatkan diri kepada ALLAH), tetapi mereka berselisih padanya (tidak mahu menerimanya), lalu ALLAH memberi petunjuk kepada kita (agar menerima hari tersebut – iaitu Jumaat). Hari bagi Yahudi ialah esok (Sabtu) dan bagi Nasrani pada hari selepas esok (Ahad).” [³]

(HR al-Bukhari & Muslim)

2) Jumaat Adalah Sebaik-baik Hari

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata: Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:

“Sebaik-baik hari di mana matahari terbit adalah hari Jumaat. Pada hari itu Nabi Adam dimasukkan ke dalam Syurga dan pada hari itu pula Nabi Adam dikeluarkan dari Syurga.” [¹]

(HR Muslim)

3) Jumaat Dan Jumaat Berikutnya Adalah Penebus Dosa Jika Menepati Syaratnya

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata: Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam telah bersabda yang maksudnya:

“Barangsiapa yang berwudhu dengan sempurna kemudian mendatangi solat Jumaat lalu mendengar khutbah dan memperhatikan (dengar dengan teliti) khutbah, maka diampunilah dosa yang dilakukan antara hari itu sampai hari Jumaat berikutnya dan ditambah dengan 3 hari. Dan barangsiapa yang bermain kerikil, maka sia-sialah Jumaatnya.” [¹]

(HR Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu dari Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Solat fardhu yang lima, Jumaat yang satu sampai Jumaat berikutnya, dan Ramadhan yang satu sampai Ramadhan berikutnya adalah merupakan mukaffirat (penebus) dosa-dosa yang dilakukan di antara kesemuanya itu selagi dosa-dosa besar dijauhinya.” [¹]

(HR Muslim)

4) Ancaman Meninggalkan Solat Jumaat Tanpa Uzur Syar`i

Dari Abu Hurairah dan Ibnu `Umar radhiAllahu `anhum bahawasanya kedua-duanya telah mendengar Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda di atas mimbarnya yang maksudnya:

“Orang-orang yang biasa meninggalkan solat Jumaat mesti segera meninggalkan kebiasaannya itu atau kalau tidak maka ALLAH akan mengunci hati mereka kemudian mereka termasuk orang-orang yang lalai.” [¹]

(HR Muslim)

5) Ada Saat Yang Istimewa Dikabulkan Permintaan

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu bahawasanya ketika Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam membicarakan hari Jumaat, Baginda bersabda yang maksudnya:

“Pada hari itu (Jumaat) ada suatu saat di mana apabila ada seorang muslim yang sedang solat bertepatan dengan saat itu kemudian ia memohon sesuatu kepada ALLAH, nescaya ALLAH mengabulkan permohonannya.” Dan Baginda mengisyaratkan dengan tangannya menunjukkan bahawa saat itu sangat sebentar. 

Sumber: Facebook
12.10.2013

No comments:

Post a Comment