ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 16 October 2012

Berhibur Ada Batasnya


Majalah Cahaya Feb 2006, Oleh : Lokman bin Ismail

Islam agama yang lengkap dan sempurna menenuhi keperluan hidup manusia di dunia dan akhirat.  Segala yang terkandung dalam ajaran Islam menepati keperluan fizikal dan rohani manusia. 
Ajaran Islam tidak hanya menumpukan kepada ibadat khusus semata-mata dalam menilai ketaatan dan keingkaran hamba-Nya. Setiap apa yang dilakukan mendapat pembalasan yang setimpal. 
Secara tepatnya, syariat Islam memenuhi fitrah manusia.  Segala keperluan rohani dan fizikal manusia dipenuhi berdasarkan konsep mendatangkan kebaikan dan menjauhkan keburukan.  Apa yang baik itu adalah Islam dan yang buruk bukan daripada ajaran Islam.  
Termasuk perkara yang dibenarkan dalam Islam ialah berhibur.  Syariat Islam memenuhi keperluan fitrah manusia yang ingin dan suka berada dalam keadaan gembira.  Cuba kita tanya antara kita siapa yang tidak suka berhibur atau tidak mahu akan hiburan?    
Antara sumber bentuk hiburan yang biasa ialah nyanyian, tarian dan lakonan.  Kebiasannya ramai antara kita menganggap bentuk hiburan itu melalaikan dan haram.  Boleh dikatakan tidak ada di kalangan pak haji, ustaz, dan guru agama mengatakan hiburan bentuk itu baik, kalaupun tidak mengatakan haram sepenuhnya.  
Perkara ini perlu diberi penjelasan untuk mengelak keadaan keliru.  Perkara berkaitan seni hiburan perlu dijernihkan untuk mengelak pendangan serong berterusan terhadap individu yang terlibat dalam seni dan mereka yang meminatinya.  
Imam al-Ghazali berpendapat, dalam mendengar nyanyian, ada yang harus dan sunat.  Selain itu ada yang diharamkan.     
Sheikh Mahmud Shaltut, bekas Sheikh al-Azhar berpendapat bahawa mendengar suara indah dan merdu, sama ada daripada binatang, manusia atau apa-apa alat atau ada kecenderungan untuk memperlajari sesuatu daripadanya, adalah keinginan untuk memenuhi tuntutan nalurinya.
Mengikut riwayat, daripada Aisyah bahawa bapanya, Abu Bakar pernah menemuinya dan ketika itu beliau bersama-sama dua hamba perempuan pada hari Mina.  Kedua-duanya menyanyi dan memukul gendang, sedangkan Nabi Muhammad menutup wajahnya dengan pakaiannya. 

Lalu, Abu Bakar mengherdik mereka.  Kemudian, Rasulullah membuka wajah dan berkata: “Biarkanlah mereka, wahai Abu Bakar!  Sesungguhnya hari ini adalah hari raya” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).   
Dalam hadis lain diriwayatkan Tirmizi bermaksud: “Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta palulah rebana.” 
Namun harus diingatkan hukum harus itu boleh bertukar haram jika melibatkan perbuatan yang ditegah agama.  Hal inilah mengapa banyak pihak menolak segala bentuk nyanyian yang dipersembahkan artis sekarang.  Mereka bukan menolak hiburan, tetapi kerana melihat corak hiburan sekarang banyak melibatkan unsur haram.  
Antara batasan yang perlu dijaga ketika berhibur ialah cara pergaulan lelaki dan perempuan.  Lelaki dan perempuan perlu mengelak berada dalam keadaan berasak-asak yang bersentuhan hingga menimbulkan perasaan berahi.   
Biarpun sukar untuk memastikan 100 peratus tidak ada berasak-asak, kerana di pasar dan di mana-mana pun keadaan ini tidak dapat dielakkan, penganjur konsert atau sebarang bentuk hiburan perlu mengambil usaha untuk mengurangkannya.  Mengasingkan penonton lelaki dan perempuan adalah cara terbaik yang perlu diamalkan. 
Penonton perlu menjaga tatatertib dan kesopanan ketika menikmati hiburan.  Hayatilah hiburan yang dipersembahkan kepada mereka.  Tidak perlulah penonton di bawah pentas turut  menari, bersorak dan terhinjut-hinjut mengikut irama dalam keadaan terlalu mengasyikkan hingga lupa diri.   
Tindakan itu mengundang perbuatan tidak senonoh yang terkeluar dari landasan agama dan budaya.  Lelaki dan perempuan berpasangan menari dalam keadaan mengasyikan.   
Turut mendatangkan keresahan banyak pihak berkaitan hiburan yang berlangsung di negara kita ialah muda mudi datang menyaksikannya secara berpasangan.  Biasanya mereka tidak terus pulang apabila tamat persembahan.  Sebaliknya, ramai yang melencung ke tempat lain dan melakukan perbuatan tidak senonoh. 
Para artis perlu menjaga tingkah laku yang sesuai dengan kehendak agama dan budaya masyarakat timur.  Percakapan mereka juga mesti dijaga agar tidak memperkatakan sesuatu yang tidak wajar.  
Artis juga perlu mengenakan pakaian sopan.  Artis tidak perlu mengenakan pakaian seksi dan keterlaluan semata-mata untuk menarik perhatian ramai.  Apa yang penting, lagu yang dinyanyian merdu dan menghiburkan. 
Penampilan artis mampu mempengaruhi minda dan tingkah laku peminatnya.  Jadi, artis perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti.   
Sikap berhibur keterlaluan banyak keburukannya.  Fizikal dan mental rasa letih.  Ini bertentangan dengan tujuan asal berhibur yang dibenarkan Islam, untuk mendapat ketenangan.  Individu berhibur hingga larut malam tidak mampu bekerja dengan baik pada keesokannya.
Persembahan nyanyian di kelab malam dan pusat hiburan lagi haru biru.  Ditambah lagi lagi dengan hidangan arak, pengambilan dadah dan bahan mengkhayalkan.  Semua itu haram.  Tidak ada hujah untuk mengatakan harus.    
Hiburan keterlaluan juga membazirkan masa.  Masa lima enam jam terbuang begitu sahaja.  Banyak tugas terganggu.  Turut dibazirkan ialah wang.   
Konsert melibatkan penghibur profesional, tambah lagi daripada luar negara, harga tiket mencecah lebih seratus ringgit.  Ada sanggup berhutang untuk mendapatkan tiket konsert.   
Amat malang, bilangan paling banyak hadir di majlis hiburan di negara kita adalah orang Melayu beragama Islam.  Orang Melayu sepatutnya insaf nasib bangsa sekarang.   
Kedudukan orang Melayu masih jauh tertinggal berbanding bangsa lain.  Dalam segi ekonomi, orang Melayu hanya menguasai ekuiti kira-kira 20 peratus.  
Orang Melayu sepatutnya lebih gigih berusaha mencari rezeki dan memperbaiki kedudukan.  Dikenal pasti antara punca keruntuhan moral anak muda Melayu ialah pengaruh hiburan keterlaluan.  
Bentuk hiburan di negara kita perlu dimurnikan dengan niat dan maksud yang baik.  Hiburan sedemikian wajar diteruskan.   
Sebaliknya, sekiranya lebih banyak keburukan yang timbul akibat hiburan keterlaluan, perkara ini perlu diperbetulkan segera agar tidak mendatangkan malapetaka yang besar kepada masyarakat.

Tarikh : Mac 10, 2006 - 4:14pm
Editor : projakim
·         Hits : 740

16.10.2012

No comments:

Post a Comment