ZULHEIMY MAAMOR

Friday, 29 November 2019

Kisah Benar: Komunis dan Tragedi Serang Hendap Ulu Legong

 General Aisa Benasri
Artikel ini disumbang oleh Shahrizat Ahmad.
Tertarik dengan dengan desas-desus yang mengatakan subjek komunis akan diajar dalam mata pelajaran di sekolah, bersempena Hari Pahlawan di sini aku ceritakan sedikit tentang siapa komunis yang nak diajarkan sangat tu. Tak kiralah kau kerajaan ataupun pembangkang.
Tragedi Serang Hendap Ulu Legong ini mungkin tak sepopular kisah Bukit Kepong, tidak juga dikisahkan dalam filem seperti Leftenan Adnan tetapi jika disoroti kisah serang hendap ini, ia antara kisah penyeksaan komunis terhadap askar Melayu paling kejam setelah Malaysia mencapai kemerdekaan.
Tragedi serang hendap di Ulu Legong, Kedah sebenarnya merupakan siri keganasan komunis yang paling kejam dan tidak berperikemanusian dalam sejarah Malaysia yang sudah pun merdeka pada ketika itu. Ianya melibatkan 9 anggota dari Kompeni Bravo Batalion ke 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang berpengkalan di Kem Sungai Petani. Serang hendap ni bukan calang-calang punya perancangan kerana ia diketuai oleh bapak segala komunis pada ketika itu iaitu Chin Peng selaku ketua Parti Komunis Malaya.
Kalau kau baca buku Sejarah sekolah menengah, kau tak dapat rasa betapa kejamnya komunis pada masa tu sebab banyak yang ditapis. Titik hitam peristiwa serang hendap ini berlaku pada tanggal 29 Oktober 1981 dan sebenarnya perancangan sudah pun bermula lebih awal berdasarkan penemuan diari Chin Peng ketika satu serbuan. Dalam diari tersebut dicatatkan yang Chin Peng telah kehilangan dua orang kekasihnya dalam dua pertempuran berasingan dengan askar Melayu. Di atas kehilangan dua orang kekasihnya itu, Chin Peng nekad untuk membalas dendam ke atas kumpulan askar Melayu.
Segala perancangan disusun rapi, bukan setakat dua tiga hari, ta ia memakan masa berbulan-bulan lamanya. Dari situ Chin Peng mengesan pergerakan keluar masuk askar Melayu pada ketika itu; berapa besar kekuatan anggota dan senjata-senjata yang digunapakai pada ketika itu. Kompeni Bravo Batalion 22 RAMD sebenarnya merupakan satu pasukan baru yang ditugaskan mengawasi di Kampung Lalang dan sekitar, jadi Chin Peng menyangkakan kumpulan inilah yang telah menyerang mereka walhal serangan itu dilancarkan oleh kompeni sebelumnya.
Pada hari kejadian, ketika serang hendap berlaku, Kampeni Bravo bergerak dari markas menuju ke Kampung Lalang pada sekitar jam 9 pagi. Ada dua versi dalam cerita ini; pertama, Batalion 22 RAMD keluar untuk mencari bekalan makanan manakala versi kedua mengatakan mereka mendapat panggilan untuk membantu menyiapkan sebuah rumah tauke cina yang terbakar. Tauke Wong namanya. Memandangkan ia hanya tugasan santai-santai dan mereka langsung tidak menjangkakan akan berlakunya serangan komunis, 9 orang tentera ditugaskan untuk pergi ke Kampung Lalang dengan menaiki truck Volvo Motar berkapasiti 2 tan.
Aku bagi sedikit gambaran latar tempat ketika itu. Suasana hutan tebal kiri dan kanan dengan jalan sempit menghubungkan satu kawasan ke kawasan yang lain. Siapa yang tinggal di kawasan Baling sana tahu la keadaan yang berbukit bukau di sekelilingnya. Salah satu faktor yang menyebabkan Ulu Legong ini dipilih sebagai tempat persembunyian pengganas komunis pada ketika itu adalah kerana faktor kawasan yang bergunung-ganang selain faktor geografinya yang bersempedan dengan Thailand. Jadi ia memudahkan pergerakan komunis menyusup keluar masuk.
Hinggalah tiba di satu jambatan, kenderaan yang dinaiki mereka dibedil dengan peluru roket pemusnah kereta kebal (bazooka) dari arah atas kawasan bukit. Kalau main game, tahulah penangan Bazooka ni macam mana. Kalau kena memang berkecai habis. Peluru bazooka tadi berdesup terus tepat menghentam enjin hadapan truck Volvo Motar mengakibatkan dentuman kuat dan terus membuatkan askar-askar di dalam trak tercampak. Akibatnya pemandu trak mati di tempat kejadian manakala yang lain mengalami kecederaan. Anggota yang tercampak keluar segera mencari tempat perlindungan walaupun pada ketika itu berada dalam keadaan cedera parah dengan darah meluap-luap keluar dari tubuh. Masing-masing mengengsot-ngengsot cuba mencari pokok untuk berselindung, namun malangnya sudah terlewat. Rupa-rupanya di sekeliling bukit kiri dan kanan sudah pun dipenuhi dengan komunis lengkap bersenjata yang seolah-olah tidak sabar-sabar lagi menunggu detik dan saat untuk membalas dendam. Dianggarkan seramai 43 orang komunis sudah pun bersiap sedia dengan diketuai sendiri oleh Chin Peng.
Melihatkan keadaan askar Melayu yang lemah pada ketika itu, tiada sedikit pun belas kasihan diberikan. Sebaliknya ratusan peluru bertali arus disasarkan ke arah askar yang berselindung di balik pokok dan trak. Kurang 15 minit suasana yang bingit dengan bunyi tembakan bertukar menjadi sunyi sepi. Kepulan asap menerawang di udara. Tiada lagi bunyi tembakan balas dari pihak askar Melayu. Komunis yang bersembunyi di balik bukit mulai turun perlahan-lahan menuju kearah satu persatu mayat yang lengkap berpakaian celoreng. Tak terjangkau dek akal waras manusia melihatkan keadaan tubuh askar Melayu yang diperlakukan sebegitu. Mayat yang sudah tidak bernyawa itu kemudiannya diseksa lagi dan lagi.
Seperti diceritakan dalam buku Serang Hendap Ulu Legong;
Anggota pertama iaitu Prebet Md Merdeka [pemandu trak] Volvo Mortar 2 tan, mayatnya telah dibogelkan dan diikat pada pengelap cermin trak. Telinganya pula dipotong dan dijadikan kalung rantai dengan menggunakan tali akar pohon letup-letup. Manakala kemaluannya dipotong dan dimasukkan ke dalam mulut seperti orang sedang menghisap cerut. Kejam!
Mayat kedua, Lans Kopral Hashim [ketua kumpulan], badannya bersarang dengan hampir 25 butir peluru. Ketika diangkat, badannya boleh dilipat dua seakan-akan tidak ada pinggang. Kepalanya hancur di sebelah kiri akibat tembakan yang bertubi-tubi. Otaknya berterabur di atas jalan. Kedua-dua matanya dicungkil dan dibuang hilang entah ke mana. Mayatnya juga dibogelkan lalu diletakkan terlentang di atas jalan. Kemaluannya juga dikerat dan dua telur kemaluan diletakkan di atas mata kiri dan kanannya. Zalim!
Mayat ketiga iaitu Prebet Jamil TK terperosok di dalam parit yang penuh dengan semak pokok senduduk; terlungkup dan seluarnya dilondehkan. Mayatnya disula dengan ranting-ranting pohon senduduk. Kedua-dua belah daging punggungnya hancur dek tembakan bertubi-tubi. Darah masih menitis perlahan-lahan ke tanah ketika jenazahnya diturunkan. Binatang!
Sebenarnya antara askar Melayu yang terbunuh ketika serang hendap ini berlaku, salah satunya adalah arwah andak aku iaitu Prebet Mazlim Bin Wasal. Nombor tentera 1023617 – seperti diceritakan arwah nenek aku kepada salah seorang abang aku. Pada ketika arwah andak mahu jadi askar, nenek aku berkeras tidak mengizinkan. Katanya Pak Long aku dah jadi askar masa tu. Jadi buat apa nak jadi askar lagi, carilah kerja lain. Masa tu beliau muda lagi. Baru lepas tamat sekolah. Namun aagaknya inilah salah satu sebab yang membuatkan hati seorang ibu jadi lembut apabila arwah andak aku kata yang dia nak jadi askar sebab nak tolong mak dan abahnya tunaikan haji. Dan ya, akhirnya nenek aku restu.
Sungguhpun andak aku terkorban dalam serang hendap tu, namun dengan izin Allah, akhirnya memang betul beliau dapat menunaikan janji yang dibuatnya untuk menampung belanja buat atok dan nenek aku pergi menunaikan haji hasil daripada duit pampasan yang diberikan pihak tentera kepada atok dan nenek aku. Siapa sangka? Allahuakbar.
Susulan kes serang hendap ini nama tentera yang terkorban telah diabadikan di Muzium Tentera, Port Dickson selain nama mereka turut terpahat di Tugu Peringatan, Ulu Legong.
Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi.
1. Lkpl Hashim b Sulaiman
2. Pbt Rosli b Mat Nayan
3. Pbt Jamil b Mahmud
4. Pbt Jamil b Abd Hamid
5. Pbt Md Mendeka b Ismail
6. Pbt Mazlim b Wasal
7. Pbt Mohd Khambali b Mohd Sodeli
Selamat Hari Pahlawan!
Sumber rujukan tambahan: Buku Serang Hendap Ulu Legong [DBP 2013]
Copy and paste: 29.11.2019: 1.58 pm

1 comment: