ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 25 January 2013

HIJRAH KE ARAH INSAN BERILMU


Oleh : Nik Norliza binti Awang @ Mustafa
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
”Ummah Gemilang” merupakan aset negara yang paling bernilai kerana terciptanya sejarah kecemerlangan sesebuah tamadun bersumber dari kegemilangan ummah dalam meneroka pelbagai ilmu pengetahuan. Sejarah membuktikan kejayaan yang dimiliki oleh Ibn Sina dalam bidang perubatan, Al-Khawarizmi dalam bidang matematik dan astronomi, Ibn Khaldun dalam bidang falsafah dan ilmuwan lain yang telah menyumbangkan ilmu-ilmu mereka sehingga lahirnya satu tamadun ilmu.
Penguasaan ilmu secara seimbang dan menyeluruh perlu diterapkan dalam masyarakat hari ini supaya tidak berlaku ”kejahilan ilmu” yang menyebabkan negara terpaksa meminjam tenaga dari luar. Usaha kerajaan dalam RMK-9 untuk membangun modal insan melalui pendidikan, Inovasi dan nilai merupakan satu langkah yang harus disokong oleh semua pihak kerana ia memberi kesan yang sangat positif dalam pembangunan ummah.
Satu langkah yang tepat ialah berhijrah dari kepompong kemiskinan ilmu ke arah penguasaan ilmu pengetahuan sebagaimana al-Quran memberi motivasi kepada umatnya yang mafhumnya, ”Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya tujuh lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah Luqman:27)
Ilmu pengetahuan dapat diperoleh dari pelbagai sumber seperti pembelajaran, penelitian, pengkajian dan lain-lain. Allah SWT berfirman yang maksudnya, ”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang Mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”. (Surah al-Alaq: 1-5)
Perkataan Iqra’ adalah perkataan pertama dari wahyu pertama yang diterima oleh Nabi Muhamad SAW. Iqra’ bukan hanya sekadar membaca sahaja tetapi juga membawa pengertian lain antaranya menelaah, mendalami, meneliti, meyampaikan, dan mengumpulkan. Wahyu pertama itu tidak menjelaskan apa yang harus dibaca, kerana al-Quran menghendaki umatnya membaca apa sahaja selama bacaan tersebut bismi rabbik dalam erti bermanfaat untuk kemanusiaan. Justeru, Iqra’ dapat difahami sebagai bacalah, telitilah, dalamilah, ketahuilah ciri-ciri sesuatu; bacalah alam, tanda-tanda zaman, sejarah ataupun diri sendiri yang tertulis atau tidak. Akhirnya perintah Iqra’ mencakup segala sesuatu yang dapat dijangkau oleh akal.
Perintah membaca merupakan perintah yang paling berharga yang dapat menghantar manusia ke arah insan berilmu pengetahuan dan tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa perintah membaca ini merupakan motivasi utama untuk berhijrah menjadi seorang yang berilmu. Sesungguhnya ilmu itu ibarat cahaya dan kejahilan itu merupakan kegelapan. Orang yang berilmu akan menerangi alam ini dengan pengetahuan yang dimilikinya dan memberi banyak manfaatnya kepada orang lain. Oleh itu dalam sebuah hadith ada menyebutkan bahawa, ”Apabila mati seseorang anak adam itu, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang selalu mendoakan kepadanya '.( H. R. Muslim )
Peluang mendapatkan ilmu terbuka luas, kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan asas dan prasarana bagi masyarakat bermula dari pra- sekolah hinggalah ke pusat pengajian tinggi, anak-anak hendaklah dibekalkan dengan pendidikan yang sempurna, kegagalan ibu bapa mendapatkan pendidikan anak-anak secara sempurna merupakan satu kesilapan yang besar kerana kegagalan anak-anak dalam pelajaran akan menyebabkan mereka keciciran dalam pelajaran. Kesannya bukan sahaja kepada individu terbabit, tetapi juga kepada masyarakat dan bangsa.
Kesukaran hidup merupakan cabaran utama yang perlu ditangani bersama, kita mungkin hanya menguasai satu ilmu, tetapi ilmu yang lain kita tidak menguasainya. Justeru kita hendaklah berusaha menjadi ummat yang berilmu dengan menguasai pelbagai ilmu pengetahuan. Menguasai satu-satu ilmu tidak lah memadai untuk menjadi ummah yang gemilang.
Kedua-dua ilmu iaitu ilmu fardu ain dan ilmu fardu Kifayah hendaklah diketahui secara menyeluruh kerana ilmu-ilmu ini dapat memandu manusia ke arah kesejahteraan hidup di dunia dan dapat melahirkan umat yang beriman, beramal soleh serta bertaqwa kepada Allah SWT.
Ajaran Islam menganjurkan umatnya mencari ilmu pengetahuan untuk mencapai kebahagiaan hidup dan kesejahteraan dalam hidup. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim. (Riwayat Ibn Majah) .Harus difahami, kewajipan ini tidak terbatas pada usia remaja sahaja tetapi sehingga ke usia emas, kewajipan ini tidak pernah berhenti walau sedetik.
Imam Syafi’i dapat dijadikan contoh, yang berlatarbelakangkan kemiskinan tidak menghalang beliau untuk mencari ilmu pengetahuan. Pada masa kecil lagi beliau telah menghafaz al-Quran dan banyak hadith. Cintanya kepada ilmu pengetahuan membawanya mengembara yang akhirnya menjadikan beliau ilmuwan unggul. Disebabkan keilmuannya dalam bidang hadith dia digelar Nasir as-Sunnah, Dalam bidang Fiqh dan Usul Fiqh dia dikenal sebagai penyusun pertama kitab Usul Fiqh dan pendiri mazhab Syafi’i.
Penerokaan umat Islam dalam berbagai-bagai disiplin ilmu telah membawa kemajuan dalam pelbagai bidang. Kesan kemajuan serta kecermerlangan tamadun ilmu dapat disaksikan hingga kini. Kecermerlangan mereka dalam bidang keilmuan sehingga mampu mencorak disiplin ilmu tidak mungkin datang secara kebetulan. Lantaran itu, untuk mencapai kecermerlangan dan kemajuan, tidak salah menoleh pada sejarah lampau untuk dijadikan iktibar. Dalam hai ini Allah SWT. Telah menyebutkan akan mengangkat darjat orang-orang berilmu kepada beberapa darjat melalui firman-Nya yang bermaksud:
...Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) beberapa darjat...
(Surah al-Mujaadalah:11)
Mulianya orang yang berilmu sehingga Allah akan mengangkat darjat mereka. Kata pepatah “usaha tangga kejayaan”. Untuk itu, perlu satu penghirahan untuk menjadi insan berilmu. Tanpa usaha, sesuatu itu tidak akan datang dengan sendirinya. Orang lain tidak dapat mengubah diri kita, melainkan kita sendiri. Tanpa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, bagaimana seseorang itu mampu mengharungi kehidupan didunia ini dengan cemerlang.
Oleh itu berusahalah dari sekarang mencari ilmu pengetahuan sebanyak mungkin untuk menjadi ilmuwan yang mampu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Semoga ilmu yang diperoleh bukan hanya dapat menyinari hidup sendiri, bahkan mampu menyinari generasi akan datang.

No comments:

Post a Comment