ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 2 August 2013

TAZKIRAH RAMADHAN – 1 OGOS 2013 / 23 RAMADHAN 1434H

TAZKIRAH RAMADHAN – 1 OGOS 2013 / 23 RAMADHAN 1434H
Surau At Taqwa, Lembah Keramat, KL
Penceramah: Ustaz Datuk Khalid Isa

Intisari Tazkirah:
10 hari terakhir inilah pusingan penentuan Ramadan. Inilah saatnya untuk kita mendapatkan sebesar-besar ganjaran pahala daripada Allah. Sekiranya kita menyibukkan diri dengan beribadah di dunia, maka Allah akan memberikan kesenangan di akhirat.  
Alangkah ruginya jika kita tidak mencontohi Rasulullah dan tidak teruja untuk mencari lailatulqadar. Itulah malam yang penuh keberkatan, malam dimakbulkan doa, dan malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Merebut ganjaran pahala di hari bulan Ramadhan yang masih berbaki adalah satu keutamaan. Kerana ini mungkin Ramadhan terakhir buat kita. Tiada lagi tawaran hebat ini pada bulan hadapan hinggalah ke Ramadhan tahun depan, itu pun jika kita dipanjangkan umur untuk bertemu dengannya. Berusahalah mencari malam Lailatul Qadar, satu malam yang lebih baik dari seribu malam, malaikat turun mengucapkan salam bagi hamba yang terpilih sehingga terbit fajar. Sebagai hamba yang kita mengharapkan rahmah dan keampunan dari Allah.
Janganlah kita lepaskan peluang yang hebat ini. Berusahalah mengkhatamkan Al Quran sambil mentadabburnya, berusahalah bangun menghidupkan malam, istiqomah dan solat berjemaah. Banyakkan berdoa, bersedekah dan banyakkan amalan-amalan kebaikan. Ramadhan Fasa yang ke 3 ini adalah fasa yang paling kritikal.
Di hari – hari terakhir Ramadhan inilah umat Islam di Malaysia khususnya disibukkan dengan persiapan menyambut Aidilfitri. Mod hari raya semakin meningkat dan mod Ramadhan semakin berkurangan. Lagu-lagu Hari Raya semakin berkumandang. Iklan di TV sudah mula bertemakan Hari Raya dan tema Ramadhan semakin berkurangan. Jemaah di Masjid juga semakin berkurangan.
Kasihanilah diri kita.... janganlah kita dikalahkan oleh hawa nafsu sedang syaitan masih dibelenggu. Jadikanlah Ramadhan sebagai madrasah Al Muttaqin.
RAMADHAN FASA KETIGA LEBIH MENCABAR KEIMANAN KITA.





No comments:

Post a Comment