Friday, 1 June 2018

MISTERI KERAJAAN MELAYU KEDAH TUA

01 Jun 2017 12:00 PM
SEBELUM kemunculan Kesultanan Melayu Melaka pada penghujung kurun ke-14 Masihi, telah wujud kerajaan awal di Semenanjung Tanah Melayu. Kerajaan-kerajaan tersebut berkembang sebagai kota pelabuhan bebas di sekitar kawasan lembah sungai utama semenanjung, kebanyakannya menjalinkan hubungan perdagangan dan diplomatik dengan China. Nama dan gambaran mengenai kerajaan tersebut diketahui berdasarkan rekod Cina, India dan Arab. Contohnya, kerajaan Ch’ih-T’u (Tanah Merah), Chi-La-Tan (Kelantan), Ting-Chia-Lu (Terengganu), Tan-Tan (Besut), Ko-Lo (Muar), Langkasuka (Pattani) dan Fo-Lo-An (Kuala Berang). Satu daripadanya merupakan kerajaan Kedah Tua. Keberadaannya dibuktikan dengan pelbagai penemuan arkeologi di Lembah Bujang yang telah menarik minat ramai pengkaji.
PENEMUAN arkeologi di Kompleks Sungai Batu, Kedah, telah menzahirkan
PENEMUAN arkeologi di Kompleks Sungai Batu, Kedah, telah menzahirkan bukti baharu mengenai kedudukan Kedah Tua sebagai salah satu tamadun terawal Melayu di Asia Tenggara. GAMBAR HIASAN/BERNAMA
Walaupun umum mengetahui kedudukan Kedah Tua sebagai salah satu kerajaan dan tamadun terawal Melayu di Asia Tenggara, pelbagai misteri mengenai masyarakat purba tersebut masih belum terungkai, terutamanya dari aspek taburan penempatan, bentuk kesenian dan kebudayaan, keagamaan dan struktur pentadbiran.

Dengan penemuan terkini di Kompleks Arkeologi Sungai Batu oleh kumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM), telah timbul pelbagai tafsiran dan persoalan baharu mengenai Kedah Tua. Antaranya tarikh bermulanya peranan Kedah Tua sebagai sebuah pelabuhan, kewujudan teknologi dan industri besi, serta jumlah po­pulasi masyarakatnya.
Perkembangan teknologi maklumat dan penggunaan media sosial telah memicu minat masyarakat Malaysia terhadap sejarah Kedah Tua. Hal ini dapat dilihat pada kese­daran umum yang wujud serta perhatian yang diberikan oleh orang awam terhadap beberapa isu penting dalam penemuan terbaru arkeologi di Lembah Bujang. Di samping itu, timbul pelbagai blog sejarah, yang memberi halwa mata kepada para peminat yang dahagakan ilmu. Ini perkembangan yang amat baik, lebih-lebih lagi apabila wujud minat masyarakat terhadap kepentingan untuk mendalami masa lampau nenek moyang kita.
Sehingga kini, wujud pelbagai bentuk persepsi masyarakat mengenai Kedah Tua, kebanyak­an melihatnya sebagai sebuah kerajaan Hindu-Buddha setara dengan kerajaan purba Asia Tenggara yang lain seperti Angkor, Champa, Mataram Kuno, Srivijaya dan Majapahit. Tetapi, perlu difahami bahawa Kedah Tua memiliki ciri ekonomi, sosiopolitik dan sosiobudaya yang jauh berbeza. Kebanyakan kerajaan besar Hindu-Buddha amat kaya dengan pelbagai bentuk prasasti (batu bersurat) dan manuskrip yang mampu memberi gambaran jelas mengenai aspek perundangan, birokrasi dan raja-raja yang memerintah.
Di samping itu, kerajaan-kerajaan Angkor, Champa, Mataram Kuno, Srivijaya dan Majapahit memiliki bukti senibina dan seniarca yang menjadi identiti khas nilai estetika mereka tetapi, sumber sebegini di Kedah Tua adalah amat langka.
Hal ini menyebabkan tafsiran berkenaan sistem pemerintahan dan perundangan serta salasilah raja-raja yang memerintah Kedah Tua perlu didasarkan kepada sumber sastera-sejarah tradisio­nal tempatan. Karya agung seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah dan Hikayat Seri Kelantan boleh memberi gambaran jelas me­ngenai salasilah raja-raja, persekitaran politik, sosiobudaya dan pengislaman Kedah. Bagaimanapun, kebanyakan kisah tersebut masih belum boleh dirujuk silang de­ngan data epigrafi, rekod ­asing mahupun data arkeologi yang ditemui setakat ini.
Justeru, banyak misteri me­ngenai masa lampau Kedah Tua masih belum terungkai, dan sehingga kini masih menjadi bahan perdebatan oleh para cendekiawan. Walaupun wujud banyak kekaburan dalam pengetahuan kita mengenai Kedah Tua, satu perkara adalah pasti: peranan Kedah Tua sebagai salah satu pusat perda­gangan, industri dan kerajaan awal Melayu yang memiliki kedudukan strategik dalam percaturan geopolitik serantau pada ketika itu. Demi mendalami sejarah Kedah Tua, beberapa perkara asas mengenai kajian ini perlu difahami.
Kedah Tua dapat ditakrifkan sebagai gabungan sekumpulan penempatan pesisir pantai dan pinggir sungai yang terletak di Lembah Bujang dan berfungsi sebagai pusat pertukaran komoditi dengan struktur berkerajaan. Pe­nempatan-penempatan ini dihuni oleh masyarakat pribumi Melayu, dan juga komuniti pedagang yang tinggal dalam jangka masa pendek sementara me­nunggu pertukaran angin monsun. Perkara yang membezakan Kedah Tua dengan kerajaan Kedah yang wujud hingga kini adalah dari segi penzamanan, pola penempatan dan kegiatan ekonominya.
Kedah Tua mula wujud dan dikenali masyarakat asing sejak kurun kedua Sebelum Masihi dan posisinya sebagai pusat entrepôt berterusan sehingga kurun ke-14 Masihi. Antara kurun ke-14 hingga ke-15 Masihi memperlihatkan zaman peralihan di bawah dominasi kerajaan Majapahit. Perkembangannya menjadi sebuah kesultanan dan kerajaan dengan struktur yang kita kenali sekarang kemungkinan bermula sekitar pertengahan kurun ke-15 Masihi, sezaman dengan perkembangan empayar Melaka. Lembah Bujang pula satu terminologi yang diperkenalkan pada 1970-an untuk merujuk kepada kawasan di sekitar lembah Sungai Merbok-Muda tempat ditemui jumpaan arkeologi seperti monumen, seramik, arca dan prasasti yang dapat dikaitkan masyarakat Kedah Tua.
Kini, Lembah Bujang me­rangkumi kawasan dari Sungai Sala, lereng Gunung Jerai, lembah Sungai Merbok-Muda, Jeniang sehingga ke Cheruk Tokkun. Penemuan-penemuan arkeologi di Lembah Bujang wujud dalam bentuk kluster yang tertumpu di lokasi-lokasi strategik di pesisiran pantai purba Kedah Tua. Setiap kluster tersebut mewakili satu penempatan purba, sama ada masyarakat pedagang ataupun penduduk tempatan. Contoh pe­nempatan tersebut adalah Pengkalan Bujang, Kampung Sungai Mas, Kampung Sireh, Simpor Tambang, dan Kompleks Sungai Batu, setiap satunya memiliki jangka masa perkembangan yang berbeza. Kajian terkini mendapati pada masa-masa tertentu, penempatan yang terletak di lokasi berbeza tersebut menjalankan transaksi perdaga­ngan secara berasingan dan kemungkinannya memperdagangkan komoditi yang berbeza.
Kekayaan pelabuhan Kedah Tua digambarkan dalam teks-teks asing, terutamanya dari India. Sumber tersebut terdiri daripada syair-syair Tamil, sastera Sanskrit, Purana, sastera Prakrit dan sumber Prasasti Chola. Syair Sillappadikaram (kurun kedua Masihi) menyatakan bahawa wu­jud hubungan dagang antara Kedah (Kidaravan) dengan Madurai, manakala syair Pattinappalai (kurun kedua Masihi) pula menyebut bahawa komoditi dari Kedah (Kazhagam) telah diperdagangkan di Kaveripattinam. Syair Paruŋkathai pula menyatakan bahawa Kaṭāraththu irumpu yang bermakna “besi dari Kaṭāram” merupakan salah satu bahan yang digunakan untuk membuat kereta kuda Puteri Vācavathaththai. Kaṭāram diketahui merujuk kepada Kedah Tua.
Karya Sanskrit iaitu Kaumudimahotsava dan Kathasaritsagara yang dikarang sekitar kurun kelapan Masihi adalah sastera epik yang sering menggunakan Kedah sebagai latar dalam plot ceritanya. Kedah yang disebut sebagai Katahanagara, Katahadvipa atau Kataha seringkali digambarkan sebagai pelabuhan penting yang secara berterusan dilawati oleh pedagang dari India. Dalam penulisan Prakrit (kurun ketujuh Masihi), Kedah Tua disebut sebagai Kadahadipa, iaitu sebuah pelabuhan yang terletak di seberang laut dan dihubungkan dengan pelabuhan Tamralipti.
Dalam penulisan Agni Purana, telah disebut tentang satu puncak gunung yang dikenali sebagai Anda Kataha (Gunung Jerai?). Dalam Prasasti Kepingan Leiden Besar (kurun ke-11 Masihi) yang di­tulis dalam bahasa Sanskrit, peme­rintah Srivijaya pada mulanya di­sebut sebagai “Śriviṣayādhipatinā Kaṭah-ādhipatyam ātavantā” da­lam bahasa Sanskrit yang bermaksud “Pemerintah Srivijaya dan yang menjalankan pemerintahan di Kedah”.
Baginda juga telah diberi gelaran “Kaṭah-ādhipates” yang bermaksud “Pemerintah Kedah”. Pada bahagian bahasa Tamil pula, Raja Suvarnabhumi disebut sebagai “Kiḍāratta-araiyan” ataupun “Kaḍāratta-araiyan”, masing-ma­sing bermaksud Raja Kidara dan Raja Kadara, kedua-duanya membawa makna Raja Kedah. Prasasti Kepingan Leiden Kecil (kurun ke-11 Masihi) pula menceritakan tentang permintaan Raja Kadaram untuk memperbaharui geran ta­nah bagi kuil Culamanivarmavihara yang telah dinamakan semula sebagai Rājarājapperuṃballi. Pentarikhan sumber-sumber syair Tamil, sastera Sanskrit-Prakrit dan prasasti India tersebut menunjukkan bahawa selama sekurang-kurangnya satu milenium wujud perhubungan berterusan antara India dan Kedah Tua.
DR. NASHA RODZIADI KHAW ialah pensyarah kanan di Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM).
Copy and paste: FB Sungai Batu Tamadun Terawal Asia Tenggara
1/6/2018 : 1.53 am

No comments: