ZULHEIMY MAAMOR

Monday, 19 November 2012

QUNUT NAZILAH



Bismillahirrahmanirrahim
Bersempena peristiwa dahsyat yang menimpa umat Islam hari ini di bumi Palestin secara khususnya, kita umat Islam di serata dunia adalah disunatkan (mengikut hadith-hadith sahih daripada Rasulullah SAW) ketika ini bagi melafazkan qunut nazilah pada setiap solat (jamaah) fardhu yang lima. Kalau kita jadi imam. Manakala setiap makmum pula perlulah mengaminkannya.
Qunut adalah perkataan Arab yang bererti ‘taat dan khusyuk kepada Allah’. Ia adalah satu istilah kepada perbuatan Rasulullah SAW yang mengangkat tangan berdoa selepas bangkit daripada rukuk rakaat yang terakhir. Qunut yang warid (bersumberkan amalan) daripada Rasulullah adalah seperti qunut solat witir dan qunut nazilah.
Nazilah adalah perkataan Arab berasal daripada kata ‘nazala’ bermaksud turun atau timpa. Ia bererti ‘suatu kesusahan, suasana genting, bencana yang menimpa manusia pada satu-satu masa’. Qunut nazilah yang dibacakan oleh Nabi adalah bersempena peristiwa peperangan Ahzab, peristiwa pembunuhan beramai-ramai para huffaz (penghafaz al-Quran) oleh kabilah Ri’l, Dzakwan dan ‘Ushayyah dan juga bagi memohon keselamatan beberapa sabahat baginda (spt Salamah Ibn Hisyam, ‘Iyyash bin Abi Rabi’ah dll) serta kaum muslimin yang ditindas.
Rasulullah SAW pernah mengamalkan qunut nazilah selama sebulan tanpa henti. Perkara ini tidaklah bermaksud menghadkan bacaan qunut tersebut selama itu tetapi ia sunat dibaca mengikut lama masa umat Islam berkekalan dalam sesuatu bencana. Kerana Rasulullah SAW menghentikan bacaan qunut tersebut setelah tawanan perang dibebaskan atau mad’u (mereka yang didakwahkan) itu memeluk Islam dan bertaubat.
Hadith imam Bukhari meriwayatkan Nabi melakukan qunut nazilah pada setiap solat Subuh, Zohor, Maghrib dan Isya manakala imam Ahmad dan Abi Daud meriwayatkan Nabi membacanya pada solat Asar juga. Terpulanglah kepada kita. Cuma paling kurang pun, marilah membaca qunut ini sekurang-kurang dalam solat Subuh, Asar dan Maghrib bagi menandakan sokongan kita kepada rakan-rakan dan sahabat yang berjuang di bumi Palestin. Kerana ini adalah antara yang kita mampu bantu.
Lafaz qunut nazilah hendaklah mengandungi doa keselamatan umat Islam dan doa kehancuran serta kekalahan musuh-musuh (atau diangkat bencana yang menimpa). Sebaik-baiknya hendaklah ringkas dan menggunakan lafaz Rasulullah SAW sendiri. Atau dengan sedikit tambahan seperti doa di atas. Biar sedikit tetapi ikhlas dan istiqamah daripada panjang lebar yang membebankan ahli jemaah yang lain (uzur, nak cepat dan sebagainya).
Wallahu aklam, semoga kita semua amalkan. InsyaAllah, bumi Palestin (tak lama lagi) akan diperintahkan oleh Islam. Allahu Akbar!
Rujukan: artikel di laman IslamWay.

No comments:

Post a Comment