ZULHEIMY MAAMOR

Saturday, 6 July 2013

PERSAUDARAAN DIDALAM ISLAM

TAZKIRAH 14 RAMADAN 1433H

Tarikh : 3 Ogos 2012
Tempat: Surau At Taqwa Lembah Keramat KL
Penceramah: Ustaz Shihabudin Alang Mat Piah

Tazkirah Ramadan – 14 Ramadan di Surau At Taqwa Lembah Keramat KL oleh Ustaz Shihabudin Alang Mat Piah menekankan mengenai hubungan Manusia dengan Allah (HablumminAllah) dan hubungan manusia dengan manusia (Hablumminannaas). 
Kepentingan konsep persaudaraan sangat ditekankan kepada umat manusia dalam mengimbangi tuntutan hablu min al-Allah (hubungan dengan Allah) dan hablu minannas (hubungan sesama manusia).

Sekiranya manusia menghayati konsep persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w, maka ia akan melahirkan sebuah peradaban manusia yang unggul dan akhirnya akan membentuk bangsa yang kuat.
 

Persaudaraan merupakan keperluan bersama iaitu saling lengkap-melengkapi dan bantu membantu antara muslim dengan muslim yang lain.

Imam al-Ghazali memberi pandangan bahawa hak seorang muslim ke atas muslim yang lain ialah memberi pertolongan kepada saudaranya yang mempunyai hajat dan keperluan mengikut kemampuan mereka. Pandangan ini menjelaskan bahawa wajib memberi pertolongan kepada saudara-saudara yang dalam kesulitan tanpa menunggu permintaan dari mereka. Bantuan yang diberikan mengikut kadar kemampuan masing-masing. Setiap individu wajib menghormati dan mengasihi saudaranya.
 

Rasulullah SAW bersabda, “Bukanlah dari umatku sesiapa yang tidak menghormati saudaranya yang lebih tua, dan yang tua tidak mengasihi saudaranya yang lebih muda”
(riwayat al-Tarmizi)

Daripada Ibnu Umar r.a. berkata, sabda Rasulullah s.a.w, ”Sesungguhnya hati ini berkarat seperti mana berkaratnya besi apabila terkena air, seorang sahabat bertanya, “Bagaimana menghapuskan karat tersebut’? Jawab Nabi s.a.w., “Banyakkan mengingati mati dan membaca al-Quran”


Zulheimy Maamor
Lembah Keramat, KL
6.7.2013 : 1.16 am


No comments:

Post a Comment