ZULHEIMY MAAMOR

Tuesday, 28 March 2023

RAMADHAN : APA PERLU BUAT?

SUMBER: ZAHARUDIN.NET

Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.
Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya"
(Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).
Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Perlakuan dosa juga bertambah serius di bulan mulia ini. Ia TIDAK BERGANDA cuma nilai serius dan kebahayaannya bertambah dek kerana berlaku di bulan Ramadhan yang mulia, Syaitan dibelenggu, pahala diperganda namun masih tenggelam dalam dosa. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan
terbaik
, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana perlakuan dosa didalamnya adalah sesuatu yang serius.
SYAITAN KENA GARI?
Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; terdapat juga ulama yang mengatakan bahawa bulan ini dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).
Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )
Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu.
(Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).
MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN
Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-
1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.
2) Besahur di akhir malam (yang
terbaik
adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :
" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).
Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.
3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.
4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaimana di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi"
(Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)
5) Memperbanyakkan doa ketika hampir berbuka
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin
hebat
berdasarkan hadith Nabi s.a.w :
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)
6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.
Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Maghrib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air.
(Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).
7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏حسوات ‏ ‏من ماء
Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi)
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"
Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah urat leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )
9) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih. Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.
10) Bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.
11) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).
Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)
Sempena Ramadhan yang menjelang, sebaiknya kita memasukinya dengan ilmu, kerana ibadah yang dilaksana dengan ilmu jauh bezanya dengan ibadah dengan kurang ilmu atau sekadar ikutan secara tiada faham.
Nabi salla allahu alaihi wasallam bersabda
فضلُ العالمِ على العابدِ كفضلي على أدناكم
Ertinya : Keutamaan mereka yang mempunyai ilmu berbanding mereka yang beribadat (tanpa ilmu yang betul) adalah seperti keutamaanku ke atas kalian yang paling rendah (kedudukan ilmunya) ( Hadis Riwayat At-Tirmidzi : Sahih)
Jom segera tuntut ilmu berkenaan puasa dan isu berkaitan di kursus ini
Dan hal ehwal pembersihan harta dari dosa riba tanpa sedar, agar menjadi sedar di link ini
Dr. Zaharuddin Abd Rahman
Jom sertai group saya di

Lain-Lain mengenai puasa:


Copy and paste:
28.3.2023 > 6 Ramadan 1444H: 5.52 am

Monday, 27 March 2023

WIRA TAK DIDENDANG - ABD JALIL SAAT : 29 JAM TERAPUNG DI LAUTAN

Oleh: MASTIKA > 22 December 2022

PADA tahun 1993, sekali lagi Abdul Jalil Saat yang bertugas sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia, didrafkan ke Kapal Ronda. Kali ini di kapal Skuadron PC 14 KD SRI SARAWAK (KDSS) yang berpangkalan di Tanjong Gelang, Kuantan.
Jalil masih memikul tugas hakiki sebagai anggota meriam 40/70mm. Selain menjadi anggota Tim Mendarat (LandingParty), Jalil juga seorang anggota Tim Menggeledah (BoardingParty).
Pada 8 April 1993, Jalil menyertai KDSS belayar untuk rutin ‘Ops Cabut’. Pukul 8.00 pagi, kapal berlepas dari Jeti TLDM Tanjung Gelang di Kuantan, Pahang. Keesokannya pada pukul 10.00 opagi, kapal KDSS telah menahan sebuah bot pukat tunda Thailand di perairan Terengganu.
Seletah digeledah, ternyata bot tersebut menceroboh perairan negara dengan menangkap ikan tanpa kebenaran. Pegawai Memerintah KDSS, Leftenan Adam Aziz, mengarahkan supaya bot tadi termasuk enam awak-awak ditahan dan dibawa ke Pulau Redang.
Jalil bersama dua lagi rakan iaitu Laskar Kanan AlHaimi Alip dan Laskar Kanan Hairozali Hamzah diarahkan naik ke atas bot Thailand bersama awak-awak kapal tersebut untuk dibawa ke Pulau Redang yang memakan masa tiga jam perjalanan dengan diiringi Kapal Induk KDSS.
Pada 10 April pukul 6.00 pagi, Jalil dan rakan-rakannya mendapat arahan untuk meneruskan pelayaran membawa semua tahanan ke Pulau Kapas. Perjalanan itu turut diekori oleh kapal KDSS. Awak-awak yang ditahan akan diserahkan kepada penguat kuasa bagi tindakan selanjutnya.
Diserang Awak-Awak Kapal.
Dua jam pelayaran menuju ke Pulau Kapas, cuaca yang sebelum itu cerah bertukar mendung. Angin bertiup kencang dan laut mula bergelora. Beberapa minit kemudian, hujan lebat turun diikuti angin kencang.
Bot nelayan asing yang dinaiki Jalil mula terhuyung hayang dilambung ombak. Lebih memburukkan keadaan, kompas bot Thailand itu gagal berfungsi sehingga mereka hilang arah tujuan. Kapal pengiring KDSS yang sebelumnya mengekori di belakang juga sudah tidak kelihatan. Pulau Kapas yang tadinya boleh dilihat dari jauh telah hilang ditelan kabus dan hujan lebat.
Dalam keadaan cemas dilambung ombak, Jalil dan rakan-rakan masih gagah mengawasi awak-awak yang dipindahkan ke anjung bot supaya tidak tercapk ke dalam laut.
Jalil bertugas mengawal bahagian sebelah kiri bot, manakala AlHaimi mengawal sebelah kanan. Rakan Jalil iaitu Hairozali pula menjaga bahagian enjin sambil mengawasi mereka.
Hampir dua jam bertarung ombak dan mencari arah haluan, Pulau Kapas masih belum kelihatan. Kapal KDSS telah lama hilang dari pandangan. Mereka telah terputus hubungan. Alat walkie talkie tidak mampu memberi liputan kerana berada dalam jarak luar kemampuan selain faktor cuaca buruk.
Dalam keadaan itu, Jalil terdengar perbualan awak-awak antara satu sama lain. Namun, dia tidak faham butirannya kerana mereka berbual dalam bahasa Thailand. Waktu itu, Jalil tidak mengesyaki apa-apa sebelum secara tiba-tiba, tekong yang diarahkan mengemudi bot bertindak mematikan enjin.
Sepantas kilat, dua orang dari enam awak-awak yang ditahan menyerbu ke arah Jalil. Dua orang lagi menyerang AlHaimi dan selebihnya menyerang Hairozali. Akibat terkejut diserang mendadak, ditambah dengan ruang bot yang sempit, Jalil dan rakan-rakannya tidak sempat bertindak. Pergelutan mula berlaku.
Jalil dipukul bertalu-talu. Dalam pergelutan itu, dia sempat meloloskan diri ke sebelah kanan bot sebelum melihat Hairozali telah ditawan. Tangannya telah diikat oleh awak-awak.
Dalam keadaan cemas, Jalil cuba mencari AlHaimi, namun susuk tubuh rakannya itu tidak kelihatan. Kemudian, Jalil nampak seorang awak-awak naik dari laut dengan keadaan badannya berlumuran darah.
Lantas, senjata M16 di tangannya dihalakan ke arah mereka. Namun, seorang awak-awak bertindak lebih pantas. Sepantas kilat, Jalil diterajang. Jalil hilang imbangan dalam keadaan laut bergelora sebelum dia dan senjatanya jatuh ke dalam laut.
Di dalam laut, Jalil mengapungkan diri seketika sambil mengawasi pergerakan bot. Jalil risau sekiranya bot tadi berpatah balik dan melanggarnya. Namun setelah sejam, bot tadi tidak kelihatan. Ketika itu barulah Jalil berani menarik pelepas gas karbon dioksida untuk mengembangkan jaket keselamatannya.
Bagaimana nasib Hairozali dan AlHaimi? Jalil tidak tahu.
Dalam keadaan sejuk dilambung gelora ombak, Jalil kuatkan semangat untuk terus mengapungkan diri dengan harapan ada bot-bot nelayan yang melalui kawasan itu akan menyelamatkannya.
Dalam keadaan lemah, Jalil terlihat sebuah bot dari jauh. Dia menjerit meminta tolong sambil melambai-lambaikan tangan. Namun, jeritannya sia-sia. Bot itu terlalu jauh, mungkin sukar mendengar jeritannya.
Dengan sisa kudrat masih berbaki, Jalil gagahkan diri untuk berenang. Namun hanya beberapa meter, Jalil tewas. Ombak dan arus deras terus menghentam dan menghanyutkannya.
Matahari yang tadinya tegak di atas kepala sudah mula condong dan akhirnya hilang daripada pandangan. Jalil masih terapung di lautan luas dalam kepekatan malam. Nyawanya ibarat di hujung tanduk, hanya bergantung kepada jaket keselamatan untuk mengapung diri. Tenaganya sudah tidak seberapa.
Ketika itu apa yang ada dalam fikiran Jalil hanyalah kematian. Namun, dia cuba juga dengan sisa kudrat yang ada untuk terus bertahan. Badannya terasa gatal, sakit dan pedih akibat disengat obor-obor. Sakitnya menyeksakan Jalil, ibarat badannya dicucuk beribu-ribu batang jarum.
Waktu itu, Jalil pasrah. Sudah berbelas jam dia terapung. Hanya doa dan Allah saja tempat dia mengharap. Tambah sedih bila Jalil mengenangkan isterinya yang sedang mengandung empat bulan anak sulung mereka. Bagaimana nasib isteri dan anaknya bila dia meninggal?
Muncul Seekor Burung Camar.
11 April – Hari sudah siang. Laut berombak tenang. Cuaca panas terik menambahkan lagi rasa letih dan dahaga. Muka Jalil pedih akibat panahan matahari. Puas dia memerhati sekeliling. Langsung tidak kelihatan bot atau pulau-pulau berdekatan. Berdasarkan pengalaman, Jalil yakin masih berada di perairan negeri Kelantan berdasarkan objek-objek yang hanyut berdekatannya.
Sedang berpaut pada pelampung keselamatan, tiba-tiba seekor burung camar hinggap di atas bahunya.
“Wahai camar, kalau engkau makhluk Allah, ikhtiarkanlah untuk selamatkan aku,” kata Jalil pada burung camar tadi. Selepas dua tiga minit bertenggek atas bahunya, burung itu pun terbang.
Dalam keadaan hiba dan sudah putus harapan, tiba-tiba Jalil terasa seperti ada sinar baru apabila melihat sebuah kapal berlayar ke arah kedudukannya. Jalil mengumpul segala kudrat. Dia berenang ke arah sisi kapal.
Apabila kapal itu sudah berada setentang, Jalil gunakan jaket keselamatan berwarna oren melambai-lambai ke arah kapal tadi. Namun, Jalil kecewa. Tiada siapa perasan lambaiannya. Kali ini Jalil merasakan harapannya untuk hidup semakin tipis. Jalil yakin jasadnya akan berkubur di lautan itu.
Selepas kapal itu melepasinya, tiba-tiba Jalil terlihat seorang anak kapal perasan kedudukannya. Waktu itu, semangat Jalil untuk hidup datang semula. Apatah lagi bila melihat kapal itu mula mengubah haluan untuk berpatah balik ke arahnya.
Akhirnya, selepas 29 jam terapung di laut bersabung nyawa untuk hidup, Jalil diselamatkan oleh sebuah kapal dagang GASTOR GAS yang berdaftar di Panama dan sedang dalam perjalanan ke Korea.
Sebaik diselamatkan, Jalil tertanya-tanya keadaan dua sahabatnya. Adakah mereka selamat?
Hanya selepas melaporkan diri semula, Jalil dimaklumkan yang Hairozali telah ditawan oleh awak-awak sebelum dibebaskan di Songkhla, Thailand. Apa yang menyedihkan ialah nasib AlHaimi. Rakannya itu disahkan meninggal dunia. Namun, mayatnya tidak dijumpai hingga kini. Jalil percaya, lautan luas itu menjadi pusara rakannya itu. Al-Fatihah untuk arwah.
NOTA : Kisah di atas diceritakan oleh Jalil sewaktu wartawan Mastika berkunjung ke rumahnya di Batu Pahat, Johor beberapa tahun lalu. Abdul Jalil Saat merupakan bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Jalil berkhidmat dalam TLDM dari tahun 1986 hingga 1999. Ketika kejadian, Jalil berpangkat Laskar Kanan (1). Kejadian yang hampir meragut nyawanya itu turut disiarkan dalam akhbar tempatan ketika itu.
______
Kredit : UtusanTV
Copy and paste: 27/3/2023 : 5 Ramadan 1444H: 10.30 am

Tuesday, 21 March 2023

AL-KAFI #489: ADAKAH BATAL SOLAT JIKA MEMBACA AL-FATIHAH TANPA TAJWID?

SUMBER: PEJABAT MUFTI WP
15 DISEMBER 2016

AL-KAFI LI AL-FATAWI #489 : ADAKAH BATAL SOLAT JIKA MEMBACA AL-FATIHAH TANPA TAJWID?

15 Disember 2016 bersamaan 15 Rabi’ al-Awwal 1438 H.

Soalan:

Benarkah solat seseorang itu tidak sah jika di baca al-Fatihah dengan tajwid yang salah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca Surah al-Fatihah di dalam solat adalah rukun solat bagi setiap rakaat samaada solat sunat ataupun fardu. Dalam kata lainnya, tidak dikira solat seoseorang itu sekiranya dia tidak membaca Surah al-Fatihah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:

لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.

Riwayat Al-Bukhari (756)

Bacaan Yang Betul

Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:

وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا 

Maksudnya: Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.

(Al-Muzammil: 4)

Al-Syeikh al-Tantawi Rahimahullah di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya.

Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna. Sekiranya seseorang membaca  أَنْعَمْتُ(an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalahأَنْعَمْتَ  (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya. Sekiranya terlupa maka perlu diulangi bacaan tersebut.

Kesalahan bacaan yang berkaitan dengan hukum hakam tajwid di dalam ilmu tajwid disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi) manakala Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) pula seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut dan kesalahan jenis ini boleh membatalkan solat. Wallahu a’lam.

Copy and paste:

21/3/2023 > 29 Syaaban 1444H: 10.21 pm

 


Thursday, 16 March 2023

Penjajah Keliru Harimau Jadian Ni Ilmu Hitam Atau Masalah Mental

OLEH : AZMIL AZALI > 13 FEBRUARI 2023
(Posted by Rozza Zainal > FB PERISTIWA N' SEJARAH

Suatu ketika dahulu, orang Melayu memang gemar menuntut beberapa ilmu bagi mempertahankan diri, keluarga dan harta benda. Salah satu ilmu tersebut adalah harimau jadian.
Ilmu ini boleh menukar seseorang individu itu menjadi seekor harimau bagi tujuan membuat kawalan. Kebiasaannya harimau jadian ini akan menjaga rumah dan kebun daripada anasir jahat. Sesiapa yang cuba nak menceroboh masuk, bersiap sedialah untuk kena ngap. Apa yang paling menarik sekali adalah kisah harimau jadian juga turut dicatatkan oleh orang Eropah.

Betul ke? Sebab deme ni tak percaya benda-benda mistik.

Catatan terawal orang Eropah tentang harimau jadian adalah ketika mereka sedang menduduki Melaka. Menurut Manuel Godinho de Erédia, Kota Melaka sentiasa diancam oleh harimau. Apabila gerakan mencari harimau dijalankan, seekor pun tidak dijumpai. Pihak Portugis beranggapan itu adalah harimau jadian.
Situasi itu memaksa Dom Jorge de Santa Luzia buat satu upacara khas di gereja untuk mengesan harimau jadian. Akhirnya pengamal ilmu harimau jadian itu berjaya ditangkap dan dihukum.
Manuel Godinho de Erédia juga mengatakan orang Banua yang menjadi pengawal Puteri Gunung Ledang, boleh berubah bentuk kepada pelbagai haiwan. Salah satunya adalah harimau.
Apabila British datang menjajah Tanah Melayu, mereka juga ada buat catatan tentang harimau jadian. Hugh Clifford pernah merekod satu peristiwa pembunuhan yang kejam dan pelik di Sungai Tembeling Pahang. Pada mulanya dia beranggapan pembunuhan kejam itu dilakukan oleh manusia.
Tetapi ada satu perkara pelik berlaku iaitu cebisan daging bertaburan dilantai dan mayat seperti kehabisan darah. Apa benda yang sedang terjadi sebenarnya?
Mangsa yang terselamat ada menceritakan kisah sebelum ahli keluarganya dibunuh. Katanya ketika berbual kosong, mereka terdengar bunyi ngauman yang sangat kuat daripada arah hutan. Secara tiba-tiba kelihatan seekor harimau yang agak besar memasuki rumah lantas membunuh hampir kesemua mangsa.
Seorang mangsa yang terselamat agak bernasib kerana sempat bersembunyi sehingga harimau jadian sukar mencarinya. Bermula dari situ Hugh Clifford mula percaya tentang harimau jadian. Sebab mustahil manusia biasa membunuh dengan mencarik-carik mayat dan menyedut darah.
Frank Swettenham pula cakap, penduduk Tanah Melayu percaya orang-orang yang datang daripada Korinchi, Sumatera mampu bertukar menjadi harimau jadian. Frank Swettenham sendiri ada terdengar tentang kehadiran orang Korinchi di satu daerah di Perak. Setelah malam menjelma, banyak ayam telah hilang. Keesokannya harinya orang Korinchi terus menghilangkan diri.
Tak lama kemudian orang Korinchi tu datang balik dan cakap ada harimau kena tembak. Dia minta orang kampung di situ segera mengebumikan harimau tersebut. Berdasarkan 3 kisah di atas, harimau jadian memang betul-betul wujud lah kan?
Bukan itu ada benda macam ni, orang Eropah pun ada. Tapi deme punya tu serigala jadian. Bila tiba waktu tengah masa masa bulan mengambang, muncul lah serigala jadian memburu mangsa.
Walau bagaimanapun memasuki era moden, ramai yang menentang kewujudan harimau jadian, serigala jadian dan seumpama dengannya. Kenapa pulak?
Orang yang claim boleh bertukar kepada harimau jadian ini sebenarnya mengalami masalah mental yang dipanggil lycanthropy. Orang-orang yang terkena penyakit ini akan beranggapan dirinya adalah harimau dengan cuba beraksi seperti haiwan tersebut.
Apa yang menyebabkan lycanthropy terjadi sehingga orang yang terkena penyakit itu anggap dirinya adalah harimau?
Mereka mungkin terkena delusional misidentification syndromes (DMS). Di mana deme percaya bahawa diri deme mampu berubah menjadi orang ataupun benda lain. Bukan itu sahaja, culture-bound syndrome boleh menjadi sebab seseorang itu dijangkiti lycanthropy.
Lepas ni kalau korang ada member yang jenis tiba-tiba nak jadi harimau, cuba santuni dia. Mungkin dia mengalami symptom lycanthropy.

RUJUKAN:
Sumber artikel : thepatriots

Copy and paste:
16/3/2023 > 23 Syaaban 1444H: 12.13 pm

SIRI MISTERI: Harimau jadian wujud

OLEH: NASRON SIRA RAHIM > BERITA HARIAN
9 MEI 2015

Residen British di Pahang sekitar abad ke-19, Hugh Clifford, pernah merekodkan satu kejadian misteri dan menyeramkan berlaku di Kampung Ranggul di tepi Sungai Tembeling, Pahang sekitar 1860-an.

Dalam catatannya, diceritakan pada suatu malam, di sebuah rumah yang dihuni tujuh lelaki dan dua wanita, satu peristiwa ngeri berlaku sehingga menyebabkan hampir semua ahli keluarga itu dibunuh.


Kejadian berlaku selepas ahli keluarga terbabit selesai menjamah hidangan malam dan ketika berehat sambil berbual kosong, secara tiba-tiba mereka terdengar suara ngauman yang memecahkan keheningan malam.

Semua penghuni hutan diresap ketakutan teramat, manakala ahli keluarga dalam rumah pula diasak debar tidak berkesudahan. Ngauman kedengaran semakin menghampiri dan lelaki dan wanita terbabit cemas menanti.

Dibunuh

Ketika ketakutan yang bersarang di jiwa masih belum sirna, tiba-tiba seekor harimau besar menerjah masuk ke dalam rumah dan dengan sekelip mata membunuh tujuh ahli keluarga berkenaan.

Seorang daripada ahli keluarga terbabit berjaya menyembunyikan diri dan dari tempat dia berlindung, pemuda terbabit menyaksikan sendiri keganasan harimau itu yang meragut nyawa ahli keluarganya dengan kejam dan ngeri.

Kemuncak keganasan harimau itu ialah haiwan berkenaan membunuh anak gadis sunti dalam keluarga berkenaan sambil diperhatikan pemuda terbabit yang juga bapa saudaranya.

Catatan Clifford seperti tertera dalam buku Tracking the Weretiger itu akhirnya menyatakan hanya pemuda terbabit terselamat dan dijumpai penduduk kampung apabila pagi menjelma.

Di hadapan mata penduduk kampung berkenaan, mereka menyaksikan suasana ngeri angkara harimau terbabit apabila cebisan daging jasad semua mangsa berselerakan sehingga sukar dikenal pasti.

Anehnya, walaupun semua mayat rosak teruk, penduduk mendapati jasad mangsa tidak dibaham dan hanya darah mereka yang kering seakan-akan diminum makhluk ganas itu.

Kejadian itu meyakinkan ramai pihak bahawa haiwan menyerang serta membunuh lapan mangsa sekeluarga itu adalah harimau jadian yang ketika itu kecoh diceritakan mengganas sekitar negeri berkenaan.

Selain catatan Clifford, ada beberapa lagi kisah harimau jadian di Tanah Melayu yang direkodkan orientalis Barat.

Antaranya dalam buku Peter Boomgaard iaitu `Frontiers of Fear: Tigers and People in the Malay World, 1600-1950', dinyatakan ekspedisi Inggeris di Tanah Melayu sekitar 1899 pernah bertemu dukun Orang Asli yang mengaku mampu menjadi `harimau jadian'.

Seru semangat hutan

Dukun yang tinggal di Ulu Aring menceritakan kepada ahli ekspedisi terbabit dia menjadi harimau jadian selama tujuh hingga sembilan hari dan sepanjang tempoh itu, akan menyerang lembu di kampung lain.

Untuk menjadi harimau jadian, dukun terbabit menceritakan yang dia akan membakar kemenyan, mengasap badannya serta menyeru `semangat' hutan memakbulkan permintaannya.

Dia kemudian merangkak, menggelengkan kepala dan bulu serta ekor akan tumbuh dari badannya sebelum dirinya berubah menjadi harimau sepenuhnya.

Kepercayaan terhadap kewujudan harimau jadian iaitu manusia mengamalkan ilmu hitam sehingga dapat bertukar rupa menjadi harimau sememangnya sudah lama berakar dalam kepercayaan masyarakat Melayu.

Pelbagai catatan silam dan cerita lisan mengenai harimau jadian seolah-olah menggambarkan ilmu manusia bertukar haiwan itu sememangnya pernah wujud dan diamalkan secara meluas pada zaman dulu.

Dalam laman informasi Wikipedia, dinyatakan harimau jadian atau turut dikenali harimau akuan dan harimau cindaku terkenal dalam budaya Melayu dan Orang Asli Semai sebagai ilmu hitam yang membolehkan orang yang mempelajarinya bertukar harimau apabila dikehendaki.

Kebolehan ilmu itu dikatakan diperoleh dengan bantuan jin saka dan dipelajari supaya penuntutnya memperoleh kekuatan luar biasa untuk mempertahankan diri dan memudaratkan musuh.

Bagaimanapun, ilmu berkenaan jelas amat menyalahi syariat Islam menyebabkan ia tidak lagi diamalkan dan semakin ditinggalkan masyarakat moden.

Dipercayai masyarakat Barat

Berbanding budaya Melayu, masyarakat Barat turut mempercayai kewujudan haiwan jadian terutama serigala jadian.

Pada 1573, lelaki Perancis, Gilles Garnier dibakar hidup-hidup selepas mengaku bersalah membunuh dan memakan daging lebih empat kanak-kanak berusia antara 10 hingga 12 tahun.

Garnier berbuat demikian kerana percaya dia ialah serigala jadian dan keupayaan bertukar daripada manusia kepada serigala diperolehnya selepas bertemu dengan syaitan ketika berburu mencari makanan dalam hutan pada waktu malam.

Bagi penyelidik Barat, mereka percaya haiwan jadian sememangnya wujud! Akan tetapi, fenomena haiwan jadian bukanlah terjadi apabila jasad manusia bertukar menjadi serigala atau harimau.

Sebaliknya, penyelidik Barat mengklasifikasikan kewujudan haiwan jadian sebagai satu daripada penyakit mental luar biasa yang dikenali sebagai `lycanthropy'.

Penyakit mental itu menyebabkan seorang pesakit berdelusi mereka mampu bertukar menjadi haiwan termasuk menunjukkan perlakuan merangkak, mengeluarkan bunyi binatang malah sanggup membunuh dan memakan daging manusia lain.

Copy and paste:
16/3/2023 > 23 Syaaban 1444H: 12.04 pm

Monday, 13 March 2023

SAHIHKAH HADIS "9 DARIPADA 10 REZEKI BERADA PADA PERNIAGAAN"?

Editor HAMIDIsP Published 7/2/2023

Benarkah hadis berkaitan 9/10 rezeki datang daripada perniagaan? Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.


Berdasarkan soalan di atas, di sini kami datangkan sebuah hadis yang tersebar dan masyhur dalam kalangan masyarakat berkaitan kepentingan berniaga.

Antaranya adalah yang maksudnya:

"Hendaklah kamu berniaga kerana padanya 9 daripada 10 rezeki."

"9 daripada 10 rezeki berada pada perniagaan."

Dua matan ini biasa didengar di bibir-bibir penceramah ketika menceritakan perihal rezeki.

Namun, apakah ia benar datang daripada Rasulullah SAW atau ia hanya kata-kata sebahagian ulama?

Untuk itu, Irsyad al-Hadith pada kali ini akan menjelaskan berkaitan status hadis ini. Di sini kami datangkan beberapa pendapat para ulama dalam menyatakan status hadis ini.

Imam Ibn Abd al-Bar (463 H) mengisyaratkan bahawa hadis ini dhaif di dalam kitabnya kerana beliau menggunakan sighah tamridh (صيغة التمريض) ketika menukilkan hadith ini. [Lihat: al-Istizkar, 619/8]

Imam al-Iraqi (806 H) ketika mengtakhrijkan hadis ini di dalam ihya' Ulumuddin berkata: Berkata Ibrahim al-Harbi di dalam Gharib al-Hadith, hadis tersebut datang daripada Nu’aim bin Abd al-Rahman dan perawi-perawinya adalah thiqah. Dikatakan bahawa Nu'aim adalah sahabat sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Mandah dan dakwaan itu adalah tidak benar. Telah berkata Abu Hatim al-Razi dan Ibn Hibban bahawa Nu'aim adalah seorang tabi'i maka hadith tersebut adalah mursal (iaitu hadith yang gugurnya sahabat daripada sanad hadith tersebut). [Lihat: al-Mughni: 419/1]

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami juga cenderung kepada pandangan yang mengatakan hadis di atas adalah dhaif kerana berlaku keguguran pada sanad hadis tersebut.

Walaupun hadis tersebut adalah dhaif, tetapi berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji kerana Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul.

Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga.

Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.

Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan.

Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas, al-Barra' bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat.

Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga, kerana bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya.

Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.

Penutup

Kesimpulannya, hadis yang dinyatakan di atas adalah mursal atau dhaif kerana sanadnya terputus.

Walau bagaimanapun, makna hadis tersebut adalah benar kerana perniagaan sememangnya menjadi salah satu daripada sumber rezeki yang terbesar.

Islam amat menggalakkan umatnya mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya.

Akan tetapi, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah SWT.

Bahawa Nabi SAW bersabda yang maksudnya, "Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”" [Riwayat al-Tirmizi (1209)][Hadith ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi]

Selain itu, terdapat sebuah lagi hadis yang penting untuk dijadikan renungan bagi setiap yang ingin berniaga, bahawa Nabi SAW pernah bersabda yang maksudnya, "Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur." [Riwayat al-Tirmizi (1210)][Hadith ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya]

Akhirnya, marilah sama-sama kita menjadi orang yang bertaqwa kepada Allah SWT dalam setiap perkara atau pekerjaan yang kita lakukan.

Semoga Allah SWT menggolongkan kita semua dalam kalangan hamba-Nya yang beriman serta berjaya di dunia dan di akhirat. Amin.

Wallahu a'lam.

Follow us: @SentiasaPanas on Twitter | SentiasaPanas on Facebook

Copy and paste:
13 Mac 2023 > 20 Syaaban 1444H: 1.12 pm