ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 3 August 2013

TAZKIRAH RAMADHAN: 2 OGOS 2013 / 24 RAMADHAN 1434H


TAZKIRAH RAMADHAN: 2 OGOS 2013 / 24 RAMADHAN 1434H
Surau At Taqwa, Lembah Keramat, KL
Penceramah: Ustaz Shahabuddin Alang Mat Piah

Intisari Tazkirah:
Diriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'an bahawasanya Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “Apabila seseorang manusia itu meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan daripada tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu pengetahuan yang dapat diambil manfaat daripadanya dan anak soleh yang mendoakan untuknya”.
(Hadith riwayat Imam Muslim)

Sebanyak mana amalan yang telah dilakukan semasa seseorang itu hidup dahulu, maka sebanyak itu sahaja pahala yang akan diterimanya. Dia tidak akan dapat menambah lagi pahalanya setelah dia meninggal dunia melainkan daripada tiga sumber yang terdapat di dalam hadith di atas.

Ketiga-tiga amalan yang disebut dalam hadith ini merupakan ganjaran pahala yang berterusan diterima oleh pelakunya walaupun dia telah meninggal dunia. Cubalah kita renung dan fikirkan adakah ketiga-tiga amalan itu telah ada pada kita atau hanya dua atau satu sahaja daripada tiga amalan itu.. atau lebih teruk lagi tidak ada lansung ketiga-tiga amalan itu pada kita. 

Sedekah jariah yang pernah kita lakukan di dunia seperti mewaqafkan untuk kebajikan seperti membina rumah anak yatim, membina masjid, surau dan sebagainya. Selagi mana harta benda ini diguna pakai oleh orang lain selama itu orang yang mewaqafkannya secara ikhlas kerana Allah akan mendapat pahala yang berterusan sampai kepadanya. 

Begitu juga ilmu pengetahuan yang bermanfaat kepada orang lain. Selama mana ilmu itu dipelajari selama itulah orang yang mengajarkan ilmu itu mendapat pahala yang berterusan yang akan terus dimasukkan kedalam catatan amal kebajikannya. Contohnya seseorang yang mengarang kitab ilmu agama, selagi kitab itu diguna oleh orang lain dan member manfaat kepada mereka selagi itulah Allah akan mengurniakan ganjaran dan pahala yang berterusan kepada pengarang kitab tersebut. 

Anak yang soleh yang mendoakan kepada kedua ibubapanya. Insan yang soleh adalah buah hasil dari didikan yang berterusan dan pembinaan yang tersusun rapi. Ia merupakan hasil kegigihan semua pihak termasuk ibu bapa, guru, dan masyarakat.

Persiapkan diri kita sebelum kita dijemput bertemu dengan Allah SWT. Renunglah sejenak, adakah salah satu di antara ketiga-tiga perkara yang disebutkan oleh Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam telah kita lakukan. Kalau belum, berusahalah dan sebaik-baiknya kita himpunkanlah ketiga-tiga perkara ini sekali gus. Berdoalah selalu kepada Allah SWT agar sentiasa mempermudahkan segala urusan kita di dunia dan di akhirat.

No comments:

Post a Comment