ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 4 June 2013

Politik dan amanah

Politik dan amanah

YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
04 Jun 2013

Golongan yang banyak terlibat dalam melaksanakan hukum adalah golongan politik yang memerintah negara. Mereka bertanggungjawab mengurus ummah dalam segala bidang. Allah menyebutnya bersama dengan adil dan amanah. Hal ini menunjukkan politik Islam yang sebenar adalah memerintah dengan adil mengikut hukum Allah. Melantik pemimpin yang menunaikan kewajipan ini dikira amanah paling besar dalam Islam dan menasihati pemimpin yang zalim adalah jihad paling afdal.

Menurut Abu Hurairah (mafhumnya), “Suatu ketika, Nabi Muhammad sedang berbicara dengan para sahabatnya, tiba-tiba datang seorang Badwi bertanya, ‘Bilakah berlakunya kiamat?’ Lantas Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila dihilangkan amanah.’ Dia bertaanya lagi, ‘Bagaimanakah dihilangkan amanah itu.’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Apabila diserahkan urusan kepada orang bukan yang ahlinya (yang tidak layak).’”

Jelasnya, urusan pemerintahan hendaklah diserahkan kepada individu yang layak daripada segi iman, ilmu dan akhlak yang baik bukannya kerana dipengaruhi oleh hubungan keluarga, timbunan harta apatah lagi ugutan, bukan juga dilantik dengan cara kotor seperti cara paksaan, menipu dan rasuah.

Abu Hatim melaporkan, Nabi Muhammad bersabda (mafhumnya), “Jihad yang paling baik ialah bercakap benar di hadapan pemimpin yang zalim.”

Hadis ini adalah hadis sahih, hadis yang menyebut bahawa ‘jihad paling baik bermaksud jihad melawan hawa nafsu’ menurut sebahagian sarjana, hadis itu termasuk dalam kategori hadis yang lemah (dhaif) dan ada pula yang menegaskan ia adalah hadis palsu. Sebenarnya ia bukan hadis, tetapi merupakan kata-kata seseorang yang bermana Ibrahim bin ‘Ablah.

Begitupun tidak dinafikan jihad melawan hawa nafsu adalah jihad yang besar, namun begitu kewajiban yang lebih besar dalam agama islah sifat amanah yang ditetapkan Allah dalam kitab-Nya. Mereka yang zalim dan tunduk atau bersikap diam terhadap kezaliman adalah orang yang kalah melawan hawa nafsunya.

lslam mendahului demokrasi Barat, memberi hak kepada rakyat memilih pemimpin yang layak dan haram patuh kepada pemimpin yang zalim. Allah menyatakan dalam kitab-Nya, yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Surah Hud : ayat 113)

Pembaharuan daripada demokrasi purba yang diwarisi oleh Barat daripada tamadun Athens sebelum Masihi melahirkan demokrasi moden dalam dunia Barat. Pembaharuan ini berlaku akibat pengaruh daripada tamadun Islam hasil hubungan Barat dan Islam melalui hubungan dagang, diplomatik dan penjajahan.

Pergaulan Barat dengan dunia Islam menyebabkan berlakunya perubahan minda, bukan sahaja dalam bidang sains tetapi juga bidang politik dan lain-lain. Hukum-hukum Islam mempengaruhi politik Barat apabila kitab-kitab karangan para sarjana menjadi kajian orang Barat. Bahkan tulisan tulisan para sarjana Islam masih di simpan di negara-negara barat sehingga ke hari ini dan terus menjadi bahan kajian.

Dalam Islam, nasihat adalah unsur penting dan menjadi kewajipan setiap orang. Nabi Muhammad pernah bersabda (mafhumnya), “Agama itu nasihat.”

Para sahabat bertanya, “Untuk siapa?”

Baginda menjawab, “Untuk Allah, untuk Rasul-Nya, untuk para pemimpin dan untuk seluruh umat Islam.”

Nasihat adalah ajaran Allah dan contoh daripada Nabi Muhammad SAW sendiri, ia menjadi kewajiban kepada semua peringkat umat Islam. Nasihat itu perlulah sentiasa terpelihara, tidak hanyut, teguh dan anjal kerana berpaksikan ajaran Islam yang bebas daripada kelemahan manusia dan berpaksikan akal yang mendapat petunjuk Allah.

Khalifah Abu Bakar memberikan ucapan pertama sesudah dilantik menjadi khalifah selepas wafatnya wafatnya Nabi Muhammad SAW;

“Saya dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukanlah orang yang terbaik di kalangan kamu. Sekiranya saya berlaku baik tolonglah saya, sekiranya saya berlaku buruk perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Orang yang kuat dalam kalangan kamu adalah lemah di sisiku, sehingga aku ambil daripadanya tindakan (sekiranya berlaku zalim) dan orang yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku, sehingga aku kembalikan haknya (yang dizalimi). Sesungguhnya sesuatu kaum yang meninggalkan jihad, Allah timpakan bencana menyeluruh ke atas mereka. Taatlah kepada saya selagi saya taat kepada Allah dan Rasul, sekiranya saya menderhakai Allah dan rasul, maka jangan lagi mentaati saya.”

Demokrasi Barat jelas mempunyai kelemahannya, apabila pengkaji Barat hanya mengambil sebahagian daripada hukum Islam dengan memisahkan politik daripada agama dan akhlak Islam. Mereka mengambil hukum politik dengan meninggalkan aspek rohani daripada agama Islam yang sempurna, dengan kata lain mereka mengambil hukum dengan meninggal aspek iman dan akhlak yang berkait dengan perhitungan dosa dan pahala, serta balasan pada hari akhirat.

Islam adalah agama menyeluruh secara sempurna tanpa mengira kaum, tempat dan keadaan. Dalam perkara rukun dan fitrah Islam menyatakan melalui ayat-ayat dengan jelas. Manakala dalam perkara kehidupan dan kemasyarakatan yang boleh berubah dan berbeza Islam menyatakannya dengan ayat-ayat umum. Manusia mendapat keizinan bagi menggunakan akal dan kebijaksanaan.

Dalam soal kebijaksanaan, Nabi Muhammad bersabda (mafhumnya),“Kebijaksanaan itu laksana barang tercicir kepunyaan orang yang beriman, di mana sahaja dia bertemu hendaklah dia memungutnya.”

Dasar ini menjadi pegangan para Khulafa Rasyidin dan sahabat yang dilantik menjadi khalifah selepasnya. Seterusnya menjadi amalan wajib kepada pemimpin kerajaan Islam di sepanjang zaman. Maka sesiapa yang tidak berpegang dan beramal dengannya dikira berdosa dan menyeleweng daripada agama Islam kerana tidak mengikut jejak langkah Nabi Muhammad dan mengambil teladan daripada generasi awal kerajaan Islam.

Banyak perkara-perkara baik yang diamalkan sebelum Islam sama ada daripada masyarakat lain, Nabi Muhammad dan para Khulafa Rasyidin. Antara contohnya, perutusan surat kepada raja-raja dengan menggunakan cop mohor bagi menyatakan pengesahan daripada sesebuah kerajaan.

Permuafakatan dengan semua pihak sering dilakukan termasuk daripada kalangan bukan Islam bagi membela orang yang dizalimi dan menentang kezaliman. Khalifah Umar al-Khattab menggunakan sistem imbuhan atau gaji yang diamalkan oleh kerajaan Parsi, memakai mata wang Islam dan lain-lain ditiru daripada masyarakat bukan Islam. Sikap terbuka yang adil dan istiqamah ini menjadikan Islam agama yang diterima oleh seluruh manusia dengan rela hati.

Kepimpinan negara Islam tidak dikongkong oleh bangsa Arab selama-lamanya. Apabila bangsa Arab mengalami kelemahan, ketua negara bertukar kepada bangsa yang lebih kuat berpegang kepada Islam, ilmu dan akhlak. Allah menegaskan dalam al Quran yang bermaksud:

“Jika kamu berpaling (daripada ajaran Islam) nescaya Dia (Allah) menukar kaum yang lain daripada kamu, kemudian mereka tidak seperti kamu.” (Surah Muhammad : ayat 38)

Amanah menerajui kerajaan Islam selepas kelemahan Bangsa Arab diambil alih oleh bangsa Kurdi, Turki dan lain-lain apabila bangsa itu menganut Islam dan lahir dalam kalangan mereka tokoh-tokoh yang berwibawa. Kerajaan Islam dapat dijatuhkan apabila pemimpinnya zalim dan tidak beramal dengan Islam.

Khalifah Umar dalam salah satu ucapannya berkata, “Kita adalah kaum yang diberi kemuliaan dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan dengan cara yang lain daripada pemberian Allah kepada kita, nescaya Allah jadikan kita hina.”

Dalam sejarah Islam, pemimpin negara terdiri daripada pelbagai bangsa yang menganut Islam. Bahkan keturunan hamba abdi yang berjaya dihapuskan dalam masyarakat Islam pernah muncul sebagai pemimpin dan sarjana terbilang dalam negara.

Islam tidak boleh menerima kelemahan dalam demokrasi Barat yang berdasarkan sekularisme, memisahkan politik daripada agama seperti hilangnya aspek rohani, iman dan akhlak mengikut perhitungan dosa dan pahala dalam amalan politik. Kelemahan yang lahir daripadanya sangat nyata apabila berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan demokrasi Barat. Lahirnya rasuah politik melalui wang dan jawatan, penipuan dan lain-lain.

Kadang-kadang demokrasi Barat memberi kuasa kepada pemimpin atau kumpulan tertentu sehingga boleh melakukan perkara di luar kemampuan manusia, dan adanya kumpulan yang tidak boleh dikritik oleh ahli parlimen. Dalam amalan politik Islam, hanya Allah sahaja yang tidak boleh dipersoalkan. Para Rasul yang dilantik oleh Allah pula hanya mempunyai keistimewaannya dalam perkara-perkara tertentu. Manakala para sahabat pula mendapat keizinan memberi pendapat dalam urusan duniawi yang bergantung pada pengalaman hidup yang sentiasa mengalami perubahan.

Sumber : http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/presiden/19745-politik-dan-amanah


4 Jun 2013

No comments:

Post a Comment