Monday, 3 June 2013

KUALA PILAH, N. SEMBILAN (2013)



Pada 2 June 2013, saya dan keluarga bersama dengan ibu mertua telah menghadiri satu Majlis Perkahwinan di Kampung Mampas, Kuala Pilah. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kuala Pilah mengambil masa lebih kurang 2 jam. Ia terletak 25 batu dari Seremban. 
Negeri Sembilan adalah juga negeri kelahiran arwah ayahku. Kampung arwah ayah adalah di Kampung Nerambai, Lubok China, N. Sembilan. 




Elok rasanya saya sentuh serba sedikit penerangan mengenai Negeri Sembilan dan juga Kuala Pilah yang saya rujuk melalui beberapa laman di internet. 

Mungkin ramai di antara kita yang tidak mengetahui bahawa daerah Kelang di Selangor, daerah Segamat di Johor, Daerah Naning di Melaka dan daerah Ulu Pahang dan Jelai di Pahang adalah merupakan daerah asal pembentukan Negeri Sembilan oleh orang-orang Minangkabau sebelum di serahkan kepada negeri-negeri berkenaan.



SERBA SEDIKIT SEJARAH NEGERI SEMBILAN

Rujuk: Wikipedia.


Nama Negeri Sembilan mula digunakan pada abad ke-16 untuk merujuk kepada persekutuan negeri-negeri yang telah dibuka oleh orang Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu iaitu Segamat yang kini menjadi sebahagian daripada Johor, Naning yang kini menjadi sebahagian daripada Melaka, Rembau, Sungai Ujong, Johol dan Jelebu yang kini adalah sebahagaian daripada Negeri Sembilan, Hulu Pahang dan Jelai yang kini menjadi sebahagian daripada Pahang, dan Kelang yang kini menjadi sebahagian daripada Selangor[1]. Saiz Negeri Sembilan sekarang lebih kecil berbanding dahulu Negeri Sembilan yang asal.

Daerah Asal Negeri Sembilan
Daerah - daerah dibawah ini adalah merupakan daerah asal pembentukan Negeri Sembilan sebelum rombakan kawasan di lakukan di mana beberapa buah daerah asal Negeri Sembilan diserahkan kepada beberapa buah negeri: 

1) Sungai Ujong
2) Naning                  - diserahkan kepada Melaka
3) Rembau
4) Jelebu
5) Johol
6) Klang                   - diserahkan kepada Selangor
7) Jelai                     - diserahkan kepada Pahang
8) Ulu Pahang           - diserahkan kepada Pahang
9) Segamat              - diserahkan kepada Johor

Rombakan kawasan kemudiannya menyenaraikan 9 kawasan berikut sebagai negeri yang sembilan, iaitu:

1) Sungai Ujong
2) Rembau
3) Jelebu
4) Johol
5) Ulu Muar
6) Inas
7) Gunung Pasir
8) Terachi
9) Jempol



Ketibaan Raja Melewar dari Pagar Ruyung, Minangkabau pada 1773, memulakan institusi beraja di Negeri Sembilan. Uniknya ialah raja di Negeri Sembilan adalah yang dijemput oleh pembesar-pembesar negeri (Penghulu) dari Pagar Ruyung dan dirajakan di Negeri Sembilan. Sebab itulah raja tidak digelar Sultan tetapi memakai gelaran Yang DiPertuan atau Yamtuan. Sedangkan semua negeri di Malaysia dan Brunei menggunakan istilah Sultan atau raja.

(Untuk keterangan lanjut mengenai sejarah Negeri Sembilan boleh di rujuk di laman-laman web dan juga wikipedia.)

KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN



Kuala Pilah adalah salah satu daripada tujuh daerah yang terdapat di Negeri Sembilan, Malaysia. Ia merupakan daerah yang ketiga terbesar di Negeri Sembilan selepas Jempol dan Jelebu. Kuala Pilah terletak di tengah-tengah Negeri Sembilan dikelilingi oleh daerah Jelebu di utara, daerah Jempol di timur, daerah Rembau dan Tampin di selatan serta daerah Seremban di barat. Ia boleh dihubungi dari Seremban melalui Jalan Bukit Putus, dari Tampin melalui Jalan Air Mawang, Johol dari Segamat melalui Bahau dan dari Simpang Pertang melalui Batu Kikir terus ke Pahang.

Kuala Pilah pernah menjadi ibu negeri Negeri Sembilan sebelum Seremban. Ia dikatakan mendapat namanya dari sebatang anak sungai  iaitu Sungai Pilah. Perkataan Pilah berasal dari perkataan bilah buluh.


KAMPUNG MAMPAS, TERACHI, KUALA PILAH, NS

Majlis Perkahwinan saudara sebelah isteri saya berlansung di Kampung Mampas di Kuala Pilah. Ini adalah kali pertama saya menjejak kaki di kampung ini... 



GAMBAR KENANGAN DI MAJLIS PERKAHWINAN




 MASJID DI RAJA TUANKU MUNAWIR

Dalam perjalanan pulang, kami singgah menunaikan solat zohor di Masjid Diraja Tuanku Munawir. 



Masjid Di Raja Tuanku Munawir terletak di Bandar Di Raja Seri Menanti, Kuala Pilah, N. Sembilan. Bersebelah dengan masjid ini terletak Makam Di Raja Seri Menanti. 

Nama Masjid ini adalah sempena nama Almarhum Tuanku Munawir Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Yang Di Pertuan Besar N.Sembilan yang ke 9, yang juga merupakan putera sulung kepada Yang Di Pertuan Agong Malaysia yang pertama, Almarhum Tuanku Abdul Rahman. 

Masjid asal di Tanjung Beringin di bina pada tahun 1885M di atas tanah yang diwakafkan oleh Yam Tuan Tuanku Muhammad Shah.Bangunan baru dibangunkan pada tahun 1964M. 


 MUZIUM DI RAJA SERI MENANTI

Kami juga turut mengambil kesempatan untuk menziarahi Muzium Di Raja Seri Menanti yang terletak tidak jauh dari Masjid. 



Istana Lama Seri Menanti adalah istana yang unik diperbuat daripada kayu. Dibina pada 1902 dan siap pada tahun 1908 kerana Istana Pulih telah dibakar oleh askar-askar Inggeris semasa mengejar Yamtuan Antah ketika berlakunya peperangan Bukit Putus. Istiadat perasmian istana ini telah dilakukan oleh DYMM Yang DiPertuan Muhammad Ibni Almarhum Yamtuan Antah. Baginda telah bersemayam di istana ini sehingga tahun 1931 dan baginda berpindah pula ke istana baru yang dibina berhampiran dengan istana lama.


Istana ini setinggi empat tingkat. Pelan asalnya telah direka oleh dua orang tukang Melayu bernama Kahar dan Taib. Tukang Kahar telah dianugerahkan gelaran Dato' Panglima Sutan oleh Tuanku Muhammad kerana khidmat beliau. Pelan istana ini telah diperincikan semula oleh Ketua Pelukis Pelan, Mr. Woodford dari JKR, Seremban dan telah diluluskan pada bulan November 1902 oleh Jurutera Negeri dan Residen British.

Istana ini juga pernah digunakan oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan untuk dijadikan Sekolah Menengah Agama Tinggi pada tahun 1959 sehingga tahun 1964. Kemudian istana ini dibiarkan kosong tanpa penghuni sehingga pada tahun 1992, atas kesedaran DYMM Tuanku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, Istana ini dengan rasminya diwartakan sebagai 'Muzium Diraja'. 

Perasmiannya telah dilakukan pada 14 Julai 1992 bersamaan 14 Muharram 1413 Hijrah. Pengurusan Muzium Diraja adalah di bawah pentadbiran Muzium Negeri, Negeri Sembilan.




REPLIKA BATU BERTIKAM
Replika batu ini mengambil contoh batu asal yang terdapat di Kacamantan Lima Kanun Batu Sangkar, Sumatera Barat,Indonesia.  Batu ini dikatakan terdapat bekas tikaman keris oleh Dato Perpatih Nan Sebatang sebagai tanda sumpah setia perdamaian yang mengakhiri persengketaan dalam Sistem Adat Perpatih. 



BATU KASUR (BATU TIMBANG)

Replika batu ini berdasarkan bentuk asal yang terdapat di Sumatera Barat Indonesia. Batu ini digunakan sebagai batu ujian untuk anak-anak raja dan mereka mesti lulus sebelum ditabalkan menjadi Raja di N. Sembilan. Bakal Raja harus tidur selama 7 hari 7 malam di atas batu ini yang dilapik dengan daun jelatang yang sangat gatal disamping gangguan – gangguan lain. Raja Melewar dikatakan Raja pertama menjalani ujian ini. 

GAMBAR KENANGAN DI MUZIUM DI RAJA SERI MENANTI



Walaupun arwah ayah berasal dari Negeri Sembilan... namun saya tak banyak kesempatan untuk mengunjungi beberapa tempat bersejarah di Negeri kelahiran arwah ayah saya kerana saya dibesarkan dan bersekolah di Kuala Lumpur.....
Kesempatan berkunjung ke tempat bersejarah di Kuala Pilah ada satu kenangan indah walaupun sebenarnya saya pernah beberapa kali singgah di Kuala Pilah ini ketika berkerja dan menghadiri mesyuarat. 

Teringat lagu 'Blue's Gang"..... "kalau boleh nak jadi cikgu sekolah kek Kolo Pilah"...


Zulheimy Maamor

3.6.201`3




No comments: